fbpx

Madrasah Tarbiah Ramadhan

Madrasah Tarbiah Ramadhan

Madrasah Tarbiah Ramadhan

BANDAR BARU BANGI, 5 Julai 2014 – Bulan Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan sebab dinamakan sedemikian kerana bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang di dalamnya diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh tidak seperti bulan-bulan yang lain.

Setiap tahun, kehadiran Ramadhan al-Mubarak sentiasa dinanti-nantikan oleh hati-hati orang yang beriman kepada Allah SWT. Penantian ini benar-benar dirindui kerana Ramadhan adalah umpama temasya kerehatan jiwa bagi orang-orang yang menyakini hari pertemuannya dengan Allah SWT.

Kerehatan jiwa yang dimaksudkan di sini bukanlah kerehatan bersantai-santai atau tidur secara fizikal yang biasa kita fahami, tetapi kerehatan jiwa yang dilimpahi dengan kemanisan dan kelazatan iman dalam melaksanakan pelbagai bentuk ibadah sebagai manifestasi ubudiah kepada Allah SWT.

Madrasah Dan Silibus Rabbani

Bulan Ramadhan adalah seumpama suatu pakej istimewa daripada Allah SWT dengan pelbagai ganjaran yang dikhususkan hanya untuk mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan amal soleh.

Ramadhan juga boleh digambarkan seperti sebuah madrasah atau institusi pendidikan yang lengkap dengan silibus ibadah bagi melahirkan hamba-hamba yang bertakwa. Ia adalah pusat pendidikan Ilahi yang akan melahirkan hamba-hamba Rabbani yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta menyerahkan kehidupannya kepada Allah SWT.

Ramadhan perlu dilihat secara menyeluruh sebagai medan ubudiah kepada Allah SWT seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud :

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia hanyasanya untuk berubudiah kepada-Ku.” ( Ad-Dzariyat 51 : 56)

Kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan diiringi galakan dan janji ganjaran berganda untuk ibadah khusus yang lain seperti solat, umrah, zakat, membaca al-Quran dan lain-lain merupakan suatu latihan bersifat mikro untuk membina kemampuan melaksanakan ibadah makro yang menyeluruh. Ibadah puasa tanpa dikaitkan dengan ibadah umum dalam kehidupan ialah puasa yang gagal berfungsi pada hakikatnya.

Manakala, ibadah umum tanpa puasa tidak akan punyai tempat berpijak dalam konteks perlaksanaan yang menyeluruh.

Perlunya Persiapan Jiwa

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan untuk para mukmin meraih ganjaran takwa daripada Allah SWT. Lantaran itu, bagi memastikan segala ibadah ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya – setiap Muslim perlukan persediaan dan persiapan yang rapi untuk memberikan yang terbaik sepanjang sebulan Ramadhan.

Oleh kerana ibadah puasa ialah proses tazkiyah (penyucian), maka sebelum memasuki bulan Ramadhan, adalah wajar bagi kita berusaha menyucikan diri daripada sebarang dosa dan noda dengan memperbanyakan taubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Perkara yang terutama dalam hal ini ialah memperbanyakan solat taubat dan beristighfar agar Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa dan kesilapan yang lalu agar dikurniakan hati yang bersih dan jernih. Hati-hati yang bersih inilah yang akan memberikan kesan dan impak yang sangat besar kepada kita dalam merasai kemanisan dalam beribadah ketika berada dalam bulan Ramadhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka aku berkata (kepada mereka), ” Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu. Dan Dia memperbanyakan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu.” ( Nuh 71 : 10 – 12)

Tidak hanya itu sahaja, sebagai manusia yang sentiasa berinteraksi serta berhubungan dengan sesama manusia tentunya kita tidak akan terlepas daripada melakukan sebarang kesalahan dan keterlanjuran sama ada dalam perbuatan atau tutur kata. Oleh itu, kita perlu memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa kita, pasangan hidup kita antara suami isteri, sesama anak-anak dan juga kenalan serta sahabat handai. Semua ini akan memberi erti dan pengertian yang besar kepada kerohanian kita sebelum menjejaki bulan Ramadhan.

Pakej Madrasah Ramadhan

Ibadah puasa dalam bulan Ramadhan hadir dalam pakejnya yang menyeluruh bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata tetapi ia turut diiringi dengan pelbagai bentuk amal-amal ibadah yang lain yang mempunyai fokus yang sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bermula seawal pagi hari dalam bulan Ramadhan dengan qiamullail, bersahur, solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, infaq, bertadarus, berbuka dan sehingga solat sunat tarawih – Ramadhan benar-benar menjadi medan penyucian yang lengkap bagi menghasilkan keperibadian mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian, bagi menjayakan perlaksanaan kesemua pakej ibadah dalam bulan Ramadhan setiap orang perlukan perancangan dan pelan tindakan yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan penuh tekad. Jika segala amalan ini dilakukan dengan teliti dan penuh kesungguhan, Allah SWT menjanjikan keampunan bagi segala dosa-dosanya yang lalu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (kesungguhan), diampuni dosa-dosanya yang lalu.” ( Hadis Sahih Bukhari, Kitab al-Imam, Hadis no : 37)

Pasca Ramadhan Dan Impak Maksima

Matlamat puasa dalam madrasah Ramadhan pada akhirnya akan melahirkan graduan-graduan yang memperolehi ijazah takwa yang diiktiraf oleh Allah SWT. Ijazah inilah yang menjadi fokus dan matlamat utama para mukmin dalam menjalani kehidupan sepanjang Ramadhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat terdahulu sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertakwa.” ( Al-Baqarah 2 : 183)

Taqwa kepada Allah SWT menjadi tujuan dan harapan bagi setiap muslim dalam bulan mulia ini. Tanda kejayaan seseorang dalam memperolehi kesan tarbiah sepanjang Ramadhan adalah ia mampu istiqamah dalam melaksanakan segala bentuk amal ibadah yang telah dilakukan dalam bulan Ramadhan pada bulan-bulan seterusnya.

Momentum kesungguhan itu tetap dilakukan dengan penuh konsisten pasca Ramadhan dengan puasa pada bulan Syawal dan penghayatan ini terus mekar pada 11 bulan yang seterusnya.

Fokus Untuk Pembangunan Diri

Bagi para aktivis dakwah, ahli kesukarelawanan dan para pendakwah, Ramadhan adalah medan terbaik untuk difokuskan kepada proses pembangunan diri. Di samping, kesibukan dengan pelbagai aktiviti kebaikan, kebajikan dan kemasyarakat – kita tidak wajar melupakan hak-hak ke atas diri kita. Dan, salah satu hak yang penting adalah hak kerohanian jiwa kita.

Ramadhan adalah saat untuk kita “pertajamkan” naluri kejiwaan kita untuk terus-menerus berdampingan dengan Allah SWT. Kerja-kerja pembangunan ummah melalui dakwah dan tarbiah amat bergantung kepada kebersihan hati dan keikhlasan jiwa para pendokong, pekerja dan duat itu sendiri.

Justeru, Ramadhan ini adalah Ramadhan kita untuk memfokuskan jiwa dengan kalamullah, memperbanyakan zikrullah, mempergiatkan lagi usaha-usaha dakwah dan tarbiah di samping tidak melupai nasib saudara-saudara kita yang tertindas di Palestin, Myammar, Selatan Thailand, Syria, Iraq, Somalia dan lain-lain lagi.

Bagi menyemarakkan lagi perasaan cakna dan peduli ini, HALUAN seperti tahun-tahun yang lalu meneruskan program Ramadhan Bersama Huffaz yang didatangkan dari negara Palestin, Kemboja dan Syria yang akan memenuhi jemputan sebagai iman solat tarawih serta memberikan tazkirah di masjid-masjid yang terpilih di Malaysia.

Moga Ramadhan pada tahun ini benar-benar meninggalkan kesan dan impak yang mendalam kepada kita untuk bermujahadah menjadi hamba Rabbani yang diredhai-Nya.


Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN
Ramadhan 1435H