fbpx

Nur Aisya Darwina – Sinar Hidayah di KOBAR 2013

Nur Aisya Darwina – Sinar Hidayah di KOBAR 2013

Nur Aisya Darwina – Sinar Hidayah di KOBAR 2013

BANGI, 3 November 2013 — Tidak sedikit daripada hampir dua ribu hadirin di Dewan Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) yang menitiskan air mata keharuan ketika menyaksikan detik bersejarah bagi seorang saudara baru yang secara rasminya menuturkan syahadah di Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) pada hari ini.

Jessica Darwina anak Jerom, 18, adalah nama gadis yang berasal dari Padawan, Kuching, Sarawak ini sebelum memeluk Islam. Kini, beliau dikenali dengan nama Nur Aisya Darwina Abdullah setelah melafazkan dua kalimah syahadah dengan dibimbing oleh Ustaz Jamalullail Tajudin.

“Alhamdulillah! Kini saya berasa tenang, gembira dan terharu kerana itulah saya tidak dapat menahan sebak sewaktu mengucap dua kalimah syahadah tadi. Sebelum ini saya berasa gemuruh dan tidak pasti untuk datang ke program ini tetapi En Yusman Nawazir dari Kelab Fitrah HALUAN meminta saya mengambil masa dan tenangkan diri, barulah saya berani mengambil keputusan ini. Terima kasih juga kepada pensyarah saya, En Abu Ubaidah yang menjemput saya ke program ini,” katanya ketika ditemu bual.

Nur Aisya Darwina Abdullah setelah melafazkan dua kalimah syahadah
Gadis yang mudah mesra dan petah berbicara ini dilahirkan pada 18 September 1995. Sebelum melanjutkan pelajaran di Semenanjung sejak Ogos 2013 yang lalu, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padawan. Beliau sekarang menuntut di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics dan mengambil Diploma Perakaunan.

Ayah beliau berketurunan Iban manakala ibunya pula berketurunan Bidayuh. Beliau merupakan anak sulung dan mempunyai dua orang adik lelaki masing-masing berusia 16 dan 14 tahun. Setelah kedua orang tuanya berpisah ketika usianya lapan tahun, beliau dijaga oleh ibu dan neneknya yang banyak berjasa membesarkan mereka tiga beradik.

Aisya beruntung kerana ibu dan neneknya tidak memberikan reaksi negatif terhadap keislamannya. Sebaliknya mereka menyatakan bahawa meskipun bukan lagi seorang penganut agama Kristian, Aisya tetap ‘kakak’ (panggilan keluarga) yang sama bagi mereka. “Cuma salah seorang adik saya yang tidak berapa suka, namun tidak pula menentang. Ibu saya berpesan agar saya menjadi yang terbaik bagi agama yang saya pilih dan apa jua agama yang dianuti, saya tetap anaknya,” terang Aisya.

Gadis manis yang ceria ini dahulunya merupakan seorang penganut agama Kristian (Roman Katholik) yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Beliau sering menawarkan diri menjadi sukarelawan untuk aktiviti kerohanian di gereja dan juga merupakan salah seorang ketua pembaca bible, acara kerohanian yang diadakan setiap pagi Ahad di gereja.

Ditebak dengan persoalan apa yang membuatkan beliau tertarik dengan agama ini, Aisya menjelaskan, “Saya mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk membuat keputusan besar ini. Sejak di bangku sekolah lagi, ketika di tingkatan tiga, saya tertarik untuk mengikuti kelas Pendidikan Islam, walaupun pada masa yang sama saya juga menghadiri kelas Pendidikan Moral. Ustazah dari Semenanjung yang mengajar saya amat baik dan sering menghadiahkan buku dan menjawab persoalan-persoalan yang saya utarakan tentang Islam.”

Aisya turut menceritakan bagaimana Ustazah tersebut turut menjadikan beliau sebagai teladan dan inspirasi kepada para pelajar Muslim yang lain kerana kesungguhannya mempelajari agama dan penglibatannya secara aktif dalam aktiviti-aktiviti keagamaan biarpun belum lagi menjadi seorang Muslim pada ketika itu.

Di samping itu Aisya juga sangat suka mendengar alunan azan dan zikir. Jiwanya mudah tersentuh dan merasa sungguh tenang ketika mendengarnya, hinggakan apa jua masalah yang sedang dihadapi seakan-akan boleh hilang begitu saja.

Nur Aisya ketika diberi peluang berucap di hadapan 2000 peserta KOBAR
Selain itu, cara wanita Islam menutup aurat juga salah satu sebab Aisya tertarik dengan Islam. Beliau melihat hijab ini sebagai sesuatu yang sungguh indah. Beliau sebenarnya telah mula memakai tudung dua hari sebelum Hari Raya Aidiladha yang lepas kerana telah mendapat ilham untuk memakainya. Beliau bermimpi bertemu seorang tua yang berjubah dan berwajah sangat bersih, mengatakan sekiranya beliau terdetik untuk melakukan satu kebaikan maka janganlah ia ditangguh tetapi niat yang baik itu harus diteruskan. Sejak itulah Aisya nekad bertudung meskipun belum memeluk Islam.

Bagi Aisya, beliau tidak menghadapi masalah atau merasa terbeban apabila memeluk agama Islam kerana walaupun sebelum ini hanya perlu bersembahyang sekali seminggu namun beliau menerima dan mencintai ajaran agama Islam untuk solat lima kali sehari. Berbicara soal makanan pula beliau dan keluarga sememangnya jarang makan khinzir kerana ada sebilangan ahli keluarga yang tidak gemarkannya. Jadi beliau diajar untuk turut tidak memakannya.

Gadis berkulit kuning langsat ini sangat bersyukur kerana kawan-kawan banyak menggalakkan serta selalu membantu dan melayani persoalan-persoalan yang diajukannya tentang Islam. Ketika di Sarawak beliau tidak mempuyai ramai kawan beragama Islam sebagai tempat rujukan, namun sejak belajar di Semenanjung beliau merasa lebih kuat untuk memeluk agama Islam kerana dorongan sahabat-sahabatnya.

Menurutnya lagi, salah seorang ibu rakannya telah mengambilnya sebagai anak angkat. Ini sangat mengembirakan Ibunya yang memberi izin kepada Aisya untuk pulang ke rumah keluarga angkatnya sekiranya dia tidak pulang ke Sarawak.

“Saya amat berterima kasih kepada semua rakan saya yang banyak menguatkan saya. Mereka juga yang paling bersemangat membincangkan nama yang sesuai untuk saya selepas bergelar Muslim. Ada yang mencadangkan Aisya sebab ia nama isteri Rasulullah yang solehah dan pintar. Saya suka tetapi saya katakan saya ingin kekalkan nama Darwina kerana ia adalah nama keluarga saya. Begitulah asal nama saya sekarang, Nur Aisya Darwina binti Abdullah,” jelas Aisya seraya tersenyum sebelum menamatkan perbualan.


Laporan oleh Saudari Amnani Abdullah Akhili