fbpx

Bicara Wanita Platform Dakwah Para Pemudi HALUAN

Bicara Wanita Platform Dakwah Para Pemudi HALUAN

Bicara Wanita Platform Dakwah Para Pemudi HALUAN

SHAH ALAM, 13 Sept 2015 — Golongan pemuda dan pemudi merupakan generasi harapan dan agen perubahan dalam sesebuah masyarakat. Bagi menyahut seruan ini, para pemudi di bawah Unit Pemudi, Biro HALUANITA, HALUAN Cawangan Selangor telah melaksanakan satu program berkala iaitu program “Bicara Wanita” dengan matlamat untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan berusaha menyampaikan dakwah kepada mereka.

Program Bicara Wanita Siri ke dua telah diadakan pada 13 September 2015, dengan kerjasama Masjid an-Naim, Jalan Kebun bertempat di Dewan Seminar Masjid an-Naim dengan tajuk “Anak Gadisku Sudah Dewasa”. Forum ini disampaikan oleh panel-panel yang berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Dr Nur Hidayati Zainal yang merupakan pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan Tengku Ampuan Rahimah dan juga Ustazah Zaiemilia Mohd Rokhani yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Sektor Repositori dan Rangkaian, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Forum selama tiga jam ini memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta yang hadir tentang haid dari segi perubatan serta sudut pandangan fiqh Islam. Tujuannya antara lain adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya para remaja tentang kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan apabila sudah mencapai akil baligh seperti penjagaan aurat, perlaksaan solat yang sempurna dan sebagainya.

Ilmu-ilmu yang benar bersumberkan Al-Quran dan Hadis perlu menjadi asas kepada perlaksanaan amal harian bagi setiap muslimah kerana ia menjadi syarat utama penerimaan amal ini oleh Allah SWT. Dengan inisiatif sebegini, komuniti masyarakat terutamanya golongan hawa dapat mempelajari secara mendalam dan jelas bagi merungkaikan segala persoalan-persoalan yang mungkin selama ini kabur atau samar.

Seramai 120 penduduk kampung dari sekitar Jalan Kebun, Kota Kemuning dan Kampung Lombong telah hadir menyertai program ini. Para peserta terdiri daripada remaja perempuan berusia 10 hingga ke 17 tahun dan tidak ketinggalan para ibu-ibu yang begitu bersemangat menuntut ilmu tanpa jemu.

Pengerusi Unit Pemudi, Raudhah Abdul Latif berkata, “Ini merupakan usaha kecil yang baru dimulakan oleh para pemudi untuk bersama dengan masyarakat. Harapannya semoga usaha ini dapat menjadi medan mendidik dan memperbaiki kefahaman masyarakat dalam merealisasikan Islam sebenar yang syumul dalam kehidupan mereka.”


Laporan oleh Afifah Hamdan, Setiausaha Unit Pemudi