fbpx

Masyarakat Dunia Perlu Bantu Rohingya

Masyarakat Dunia Perlu Bantu Rohingya

Masyarakat Dunia Perlu Bantu Rohingya

RAKHINE, MYANMAR, 20 Julai 2012 — Pasukan Keselamatan Sempadan (Border Security Force – NaSaKa), tentera dan polis Myanmar telah melakukan proses pembersihan secara habis-habisan ke atas saki-baki masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine (Arakan). Ratusan daripada mereka telah ditangkap, tidak dibenarkan sebarang komunikasi dan dikenakan pelbagai bentuk siksaan.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan pada 20 Julai 2012, Amnesty International menyebut bahawa keganasan masih berterusan di wilayah Rakhine walaupun pemerintah Myanmar mengenakan perintah darurat sejak 10 Jun lalu. Malahan penguatkuasaan perintah berkurung itu tidak dikenakan kepada masyarakat Rakhine yang lain.

“Mengenakan perintah darurat bukanlah menjadi suatu kebebasan untuk mencabul hak asasi manusia”, kata Benjamin Zawacki, seorang penyelidik tentang Myanmar di Amnesty International. “Ia adalah menjadi kewajipan pasukan keselamatan untuk mempertahankan hak-hak semua pihak tanpa diskriminasi”, jelas beliau lagi. Sebaliknya, penangkapan ke atas masyarakat Rohingya jelas dibuat secara diskrinimasi dan sewenang-wenangnya atas alasan agama, dengan melanggar semua hak mangsa-mangsa.

Amnesty International turut menerima laporan yang kredibel tentang pencabulan hak ke atas masyarakat Islam Rohingya, termasuk penderaan fizikal, rogol, pemusnahan harta benda dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh masyarakat Buddha Arakan dan pasukan keselamatan Myanmar sendiri. “Pihak berkuasa sepatutnya menghentikan perbuatan ini dan menghalang orang lain daripada melakukannya”, tegas kenyataan tersebut.

Pihak berkuasa Myanmar juga menghalang kemasukan pemerhati dan media bebas daripada memasuki wilayah berkenaan, menyebabkan percanggahan dalam angka-angka kematian, penangkapan mahupun kemusnahan harta. Agensi-agensi PBB menganggarkan sehingga 90,000 orang Rohingya kini menjadi mangsa.

Undang-undang 1982 Kewarganegaraan Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai warganegara, sedangkan sejarah membuktikan mereka menjadi penduduk di wilayah Rakhine (ketika itu dikenali sebagai Arakan) lama sebelum dijajah oleh British. Pembunuhan beramai-ramai kali pertama ke atas masyarakat Rohingya telah berlaku pada tahun 1942 apabila penjajah British ditewaskan oleh pejuang pembebasan dan meninggalkan wilayah tersebut. Pemerintah Myanmar menggunakan sentimen agama bagi menghasut masyarakat Buddha membunuh dan menghalau Rohingya, sebagaimana yang pernah berlaku pada tahun 1942, 1962, 1978, 1988, 1994, 2000 dan yang terakhir awal Jun 2012. Sejak 1942 hingga sekarang beratus ribu Rohingya telah dibunuh dengan kejam.

“Di bawah undang-undang dan standard antarabangsa hak asasi manusia, tiada siapa yang boleh dibiarkan atau dikelaskan sebagai tidak mempunyai kerakyatan. Hak asasi manusia di Myanmar telah dicemari sekian lama akibat penafian berterusan kerakyatan bagi Rohingya dan pelbagai amalan diskriminasi terhadap mereka,” kata Banjamin Zawacki.

Sementara itu, HALUAN telah membentuk jawatankuasa khas bagi membantu masyarakat Rohingya. Jawatankuasa di bawah Biro Misi Kemanusiaan HALUAN ini telah membuat kajian dan jalinan kerjasama bagi menyusun langkah-langkah berkesan, terutama untuk membantu mangsa-mangsa keganasan yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan dengan menjelangnya musim hujan.

Sebarang derma dan sumbangan untuk membantu masyarakat Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui:

“Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN” di Maybank bernombor 5622 6350 2611.