fbpx

MTP26: KKH Akan Tawar Khidmat Konsultansi Pakar

MTP26: KKH Akan Tawar Khidmat Konsultansi Pakar

MTP26: KKH Akan Tawar Khidmat Konsultansi Pakar

mtpkkh0BANDAR BARU BANGI, 25 Mei 2015 – Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) akan menawarkan kelainan semasa Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN Ke-26 di Ulu Tiram, Johor hujung minggu ini.

Buat pertama kalinya KKH tidak akan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan biasa seperti yang sering diadakan semasa MTP sebelum ini. Sebaliknya, KKH akan menawarkan khidmat konsultansi doktor pakar khusus untuk ahli HALUAN yang berusia 40 tahun dan ke atas sahaja.

Menurut Pengerusi KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa, kelainan ini bertujuan memberikan tumpuan yang lebih khusus kepada generasi HALUAN yang semakin meningkat usia. Kebelakangan ini semakin ramai di kalangan ahli HALUAN yang mengidapi penyakit-penyakit kronik yang membimbangkan dan bahkan sehingga mengakibatkan maut. Ramai di kalangan ahli tidak tahu langkah-langkah pencegahan dan rawatan moden yang sesuai untuk diri mereka lantaran tidak mendapat maklumat atau gambaran yang betul sehingga melarat dan terlambat untuk dirawat.

“Tapi kami KKH ada syarat jika ada ahli yang ingin mendapatkan servis konsultasi percuma kami di Ulu Tiram pada 29-31 Mei nanti,” berkata beliau sambil menggariskan syaratnya seperti berikut:

  1. Berumur 40 tahun dan ke atas, dan
  2. Perlu membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh (full medical check-up) di mana-mana klinik swasta terlebih dulu dan hadir bersama laporan pemeriksaan makmal

“KKH ingin lebih profesional di segi jenisan khidmat kami. Kami ingin berganjak kepada kumpulan sasar yang lebih khusus dan pada peluang MTP ini, ahli-ahli yang akan kami santuni hanyalah mereka yang sudah mencecah umur 40 tahun dan ke atas,” tegas beliau dalam temubual dengan mediaHALUAN.

“Namun begitu, jika umur sudah 40an tetapi datang tanpa laporan makmal lengkap, kami tidak dapat melayan juga kerana khidmat kami kali ini bukan pemeriksaan kesihatan biasa. Kali ini klinik pakar KKH. Jadi ahli kena berikan kerjasama dalam beberapa hari berbaki ini untuk pergi ke klinik swasta biasa dan jalani pemeriksaan kesihatan dan bawa kemari laporan makmal yang diberi. Barulah kami dapat saringkan dan menyalurkan beliau kepada doktor pakar KKH yang bersesuaian. Kami minta sangat-sangat kepada ahli HALUAN yang berminat untuk bersedia dengan dokumen yang kami perlukan ini,” pesan beliau lagi.

Konsultansi doktor pakar yang bakal ditawarkan termasuklah:
• Perbidanan dan sakitpuan
• Jantung dan paru-paru
• Ortopedik
• Perubatan Am
• Kesihatan Keluarga
• Mata
• Telinga, Hidung dan Tekak, dan
• Psikaitri

Koordinator KKH di MTP adalah Dr Norseha Senin, seorang pakar perubatan keluarga. Menurutnya, KKH mempunyai kapasiti untuk memeriksa seramai 100 orang sahaja dengan 12 orang pakar dan beberapa orang pegawai perubatan serta dibantu oleh pasukan Sains Kesihatan HALUAN terdiri daripada jururawat terlatih dan ahli farmasi.

Menurut beliau, jadual pemeriksaan adalah pada hari Jumaat, 29 Mei dari pukul 3.00-6.00 petang, dan pada hari Sabtu dari jam 5.00 hingga 6.00 petang sahaja.

“Kami sangat mengesyorkan setiap ahli HALUAN untuk sekurang-kurangnya menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh (full medical check-up) di mana-mana klinik swasta sekali setiap tahun. Harganya di antara RM45 yang asas hinggalah ke RM200 dengan profil darah dan kencing yang lebih spesifik seperti mengesan keberangkalian adanya sel kanser di dalam badan, masalah thyroid dan seumpamanya. Terpulanglah kepada ahli untuk memilih pakej yang mana. Yang penting, sekali setiap tahun, jalani ujian ini apatah lagi kalau kita sering tidak sihat atau terlebih berat badan menjelang usia 40an ke atas,” pesan Dr Muhaizan yang juga seorang doktor pakar patologi atau kajian penyakit.

“Pihak KKH ingin memohon agar kepimpinan HALUAN setiap negeri yang akan menghantar perwakilan ke MTP kali ini untuk menyampaikan pesanan KKH ini kepada ahli-ahli mereka,” katanya lagi.

Laporan mediaHALUAN