fbpx

Sukarelawan Konvoi Flotilla Kongsi Pengalaman Di Kuching

Sukarelawan Konvoi Flotilla Kongsi Pengalaman Di Kuching

Sukarelawan Konvoi Flotilla Kongsi Pengalaman Di Kuching

16 Julai 2010, Kuching — Sukarelawan HALUAN yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza telah mengadakan sesi penerangan permasalahan Palestin dan perkongsian pengalaman diserang tentera Zionis di atas kapal Mavi Marmara bersama-sama penduduk di sekitar Bandar Kuching.


Dr Mohd Arbaai Shawal, seorang doktor perubatan yang juga ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) diterbangkan khas dari Johor untuk  menyampaikan ceramah di beberapa surau, masjid dan juga institusi pengajian tinggi sekitar Kuching.

Sesi ceramah dan perkongsian pengalamannya bermula dengan ceramah selepas solat Maghrib di Surau Kampung Balai Ringin Serian, kira-kira 90 kilometer dari Bandar Raya Kuching. Alhamdulilah, sambutan dari penduduk setempat pada malam tersebut sangat menggalakkan, dengan anggaran seramai 200 orang yang hadir.

Seterusnya selepas selesai sesi perkongsian pengalaman di Masjid BDC Kuching, Dr. Mohd Arbaai terus bertolak ke Masjid al-Qurawiyyin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak bagi memenuhi jemputan ceramah bersama-sama penduduk tempatan sekitar Samarahan yang dikenali sebagai pusat ilmu kerana wujudnya institusi pendidikan tinggi termasuklah UNIMAS, Maktab Perguruan dan UiTM Sarawak.

Bandar Raya Kuching bukanlah suatu tempat yang asing bagi Dr. Mohd Arbaai dan isterinya Dr. Fauztana kerana mereka pernah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai doktor di beberapa buah hospital di Sarawak. Ada dari kalangan kenalan lamanya  telah menjemput Dr Mohd Arbaai untuk memberikan ceramah dan berkongsi pengalaman di Masjid BDC Kuching pada keesokan harinya pada 17 Julai 2010. Seramai 50 orang jemaah yang hadir ke sesi perkongsiannya selepas solat Subuh.

Misi sesi ceramah dan perkongsian Dr Mohd Arbaai di Sarawak diakhiri dengan ceramahnya di Kampung Bukit Berangan yang terletak berhampiran dengan UiTM Sarawak untuk bersama-sama dengan penduduk di sekitar Muara Tuang. Sesi perkongsiannya berakhir selepas solat Zohor sebelum beliau dan isterinya berangkat pulang ke Johor pada jam 7.00 petang.

Alhamdulilah, walaupun  perkongsian dan kunjungan Dr Mohd Arbaai ke Sarawak amat singkat, misi dan hasrat untuk berkongsi pengalamannya bersama penduduk di sekitar Bandaraya Kuching boleh disifatkan sebagai suatu yang Berjaya. Beliau telah telah Berjaya memberikan kefahaman, kesedaran, menyuntik semangat dan membuka mata masyarakat Islam di Bumi Kenyalang mengenai isu yang menyentuh permasalahan saudara Islam kita di Palestin. Yang jelas, persoalan Palestin adalah suatu perkara besar  yang melibatkan persoalan aqidah setiap orang Islam.

Kutipan sumbangan dana untuk Tabung Palestin  sepanjang program bersama masyarakat di Kuching ini mencecah lebih RM1000.

——————–

Laporan disediakan oleh:
Mohd Khusyairie Marzuki