fbpx

Santunan Urusetia MTP26 Terbaik

Santunan Urusetia MTP26 Terbaik

Santunan Urusetia MTP26 Terbaik

ULU TIRAM, JOHOR, 30 Mei, 2015 – Bukan mudah mengendalikan program untuk lebih seribu peserta apatah lagi bila bermalam. Itulah cabaran sulung yang dihadapi urusetia Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN kali ke-26 yang sedang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Mei di sini.

Daripada segi persiapan penempatan, katering, logistik,kebersihan, protokol, keselamatan, kesihatan, siaraya dan komunikasi, puluhan relawan HALUAN negeri Johor telah dikerah bersengkang mata sejak lebih sebulan lepas untuk melunaskan hasrat delegasi-delegasi negeri yang tiba bagaikan ombak tsunami ramainya.

Berbekalkan semangat kental dan tawakal yang tinggi, pasukan urusetia yang diketuai oleh Dr Mohd Arbaai Shawal selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MTP-26 terus mara mempersiapkan prasarana terbaik mungkin di Savanna Hill Resort di sini. Rata-rata, peserta berpendapat persediaan yang disiapkan tidak menghampakan. Ada yang berkata urusetianya mempamerkan hemah yang tinggi serta PR yang baik, perkhidmatan bersama senyuman. Syabas HALUAN Cawangan Johor!

Berikut wawancara kami mediaHALUAN dengan Dr Mohd Arbaai:

MH: Berapakah jumlah sebenar peserta yang mendaftar diri sejak awal pagi Sabtu tadi?

DrA: Alhamdulillah, rekod kami menunjukkan bilangan peserta yang mendaftar setakat ini adalah seramai 962 peserta.

MH: Adakah perwakilan dari luar negara yang hadir bersama di MTP kali ini?

DrA: Tahun ini tidak ada. Namun kami menjemput juga NGO luar seperti Badan Agama Dan Pelajaran Radin Mas (BAPA) dari Singapura dan dari dalam negara beberapa rakan NGO-NGO serta agensi kerajaan termasuk NGO Humaniti yang sering seiring dengan HALUAN dalam isu keadilan sejagat. Ternyata penyertaan daripada jemputan khas kita tidak menghampakan.

MH: Dari segi prasana di sini, berapakah kapasiti yang mampu ditanggung oleh resort ini?

DrA: Di segi keselesaan kapasiti dewan, dalam 800 orang. Namun kami ada dewan luaran yang boleh juga menampung lebihan peserta yang boleh menyertai prosiding dengan layar.

MH: Boleh tuan Dr sebutkan fasiliti apa yang digunakan di resort ini bagi memastikan kelancaran program ini?

DrA: Resort ini luas. Yang utama sekali kita ada Dewan Besar yang menjadi pusat persidangan utama semasa perasmian tadi. Kesemua hadiran telah memenuhi ruang yang disediakan di sini. Kita juga ada Asrama yang selesa dengn katil double-decker, kita ada Surau, serta Dewan Makan. Demi memenuhi permintaan ahli yang ramai, kami juga turut menyenaraikan beberapa buah homestay serta hotel berdekatan bagi menampung kehadiran perwakilan dan pemerhati dari HALUAN seluruh negara yang tiba.

MH: Bagaimana pula fasiliti untuk ahli-ahli yang membawa anak mereka bersama ke MTP kali ini?

DrA: Sudah pastinya ini menjadi cabaran tambahan bagi kami di urusetia. Namun kami terasa ini suatu keperluan membiasakan anak-anak kecil dan besar dengan program seumpama ini demi mencedok ilmu dan pengalaman berharga bermusafir bersama keluarga. Kedatangan keluarga sedemikian merupakan rahmat kepada Islam sebenarnya. Baik, pihak urusetia telah merancang aktiviti khusus bagi anak-anak terbabit dengan pengasingan bilik bagi memberi peluang kepada ibubapa mereka untuk fokus kepada acara MTP. Dan kami sediakan juga Bilik Khas untuk ibu-ibu dengan anak kecil untuk turut menyertai prosiding mesyuarat nya dengan sound systemnya sendiri. Mereka masih boleh mendengar acara dari bilik tersebut.

MH: Dari segi pendaftaran bagaimanakah kelancarannya?

DrA: Alhamdulillah, di sini izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Biro Penerangan HALUAN yang telah memberikan kerjasama yang baik kepada kami. Biro ini telah memungkinkan kami mengelak sebarang kekusutan pendaftaran dengan melaksanakan sistem pendaftaran secara online yang sangat membantu. Maka pendaftaran awal telah dilaksanakan sebelum MTP lagi secara online melalui wakil-wakil HALUAN di negeri masing-masing. Tiada lagi sesi pendaftaran setibanya peserta di MTP tadi.

MH: Akhir sekali apakah pengharapan Dr dan urusetia MTP sendiri terhadap acara kali ini?

DrA: Ini adalah pengalaman pertama kami seluruh negeri mengacarakan perhimpunan ahli HALUAN yang sebegitu ramai. Kami memang rasa gugup dan cemas pada mulanya tetapi semangat ukhwah yang kuat ahli kami serta gandingan daripada HALUAN Pusat memungkinkan kami menjayakannya. Hari ini dan esok bakal menyaksikan beberapa adegan lagi mesyuarat dan aktiviti sekitar resort ini yang akan melibatkan ahli-ahli kita. Kami di Johor telah mencuba yang terbaik semampu kami. Saya berharap dan berdoa semoga hari berbaki ini akan berjalan dengan lancar dan menghasilkan keputusan-keputusan yang bermanfaat kpd ahli-ahli, seterusnya masyarakat. Kami memohon maaf kepada semua ahli sekiranya terdapat kelemahan di pihak kami.

Laporan mediaHALUAN