
HALUAN Jemput Masyarakat Sertai Ibadah Korban 1446H
BANDAR BARU BANGI, 16 Apr 2025 – Musim Aidiladha bakal menjelang lagi. Inilah masa yang dinanti-nantikan saban tahun oleh ramai golongan memerlukan khususnya ibu-ibu daripada keluarga yang serba kekurangan, yang menyimpan harapan agar anak-anak mereka dapat merasai keenakan daging korban walau hanya setahun sekali. Sebuah senyuman kecil di pagi raya boleh menjadi sinar harapan dalam hidup yang serba mencabar.
HALUAN Malaysia kini membuka pendaftaran bagi Program Ibadah Korban 1446H, meneruskan tradisi selama 25 tahun berturut-turut dalam mempermudah urusan korban umat Islam khasnya buat masyarakat prihatin di seluruh negara dan ahli HALUAN sendiri. Pelancaran rasmi program ini telah disempurnakan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam satu siaran khas melalui TV HALUAN malam tadi.
“Kita baru sahaja selesai melalui tarbiah ramadan. Kini tibalah pula masa untuk kita menunaikan satu lagi ibadah besar – iaitu korban – yang sangat berkait rapat dengan ibadah haji bagi mereka yang mampu,” jelas beliau. “Ini adalah peluang bagi kita menzahirkan takwa melalui tindakan nyata. Mereka yang berkemampuan tetapi tidak berkorban telah mensia-siakan satu keutamaan ibadah yang agung.”
HALUAN telah melaksanakan program korban sejak tahun 2000, dengan pelaksanaan melangkaui sempadan merangkumi komuniti Islam yang memerlukan di lebih 20 buah negara. Sasaran utama agihan daging korban termasuklah golongan asnaf, mualaf, orang asli, mangsa peperangan, kemiskinan dan penindasan.
“Setiap bahagian korban yang kita sumbangkan memberi erti besar — bukan sahaja mengenyangkan perut yang lapar, tetapi juga menyuburkan nilai kasih sayang dan kepedulian sesama umat,” tambah beliau. “Setiap sumbangan walau sekecil mana pun, mampu menjadi permulaan kepada perubahan besar dalam kehidupan saudara-saudara kita di Gaza, Syria, Yaman, Mindanao dan banyak lagi.”
Lebih dari sekadar ibadah sunat muakkad, Program Korban HALUAN menjadi jambatan penerusan kepada pelbagai usaha kebajikan, pendidikan dan pembangunan insan di kawasan-kawasan yang amat memerlukan. Ia turut menjadi platform tarbiah sosial yang menyemai semangat empati, tanggungjawab dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimana anda boleh menyertai program ibadah korban ini? Anda boleh mendaftar secara atas talian di www.korban.haluan.org.my, atau hadir terus ke pejabat HALUAN yang terdekat. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus ke sekretariat di talian 011-5779 6309 atau 03-8926 8892.




—
Laporan Fatin Atirah Abdul Sani
Setiausaha Kerja
Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN Malaysia