fbpx

Silaturahim Ahli Kian Mekar di Hari Keluarga KBHI 2015

Silaturahim Ahli Kian Mekar di Hari Keluarga KBHI 2015

Silaturahim Ahli Kian Mekar di Hari Keluarga KBHI 2015

kbhi-1PANGKOR, PERAK 13 Okt 2015 – Kelab Belia HALUAN Ipoh (KBHI) telah mengadakan Hari Keluarga KBHI kali ke tiga pada 10 hingga 11 Oktober 2015 bertempat di Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor, Perak.

Program dwitahunan diadakan dengan tujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama ahli dan keluarga serta melahirkan rasa keterikatan hati untuk terus sama-sama menyokong visi misi dan perjalanan aktiviti kelab. Seramai 70 orang dikalangan ahli termasuk ahli keluarga serta kanak-kanak telah menjayakan program pada kali ini.

Program bermula sekitar jam 12.00 tengahari ketika bot mula bergerak dari Jeti Marina ke Pulau Pangkor dan seterusnya tiba di penginapan peserta di Purnama Beach Resort. Sesi taklimat dan ucapan alu-aluan oleh Encik Muhammad Ridhwan, sebagai pengarah program.

Beliau menerangkan secara ringkas objektif program, serta tentatif program secara keseluruhan dan menekankan aspek keselamatan peserta yang perlu diambil berat oleh semua pihak. Semua ini bertujuan untuk memastikan program Hari Keluarga ini berjalan dengan lancar.

Seterusnya, slot ice breaking dan acara berkumpulan untuk lelaki dan perempuan telah dijalankan di dalam dewan sebagai acara pemecah tembok perhubungan antara peserta. Aktiviti sangat santai dan bertujuan untuk mewujudkan suasana mesra dan harmoni antara peserta yang hadir. Antara aktiviti yang mencabar minda para peserta ialah permainan Teka Lukisan. Permainan ini menunjukkan bahawa daya imaginasi dan pentafsiran terhadap sesuatu perkara setiap orang itu berbeza. Sementara itu, kanak-kanak pula menjalankan aktiviti air di kolam renang yang berdekatan.

Di sebelah malam pula, penganjur telah mengadakan sesi jamuan makan malam berserta BBQ. Kesempatan ini telah memberikan ruang kepada para ahli untuk berkenalan lebih rapat dan beramah mesra.

Pada keesokan harinya, program dimulakan dengan sesi tazkirah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Latiff Ismail, Pengasas Ma’ahad Tahfiz Daie Wa Diniah (MADANI). Dalam perkongsian ilmu di waktu awal pagi itu, beliau banyak menyentuh tentang penyakit cintakan dunia dan takut akan kematian. Menurut beliau, penyakit ini amat merbahaya kepada manusia kerana dengan perasaan cintakan dunia membolehkan manusia melupai tujuan asal keberadaanya di muka bumi Allah SWT dan sekali gus, akan menyebabkan manusia itu leka dan lupa akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT.

Selepas sesi bersarapan pagi sekitar jam 8.30 pagi, program diteruskan dengan aktiviti sukaneka di tepi pantai yang melibatkan semua peringkat umur peserta hari keluarga ini. Pelbagai aktiviti telah disediakan oleh pihak pengajur antaranya lumba lari kaki tiga, kereta sorong, span air dan pelbagai lagi. Seterusnya diselesaikan dengan aktiviti mandi-manda di sekitar persisiran pantai. Pada jam 11.30 pagi, program diteruskan dengan Ucapan Penutup oleh Ust. Muhammad Isam Idris, Ketua Biro Sukan & Rekreasi HALUAN. Beliau menekankan tentang penting kebersamaan setiap ahli dalam menyuburkan ukhuwah di kalangan ahli KBHI. Program sebegini wajar diteruskan di masa hadapan dan diharapkan semua ahli KBHI terus-menerus memantapkan tali persaudaraan yang telah sedia terjalin ini.

Akhir sekali, Hari Keluarga KBHI 2015 diakhiri dengan Ucapan Penangguhan oleh Encik Muhammad Fadhli Razali, Pengerusi Kelab Belia HALUAN Ipoh. Memetik ucapannya, beliau sangat bergembira dengan komitmen yang telah ditunjukan oleh setiap ahli KBHI dalam semua program yang telah disusunkan oleh pihak kelab. Semua ini menjadi kayu ukur penting dalam memastikan organisasi ini terus hidup dan bergerak bagi mencapai visi serta misi KBHI.

Merumus tentang Hari Keluarga KBHI 2015, beliau menyatakan bahawa hari keluarga ini telah memekarkan lagi ikatan silaturahim ahli dan besar harapannya agar ia terus menjadi pemangkin kepada ahli untuk terus komited bagi menjayakan seluruh aktiviti kelab di masa mendatang.


Laporan disediakan oleh Ahmad Yusof Razali, Setiausaha Hari Keluarga KBHI 2015