fbpx

Kecelaruan Nilai Punca Umat Lemah

Kecelaruan Nilai Punca Umat Lemah

Kecelaruan Nilai Punca Umat Lemah

ULU TIRAM, JOHOR, 30 Mei 2015 – Forum Perdana menarik sempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN (MTP) Ke-26 di sini telah mengajak ratusan peserta hadirin untuk mengimbau permasalahan umat di bawah tajuk Islam Di Persimpangan Jalan.

Forum disertai oleh tiga orang personaliti menarik itu berjaya mencungkil rahsia kelesuan umat Islam hari ini dan mengajak peserta menjauhi retorika medan selesa dalam membimbing semula umat yang sedang tempang ini.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata apa yang kita menganggap Islamik hari ini boleh jadi dibina bukan dengan asas-asas yang Islamik. “Penjajahan yang berjalan sekarang bukan lagi untuk menjajah tanah tetapi agenda utama musuh adalah memecahkan umat Islam yang dulunya bersatu di bawah khalifah Islamiyah menjadikannya serpihan yang semakin kecil. Mereka melenyapkan undang-undang Islam di tanahair kita sendiri,” katanya.

Sistem pemerintahan di Malaysia berbentuk demokrasi yang asalnya bukan Islam. Asas Islam adalah pada wahyu walhal asas demokrasi adalah pada ideologi pemikiran manusia. Ekonomi dunia dikuasai bukan Islam serta tiada negara Islam tersenarai sebagai negara maju. Walaupun kita kaya, kita menjadi negara pengguna, bukan pengeluar apatah lagi pencipta untuk kebaikan manusia sejagat.

“Beras, bahan makanan dan keperluan harian bukan orang Islam yang keluarkan. Harta dalam bandar besar tidak sampai 5% milik orang Melayu Islam. Ini semua sangat jauh dari apa yang kita harapkan sebagai bangsa yang mampu mendokong amanah memerintah. Apa yang tercerna dalam masyarakat kini perlu diproses semula dengan proses lama iaitu pendidikan. Sayangnya yang cerdik pandai di kalangan kita pantas dihantar ke luar negara dan kembali sebagai cendekiawan dan teknokrat yang sudah diacuankan dengan ideologi pemikiran ala barat serta nilai yang jauh daripada tuntutan syarak. Maka tidak hairan lah Islam hari ini menjadi kucar-kacir,” jelas beliau kepada soalan moderator, Prof Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib.

Naib Presiden HALUANITA, Prof Madya Dr Asmawati Desa selaku panelis kedua menempelak umat ini yang lesu ilmu dan pemalas dalam menggali khazanah ilmiah dan teknologi.

“Dr Yusuf Qardhawi pernah sebut bahawa umat Islam kini sudah lupa diri mereka, terhakis nilai dan keIslaman yang tulen daripada keturunan mereka. Kekuatan akal mereka disia-siakan. Musuh merasa senang nak ganyang Islam kerana umat Islam sudah tiada perancangan. Mereka menjadi satu umat yang sudah tidak suka membaca apatah lagi mencipta. Kekuatan amalan disia-siakan dengan interpretasi sempit, lebih banyak bercakap dan berdebat tapi tidak melaksanakan. Menjadi retorika yang hanya duduk di atas kertas. Itulah hasilnya umat ini dan terjadilah kita umat yang lesu dan sempit segala buah fikiran,” katanya sebagai ahli akademik berpengalaman mengkaji saikologi manusia.

Katanya antara langkah yang perlu diambil ummah ini adalah para pendakwah dan gurunya perlu mengenalpasti pelbagai anasir negatif yang sengaja diujudkan musuh. Para-para ibu tidak ketinggalan diburu musuh, tidak terkecuali daripada dimangsai anasir negatif dari internet. Serangan ideologi ini perlu dibanteras secara organisasi tersusun.

“Inilah masanya kita kena kuatkan institusi kekeluargaan, perlu fokus kepada keluarga sendiri agar menjadi unit yang jati bukan di sudut ekonomi semata-mata. Ibu bapa kena tahu apa yang anak-anak layari dan langgani. Kembalikan keluarga kita kepada neraca Islam dalam bentuk keluarga dan jamaah. Kita dalam HALUAN yang lebih memahami isu ini perlu tawarkan diri kita untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat sekarang,” cabar beliau.

Panelis ketiga iaitu YDP HALUAN Cawangan Kelantan, Ustaz Mohd Noor Awang Kechik memetik kata-kata Dr Yusuf Qardhawi dan Dr Nazatullah yang mengkategorikan aspek kelemahan umat ini kepada sudut politik, ekonomi, intelektual, sosial dan pengurusan. Puncanya ialah kelemahan iman, akidah dan akhlak.

“Umat Islam yg mengaku Islam hakikatnya akidah mereka tak lagi Islamik. Di Malaysia dan di banyak negara kita keliru apa dia nilai Islamik dan apa dia nilai kebudayaan tradisi kita. Sesuatu yang tidak menjadi isu semasa zaman sahabat kini menjadi isu di zaman kita kerana celarunya kita tentang solusi Islam itu sendiri. Apa yang Rasulullah SAW sunnahkan akan diterbalikkan oleh sistem sekarang. Dan dalam nak ikut sunnah, yang haram pun kita buat juga. Kita dirasuk kecelaruan nilai yang amat genting,” tegas beliau.

Jelasnya lagi, sistem pemerintahan yang Islami ditukar menjadi sekular. Ekonomi Islam ditukar kepada riba. Pendidikan ditukar kepada nilaian barat yang tidak semestinya tepat segi aqli dan ruh Islam.

“Sistem pendidikan Islam yang ada pula tidak dibina di atas ruh Islam yang sebenar. Penjajah tinggalkan kita dua perkara; ibadah khusus yang ritual, serta adat-istiadat dalam masyarakat. Dengannya, masyarakat Melayu Islam berasa cukup selesa dan itulah mindset kehendak penjajah. Memadai selesa dengan pergi masjid, mendengar kuliah. Majoriti orang Islam hari ini tidak merasa bahawa berkerja untuk memertabatkan semula Islam itu suatu fardhu. Sedangkan seluruh kehidupan kita kena bertunjangkan akidah dan iman,” jelas Ustaz Mohd Noor.

“Mana tidak kelirunya. Suasana seperti yang berlaku sekarang dalam usaha perlaksanaan syariat hukum hudud; yang bukan Islam menolak, yang Muslim ada yang terima dan ada yang tak. Tapi yang anehnya yang duduk dalam jamaah Islam pun boleh menolaknya,” jelas beliau.

Laporan oleh mediaHALUAN
Foto oleh Nazim Amzed