
KKH Santuni Masyarakat Desa di Baling
baling-01BALING, 10 Nov 2013 – HALUAN terus menabur bakti kepada masyarakat desa dengan membawa profesionalisme kesihatan kepada mereka melalui program khidmat kemasyarakatan serta kem kesihatan.
Perkhidmatan tersebut telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Limau, Baling semalam bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Projek ini merupakan anjuran bersama HALUAN Cawangan Kedah dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Menurut Ketua Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Cawangan Kedah, Dr Kursiah Mohd Razali, objektif utama kem tersebut adalah untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung yang rata-ratanya sangat dhaif dan berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.
Aktiviti utama KKH kali ini adalah pengukuran biometri setiap pengunjung yang meliputi ukuran tinggi, berat badan, glukosa dalam darah, tahap kolesterol dan tahap haemoglobin mereka. Selepas itu, mereka mengikuti sesi kaunseling dan khidmat nasihat bersama pegawai perubatan relawan HALUAN yang bertugas. Para pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, dari bayi seusia lapan bulan hinggalah warga emas yang berumur 80-an. Bagi membantu pesakit yang uzur dan tidak dapat berkunjung ke kem kesihatan ini, para relawan HALUAN bertindak mengadakan lawatan ke rumah bagi menyantuni mereka.
“Turut hadir sebagai pelanggan kami adalah masyarakat keturunan Siam. HALUAN sebagai sebuah NGO yang berkhidmat tanpa sempadan akan sentiasa melayani sesiapa juga yang memerlukan bantuan, bukan hanya orang Islam. Sepanjang kami beraktiviti di sini, seramai 148 pengunjung wanita dan 103 lelaki telah kami rawati,” jelas Dr Kursiah yang juga merupakan ketua pakar bedah pemindahan kornea mata di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Seramai 11 orang petugas perubatan terlibat dalam menjayakan kem ini.
Relawan HALUAN Cawangan Kedah turut memeriahkan lagi kem ini dengan mengadakan satu pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
Penduduk Baling sebelum ini pernah berinteraksi dengan HALUAN bilamana para huffaz dari Syria dan Palestin dibawa untuk menyampaikan tazkirah serta memimpin solat terawih berjamaah bersama masyarakat setempat.
“Dari pemerhatian kami, didapati masalah yang berkaitan dengan pemakanan dan kegemukan berlaku pada tahap 85% daripada jumlah pengunjung. Penyakit lain yang kerap ditemui adalah darah tinggi dan Diabetes Mellitus. Satu penerusan mestilah dirangka pada masa hadapan untuk memberi kesedaran kesihatan kepada penduduk kampung ini bagi memastikan mereka sedar bahaya akibat kegemukan dan pengambilan gula dan makanan manis yang berlebihan. Ini supaya kesihatan mereka akan berada di tahap yang optima,” kata Dr Kursiah.
Laporan Unit Media, Kelab Kesihatan HALUAN.
Dr Kursiah (kanan) sedang memeriksa kesihatan seorang penduduk desa. Dr Kursiah (kanan) sedang memeriksa kesihatan seorang penduduk desa. Anak-anak kecil ini mewarna dalam suasana riang gembira. Beralaskan tikar daripada guni, peserta termuda ini mengasah bakatnya. Relawan HALUAN mendaftar dan mengambil maklumat kesihatan seorang pengunjung. Lebih 250 orang masyarakat desa berkunjung menjayakan kem kesihatan ini. Maklumat biometri dan kesihatan pengunjung dikumpul untuk program susulan di masa akan datang. Lebih 10 orang relawan petugas perubatan menjayakan kem kesihatan bersama masyarakat di Baling. Relawan HALUAN turut menziarahi warga desa yang sakit dan terlantar di rumah mereka. Kesihatan warga emas turut diperiksa melalui program menziarahi rumah mereka. Warga emas yang tidak dapat berkunjung ke kem kesihatan turut mendapat manfaat melalui program ziarah dan pemeriksaan kesihatan di kediaman mereka.