
SBR Bantu Ibu Tunggal dan Asnaf di Putrajaya
BANDAR BARU BANGI, 15 Mac 2025 — Majlis Iftar Ramadan HALUAN cawangan Putrajaya melalui kempen Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0 telah membawa sinar kepada lebih 50 keluarga ibu tunggal dan asnaf. Program yang bertemakan “Menyantuni Ibu Tunggal dan Asnaf Bersama Keluarga” berkenaan telah berlangsung di Dewan Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur (KTDKL) di sini.
Naib Yang Dipertua 6 (NYDP6) HALUAN cawangan Putrajaya, Dr. Norhaiza Nordin telah menyerahkan pek makanan dan sumbangan wang tunai kepada wakil-wakil komuniti untuk diagihkan kepada penerima yang layak di lokaliti masing-masing.
Program anjuran Biro HALUANITA ini bertujuan membantu meringankan beban kehidupan fakir miskin, meningkatkan kesedaran anak-anak tentang kepentingan membantu golongan kurang bernasib baik serta memberi peluang kepada mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan melalui amalan bersedekah.
Kos sara hidup yang tinggi memberi tekanan kepada ibu tunggal dan keluarga asnaf terutama dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan, sewa rumah dan pendidikan anak-anak.
Masyarakat diseru untuk terus menyokong program kebajikan seperti ini agar tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan. Dengan sumbangan dan sokongan berterusan, lebih banyak keluarga dapat dibantu, mengurangkan beban mereka, dan membina kehidupan yang lebih stabil.


Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga
HALUAN Malaysia