fbpx

Wakil HALUAN lawat Kunak bagi melaksanakan projek masyarakat luar bandar

Wakil HALUAN lawat Kunak bagi melaksanakan projek masyarakat luar bandar

Wakil HALUAN lawat Kunak bagi melaksanakan projek masyarakat luar bandar

5 Julai 2009, Kunak, Sabah – Seramai 10 orang wakil HALUAN telah mengadakan lawatan ke Kunak dari 4hb hingga 5 hb Julai, Sabah bagi menjayakan projek Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) di kawasan berkenaan.


Lawatan tersebut adalah merupakan susulan daripada kerjasama di antara HALUAN dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang melibatkan negeri Sabah dan Kelantan.

Bagi negeri Sabah, daerah Kunak telah dipilih oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi menjalankan projek PKP dan PPMI ini.

Wakil HALUAN yang menyertai lawatan tersebut adalah Dr Azizan bin Ahmad yang merupakan Pengerusi Projek, Dr Wan Muhaizan bt Wan Mustaffa sebagai Pengarah Projek, Tuan Haji Rosli bin Adam yang mewakili Biro Ekonomi HALUAN, Dr Wan Zallila Izzuddin sebagai wakil Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) dan enam orang Ahli Jawatankuasa Projek dari Sabah.

Dalam lawatan tersebut, wakil-wakil HALUAN telah mengadakan sesi taklimat geran, penerangan dan perbincangan aktiviti yang akan dilaksanakan. Mereka juga mengadakan lawatan hormat ke Pejabat Ahli Parlimen Kunak, YB Nilwan Kabang dan perjumpaan dengan wakil YB Kunak. Beberapa buah kampung dan pusat masyarakat juga sempat dikunjungi, termasuklah Kampung Kunak 3, Kampung Kampilan, Kampung Pangin dan Masjid Nurul Iman.

Ahli Jawatankuasa pelaksana peringkat daerah Kunak juga telah berjaya dilantik.

Hasil dari lawatan tersebut, HALUAN dapati masih ramai penduduk di Kunak yang tergolong dalam golongan miskin tegar. Banyak kemudahan asas seperti elektrik dan air yang tidak diperolehi. Ramai kanak-kanak yang tidak bersekolah.

Wakil YB Kunak amat berbesar hati dan berharap HALUAN dapat membantu mereka memperolehi data yang lebih lengkap tentang penduduk miskin yang perlu bantuan melalui e-kasih. Diharapkan projek ini akan dapat memberi ruang kepada HALUAN untuk terus mendidik dan berbakti kepada masyarakat, terutama mereka yang berada di luar bandar.