fbpx

Perwakilan HALUAN Mendokong Seruan Presiden

Perwakilan HALUAN Mendokong Seruan Presiden

Perwakilan HALUAN Mendokong Seruan Presiden

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
Surah As Saff: 2-3


Begitulah muqadimah aluan oleh pengerusi majlis, Prof. Dr. Abdul Hakim Mohamad, Naib Presiden 1 HALUAN Malaysia, dalam memulakan sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden. Beliau memperingatkan para perwakilan bahawa dalam kita berbahas kita juga perlu seimbang dan jujur dengan apa yang telah kita usahakan untuk memenangkan dakwah dan tarbiah islamiyah.

Perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Mesyuarat Perwakilan Tahunan (MPT kali ke 21) pada tahun ini telah menyingkap keseriusan pembahas yang mewakili setiap cawangan negeri, mahu melihat HALUAN terus ke hadapan dalam mendepani kerja besar HALUAN, mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Tema Ucapan Dasar Presiden pada kali ini ialah “Memantapkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti”.

Kesemua wakil negeri menghantar wakil masing-masing dalam membahas ucapan Presiden. Ucapan dari wakil HALUAN Terengganu, saudara Zahari Salleh antara yang paling berjaya menarik perhatian lebih dari 600 orang perwakilan HALUAN yang hadir. Dengan temanya menerobos mimpi dan fantasi, beliau merasakan HALUAN semakin menuju umur kematangan sesuai dengan usianya kini yang mencecah 21 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1988. Pada umur sebegini seharusnya HALUAN menampilkan ciri sebuah pertubuhan muda yang tegap dan berani, cergas dan dinamik.

Menurut Zahari lagi, fasa semasa yang sedang dilalui HALUAN kini semakin kritikal, menuntut para anggota HALUAN mempertingkatkan segala bentuk kerja dakwah dan tarbiyah, dan ianya semakin melebar menyentuh segenap lapisan mensyarakat. Dalam usaha ahli HALUAN meningkatkan kualiti diri, wakil dari Terengganu ini menyeru agar ahli HALUAN memuhasabah dan menyemak perjalanan halaqah dan tarbiah masing-masing, termasuk ahli keluarga sendiri.

Ini kerana melalui institusi tarbiahlah yang mampu mencetuskan kualiti dan dinamika dakwah HALUAN. Beliau juga dengan penuh semangat menyatakan bahawa HALUAN pada hari ini telah berjaya menerobos mimpi dan fantasi bahawa HALUAN mampu memainkan peranan yang penting dalam menerajui pengislahan dalam masyarakat.

“Kita bekerja untuk di nilai oleh Allah swt.” Begitulah seruan wakil HALUAN P.Pinang, saudara Shukri Nordin. Menurut beliau HALUAN perlu berani ke hadapan membawa rahmatan lil ’alamin kerana tugas kita adalah membawa risalah Rasulullah saw. Justeru bagi memungkinkan kita untuk menjayakan misi rahmatan lil ’alamin, ahli HALUAN harus memantapkan tarbiah, kerana tarbiah adalah proses membentuk peribadi ahli menjadi hamba-hamba terbaik Allah swt.

Standard piawaian kita bekerja adalah menurut piawaian dan penilaian Allah swt. Kita bekerja bukan untuk menempah nama sebagai juara umat atau mendapat gelaran tertentu, sebaliknya asas kita bekerja adalah mencari keredhaan Allah swt. Maka ahli HALUAN perlu memelihara keikhlasan dalam beramal.

Saudara Shukri juga menyeru ahli HALUAN agar terus meningkatkan momentum dakwah HALUAN kerana usaha  mendidik dan berbakti HALUAN mendapat reaksi positif dan luarbiasa dari masyarakat. Semakin ramai yang menawarkan diri untuk menyertai HALUAN. Justeru menurut saudara Shukri, ahli HALUAN perlu terus mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan peribadi unggul seperti sabar, hikmah, amanah dan ikhlas dalam berhadapan dengan gerakerja di era keterbukaan ini. Ahli HALUAN  perlu tampil dengan lebih wibawa membawa mesej HALUAN yang jelas iaitu mendidik masyarakat dengan Islam yang sebenar dan mengajak masyarakat melakukan pengislahan kepada Islam.

Pembahas dari HALUAN Selangor, saudara Ridzuan Rahmat juga tidak kurang hebatnya. Menurut Ridzuan ahli HALUAN perlu bersedia berubah, kerana sikap tertutup akan merencatkan usaha HALUAN untuk ke hadapan. Memang amat sukar dan mencabar bagi sesebuah pertubuhan membina budaya baru dalam gerak kerja, namun HALUAN perlu bersedia menghadapinya. Marhalah dakwah HALUAN yang kini semakin meluas menuntut ahli HALUAN segera belajar memahami tuntutan suasana dalam berorganisasi dan bermasyarakat.

Saudara Ridzuan juga menjelaskan bahawa perubahan yang kita maksudkan bukanlah perubahan dari boleh kepada tidak boleh, dari ketat kepada longgar, sebaliknya perubahan yang kita usahakan tidak boleh lari dari penilaian syariah. Perubahan yang kita bawa mestilah perubahan yang sebagaimana di tunjukan oleh Rasulullah saw, merubah manusia mengenal hakikat kejadian dan penciptaannya dan menjadikan manusia beriman kepada Allah swt semata.

Ucapan dari pembahas Johor, Dr Khairul Anuar turut menarik perhatian serius perwakilan. Beliau memulakan ucapan dengan memperingatkan para perwakilan bahawa perhimpunan pada hari tersebut adalah sesi muhasabah bersama, bukan untuk membanggakan atas apa yang kita telah usahakan. Dalam memahami tuntutan meningkatkan kualiti, Dr. Khairul menegaskan bahawa keupayaan HALUAN memberikan khidmat kepada masyarakat bermula dengan kekesanan tarbiah yang dilalui oleh ahli HALUAN.

usteru seharusnya proses tarbiah yang telah dilalui seharusnya meningkatkan lagi usaha dakwah HALUAN kepada masyarakat. “Iman tidak ada makna tanpa amal, maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh..” pesan Dr. Khairul. Di akhir ucapan, Dr. Khairul juga menyeru agar HALUAN perlu memacukan tranformasi perubahan, justeru ahli HALUAN itu sendiri perlu merasai perubahan yang sedang dilalui, hatta diri kita, pemikiran kita dan cara bekerja kita juga perlu berubah dan ke arah perubahan.

Begitulah antara petikan ucapan oleh wakil-wakil HALUAN dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden. Turut berucap pada sesi itu juga adalah wakil HALUAN dari Kedah, Perlis, Kelantan, Perak, Sabah dan wakil HALUANITA.