fbpx

Ziarah Pulau Ketam Ajar Erti Dakwah

Ziarah Pulau Ketam Ajar Erti Dakwah

Ziarah Pulau Ketam Ajar Erti Dakwah

PULAU KETAM, SELANGOR, 1 Dis 2018 – Program Mesra Masyarakat Pulau Ketam anjuran HALUAN Siswa Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dengan kerjasama Biro HALUAN Fitrah (BHF) telah membuka lembaran baru persada dakwah untuk siswa-siswi berkenaan.

Program dari 1 ke 2 Disember 2018 itu turut  menjalin ukhuwah bersama pelajar Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) yang bertapak di pulau itu. Peserta terdiri daripada 31 orang siswa-siswi HALUAN KUIS dan 15 orang sukarelawan BHF.

Perjalanan menaiki bot selama 35 minit memuatkan 46 peserta berkenaan  tiba di jeti Pulau Ketam awal pagi disambut oleh pelajar ATM yang berbaju merah.

Program bermula jam 9.00 pagi dengan ketibaan dan pendaftaran masyarakat Cina diikuti dengan sesi ucapan aluan oleh Ketua Kampung Pulau Ketam, Datuk Cha Keng Lee dan Ketua Biro BHF, Dr. Basir Towil. Dalam masa yang sama, masyarakat Cina disajikan dengan booth “Islamic Info”, “Hijab Corner” dan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dikendalikan oleh pasukan daripada Biro Kesihatan HALUAN di bawah pimpinan Dr. Ahmad Zabidin Zakaria.

Salah seorang anggota masyarakat peserta di sana, Auntie Chow Lee, terasa teruja ketika menggayakan tudung yang disediakan dan telah meminta izin supaya tudung itu diberikan kepada beliau. Penganjur dengan berbesar hati menghadiahkannya.

Program diteruskan dengan pengagihan sumbangan keperluan asasi kepada golongan yang memerlukan. Antara agenda yang menarik perhatian semua ialah persembahan nyanyian oleh pelajar ATM dalam bahasa Mandarin, salah satu kaedah dakwah dalam menggunakan lingua franca penduduk setempat dengan lebih berkesan.

Menurut pandangan salah seorang sukarelawan, Cik Nurul Syafiqah Abd Halim, penguasaan bahasa Mandarin adalah amat penting dalam menjalin silaturrahim di antara masyarakat Cina untuk lebih mudah memahami budaya dan berinteraksi dengan mereka. Selanjutnya, Dr Basir membentangkan ceramah kesihatan berkenaan Ortopedik. Melalui ceramah ini, masyarakat mendapat maklumat mengenai masalah sendi dan penjagaan yang betul.

Gandingan sukarelawan BHF dan siswa-siswi KUIS yang hadir pada program ini adalah demi melaksanakan sumbang saran terbaik agar dakwah kepada generasi muda Not Yet Muslims akan dapat disusun dengan sistematik. Generasi muda dapat belajar menyantuni masyarakat belum Islam dalam memahami sosio-budaya serta keperluan mereka dalam rangka memberi pendedahan mengenai Islam. Pada sebelah petangnya, peserta menziarahi dua buah rumah penduduk Cina muslim dan kawasan sekitar Pulau Ketam.

Siswa-siswi KUIS pula mengendalikan acara Explorace dan latihan dalam kumpulan bersama pelajar ATM di dataran Pulau Ketam. Di samping itu, sukarelawan BHF meneruskan program dengan menziarahi orang asli di Kampung Sungai Dua, Pulau Ketam. Setibanya di Sungai Dua, sukarelawan mengagihkan barangan keperluan kepada setiap keluarga di sana. Majoriti mereka adalah beragama Islam. Salah seorang daripada mereka bercerita mengenai perjalanan hidupnya yang baru memeluk Islam setelah menganut agama Kristian sebelumnya. Terpancar kegembiraan di wajah mereka kerana kedatangan sukarelawan yang menyantuni mereka.

Pada pukul 2.00 petang, semua peserta yang terlibat telah berkumpul semula di Balai Islam untuk acara penutup.

_
Laporan Nurasna Abd Halim
Ketua Unit Biro HALUAN Fitrah HALUN Cawangan Kuala Lumpur