fbpx

Perutusan Presiden HALUAN Malaysia Bersempena Ramadhan al-Mubarak 1433 H

Perutusan Presiden HALUAN Malaysia Bersempena Ramadhan al-Mubarak 1433 H

Perutusan Presiden HALUAN Malaysia Bersempena Ramadhan al-Mubarak 1433 H

Perutusan Presiden HALUAN Malaysia
Bersempena Ramadhan al-Mubarak 1433 H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran penuh keimanan dan penghambaan ke hadrat Allah SWT di atas segala anugerah dan kurniaan-Nya kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga dan seluruh sahabat baginda serta pejuang-pejuang deen Islam yang sentiasa berusaha menegakan syiar Islam di muka bumi ini.

Alhamdulillah, segala pujian hanya sanya kepada Allah SWT yang memberikan peluang dan kesempatan kepada kita untuk sekali lagi menyambut kehadiran bulan penuh keberkatan iaitu Ramadhan al-Mubarak 1433 Hijrah.

Sesungguh kehadiran bulan Ramadhan amat-amat dinanti-nanti oleh orang-orang beriman. Pernah digambar di dalam sirah para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka adalah satu kelompok manusia yang sangat merindui dan mencintai kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak. Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan agar dapat menjejaki kaki dan merasai penghayatan ibadah di bulan yang barakah ini.

Satu harapan daripada doa yang sentiasa diulang-ulang agar mereka dapat menghirupkan lagi udara ibadah di dalam bulan Ramadhan. Kenapa para sahabat begitu teruja dengan kehadiran Ramadhan?

Sudah tentu, padanya terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang sangat banyak dan berharga. Jelas kepada kita, Ramadhan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa di hati orang-orang yang beriman. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan Iman.

Firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)….”

Para ulama menyifatkan Ramadhan sebagai satu madrasah (institusi pendidikan seperti kolej atau sekolah). Sebagai sebuah sekolah sudah tentulah ia mempunyai matlamat, sistem kurikulum yang tersendiri. Peranan utama Ramadhan ialah melahirkan para graduan yang bertakwa apabila individu itu benar-benar melalui sistem dan kurikulum selama berada di madrasah ini.

Seharusnya, di dalam menghadapi bulan Ramadhan seseorang itu harus melakukan persiapan dan penyediaan yang meliputi daripada pelbagai aspek dan memahami hakikat sebenar kehadiran Ramadhan sebagai institusi pentarbiyah jiwa dan mendidik muslim mukmin untuk mencapai taqwa. Jika kita lihat kepada sirah generasi para sahabat Baginda Rasulullah SAW, hati dan jiwa mereka sentiasa segar mengingati bulan Ramadhan. Sepanjang enam bulan pertama sebelum tibanya bulan Ramadhan para sahabat akan bersungguh-sungguh berdoa agar diberi peluang untuk berada di bulan Ramadhan.

Madrasah Ramadhan yang dilalui dengan keikhlasan, keimanan dan kesungguhan akan menghasilkan seorang mukmin yang bertaqwa dan terdidik dengan didikan keimanan kepada Allah SWT. Inilah “outcome” daripada madrasah Ramadhan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 2 : 183)

Bulan Ramadhan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka. Ramadhan adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh mukmin sejati untuk melatih diri untuk mencapai taqwa seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hasilan inilah yang ingin dicapai agar segala yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan membuahkan natijah yang nyata dan diredhai oleh Allah SWT.

Mukmin bertaqwa inilah impian dan cita-cita yang kita hajatkan. Ianya bukan satu ilusi semata-mata. Meraih taqwa memerlukan kesungguhan, keikhlasan, keyakinan dan kefahaman berasaskan ilmu bagi membolehkan segala yang dikehendaki Allah SWT itu benar-benar dibumikan di dalam kehidupan ini. Ayuhlah kita berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dengan semangat kesungguhan.

Semoga proses pentarbiyahan di dalam bulan Ramadhan akan menghasilkan taqwa dalam erti kata yang syamil dan kamil serta memenuhi tuntutan untuk membentuk seseorang individu sebagai seorang hamba Allah SWT. Justeru, inilah hakikat perhambaan Allah SWT yang sebenarnya iaitu di mana ubudiyah itu berlaku pada setiap masa, ketika dan waktu.

Dan, hasil daripada taqwa yang kita hajati daripada Ramadhan ialah keampunan daripada Allah SWT. Amat malang dan rugilah bagi sesiapa yang melalui bulan Ramadhan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Jibrail AS telah membisikan doa kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut….” (Hadis Riawayat al-Hakim)

Disamping kita memperbanyakan amalan soleh di bulan Ramadhan ini, janganlah kita melupakan saudara-saudara kita yang ditimpa musibah, kesusahan dan peperangan. Saudara-saudara kita Rohingya di Burma, di Kemboja, saudara seIslam di Somalia, Palestin, Syria, Selatan Thailand dan di lain-lain tempat di seluruh dunia harus subur dalam doa harian kita dan hulurlah bantuan seikhlas mungkin khusus untuk meringakan bebanan mereka. Usaha kebajikan dan misi kemanusiaan yang telah bermula harus diteruskan malah ia harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Harapannya, agar Ramadhan pada tahun ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri kita semua terutamanya dalam aspek kerohanian. Semoga ruh Ramadhan membuahkan kemenangan di pagi bulan Syawal yang penuh barakah dan diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain.

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden
HALUAN Malaysia
1 Ramadan 1433 H