
Perutusan Aidil Fitri dari HALUAN Malaysia
Assalamu’alaikum wbth.
Marilah kita bersama-sama memperteguhkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mempertingkatkan keiltizaman dan ketaatan kepada Allah s.w.t dalam semua aspek kehidupan.
Marilah kita menyampaikan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah s.w.t kerana kita dipanjangkan usia hingga dapat melalui Bulan رمضان المبارك dengan melaksanakan ibadah puasa yang difardhukan, إحيآء dan قيام رمضان. Kita berdo’a ke hadrat Allah s.w.t semoga ibadah yang telah kita persembahkan (laksanakan) itu dimakbulkan atau diterima oleh Allah s.w.t. Generasi السلف الصالح pada zaman awal Islam dahulu apabila رمضان berlalu maka selama enam bulan berikutnya mereka sentiasa berdo’a semoga amalan dan ibadah mereka sepanjang رمضان yang lalu itu dimakbulkan oleh Allah s.w.t dan apabila masuk عدة masa enam bulan kedua pula mereka sentiasa berdo’a semoga Allah s.w.t panjangkan umur mereka agar dapat lagi bertemu dengan Bulan رمضان tahun yang akan datang.
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah swt. !
Ramadhan beransur meninggalkan kita dan saatnya pasti akan meninggalkan kita semua. Di saat ia telah berlalu maka kita semua akan meraikan satu syawal, hari kemenangan dan Hari Raya Fitrah (عيد الفطر ) المبارك , satu daripada dua hari raya yang diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t iaitu عيد الفطر dan عيد الأضحى. Seerah dan Sunnah Rasulullah s.a.w mencatatkan bahawa setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Kota Yathrib ( المدينة ), Baginda s.a.w dapati orang-orang Madinah merayakan dua hari yang mereka warisi turun temurun dari zaman nenek moyang mereka. Maka Baginda s.a.w memberitahu kepada mereka dengan sabdanya:
Maksudnya: “ Kamu telahpun mempunyai dua hari untuk kamu bermain dan bersukaria. Sebenarnya Allah s.w.t telah gantikan untuk kamu dua hari tersebut dengan dua hari yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Qurban. “
(Hadis riwayat an Nasaai daripada Anas bin Malik r.a.)
Muslimin Muslimat Yang Dikasihi !.
Seharusnya disedari oleh setiap Muslim Mukmin bahawa dua hari tersebut berkait rapat dengan ibadah rukun dalam Islam. Hari Raya Fitrah ada hubungan dengan ibadah puasa Ramadhan, manakala Hari Raya Qurban ada hubungan dengan ibadah haji. Pendek kata jika tiada puasa Ramadhan, maka tiada Hari Raya Fitrah dan jika tiada ibadah Haji, maka tiada Hari Raya Qurban ( Hari Raya Haji ). Hal ini memperlihatkan bahawa Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Qurban itu adalah juga ibadah, berhari raya dengan perintah Allah, kerana itu maka diharamkan berpuasa pada hari-hari tersebut, juga pada hari-hari تشريق bagi عيد الأضحى.
Apabila Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Qurban itu ibadah, maka perlulah dirayakan atau disambut dengan cara Syarie (yakni cara yang diizinkan oleh syara’ / Islam). Ibarat lain , tidak seharusnya merayakan عيد الفطر dan عيد الأضحى dengan cara dan budaya yang bercanggah / bertentangan dengan ajaran Allah dan RasulNya..
Berdasarkan penjelasan Dr Muhammad al Bahi dalam kitabnya “ فى حياة المسلم الاسلام “ – bahawa عيد الفطر dibuka dengan تكبير takbir mengAgungkan Allah s.w.t. Bermula daripada malam عيد الفطر sehingga صلاة عيد ( Sembahyang Hari Raya Fitrah ) didirikan. Takbir dengan suara yang lantang :
الله اكبر الله اكبر لاإله إلاالله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد
mengakui keAgungan dan keBesaran Allah s.w.t. Tidak ada yang lebih Agung melainkan Dia (Allah) dan mengisytiharkan توحيد Tauhid – Tiada Sebarang Syirik (Sekutu) bagiNya. Dan pengisytiharan itu diulang-ulangkan. Peluang dan kesempatan ini diberi untuk para Muslimin memperbaharui شعار الحق (kebenaran) dan keImanan serta memperlihatkan تمايز (perbezaan) dan keunikan Jamaah Mukminin Muslimin berbanding dengan orang-orang yang tidak beriman. Perbezaan sebenarnya terletak kepada keimanan dan tauhid yang antaranya diterjemahkan melalui amalan ibadah dan شعار seperti تكبير, تهليل dan تحميد pada Hari Raya.
Wahai muslimin muslimat Sekalian !
Kita sebagai Muslimin seharusnya menyedari bahawa kita, di mana juga kita berada adalah satu umat (yang) diikat dengan satu ‘Aqidah – ‘Aqidah Iman dan Tauhid kepada Allah s.w.t – diikat dengan satu matlamat – عبودية kepada Allah s.w.t, juga (diikat) dengan satu Jalan – Jalan Islam – Jalan Allah. Maka sewajarnya Umat Islam bersatu , berpadu, bersaudara, berkasih sayang , bersimpati, tolong menolong, hidup ibarat satu jasad (tubuh) sepertimana yang telah wujud dalam Generasi Awal Islam dahulu, antara مهاجرين dengan أنصار dibawah pimpinan dan bimbingan Rasulullah s.a.w sehingga Allah s.w.t rakamkan di dalam al Quran al Karim ayat 9 Surah al Hasyr :
Maksudnya: “ Dan orang-orang yang mendiami negeri ( al Madinah ) serta beriman sebelum mereka ( sebelum kedatangan مهاجرين ), mereka (Orang-orang أنصار) kasih kepada orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada di dalam hati mereka rasa berhajat kepada apa-apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu, mereka lebih mengutamakan sahabat-sahabat mereka itu daripada diri mereka sendiri walaupun mereka berada dalam keadaan kesusahan. Dan (ingatlah), sesiapa yang mengawal dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya (disisi Allah). “
Generasi tersebut bukan lahir secara ‘miracle’ (mukjizat) atau tiba-tiba sahaja. Tetapi lahirnya melalui proses didikan yang lama – didikan hati / jiwa berpaksikan kepada Iman dan Tauhid kepada Allah s.w.t.
Muslimin Muslimat Hadirin Hadirat Sekalian !.
Marilah kita menyuluh kembali, melihat realiti Umat Islam hari ini ( sejak kebelakangan ini ). Realiti hidup masyarakat / Umat Islam yang ibarat satu jasad / tubuh badan itu boleh dikatakan hampir tidak wujud lagi. Umat Islam dipecah-pecahkan, diadudomba, dibunuh sewenang-wenangnya tanpa hak dan lebih malang ada negara yang dikuasai oleh pemerintah yang mengaku beragama Islam, menjemput dan memberi kebenaran kepada musuh menceroboh dan membunuh orang-orang Islam tanpa hak serta membuat tindakan-tindakan ganas yang tidak berperi kemanusiaan. Darah Umat Islam mengalir di bumi Iraq, di Afghanistan, di Palestin, di Kashmir, di Sudan, di Lubnan dan yang terdekat ialah di Thailand dan tidak mustahil darah umat Islam akan mengalir lagi di tempat-tempat yang lain. Hal ini semuanya memberi pengajaran khususnya kepada Umat Islam bahawa Islam tidak disenangi oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah penegasan Allah s.w.t di dalam ayat 120 Surah al Baqarah :
Maksudnya: “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan redha (tidak senang) terhadap engkau (Nabi Muhammad – termasuk Umat Islam) sehingga engkau mengikut ‘ملة’ mereka (agama atau cara hidup mereka) “
Seharusnya diambil peringatan juga bahawa musuh-musuh Islam walau apa nama (berbagai nama golongan mereka) tetapi sasaran mereka adalah satu sahaja, iaitu memusuhi Islam. Kerana itulah Rasulullah s.a.w pernah menyebut :
الكفر ملة واحدة – أوكما قال
Maksudnya: “ Kekufuran itu (walaupun berbagai pihak) adalah satu ‘ملة’ “ (satu cara hidup) – zahirnya berbagai nama, tetapi bersatu memusuhi Islam..
Al Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya
“ العالم الاسلامى والمكائد الدولية خلال القرن الرابع عشر الهجرى “ pernah menjelaskan bahawa berikutan dengan pengisytiharan penubuhan dan kemerdekaan kerajaan Yahudi ( Israel ) pada tahun 1367 Hijrah / 1948 Masehi, maka berlumba-lumbalah negara-negara besar mengiktiraf Israel dengan didahului oleh Amerika dan Russia , kerana dengan berdirinya Israel, akan tercapailah kepentingan bersama negara-negara besar di kawasan itu juga kerana pengisytiharan itu mengandungi bahaya ke atas Islam dan dunia Islam semua sekali.
Wahai saudara kami sekalian !
Apa yang dibentangkan ini menggambarkan bahawa musuh-musuh Islam adalah satu hati dan satu sasaran, iaitu menentang Islam dan Umat Islam.
Namun demikian Umat Islam tidak seharusnya panik dan hilang arah dan hala tuju dalam mengharungi gelombang kehidupan di dunia ini. Mungkin apa yang berlaku ini – dengan kehendak Allah – sebagai suatu titik permulaan bagi merapatkan dan menyatukan kembali Umat Islam – kembali berjalan di atas landasan yang betul – landasan Islam – kembali kepada ajaran Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w – menghayati al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w di dalam perjalanan hidup ini.
Kemungkinan – dengan izin Allah s.w.t. – apabila Umat Islam Arab dan bukan Arab kembali menyatukan barisan mereka dan perjuangan mereka serta berusaha membasmikan berbagai bentuk kefasadan dan kemungkaran dalam masyarakat Islam sendiri dan dilakukan ‘pengislahan’ dalaman Umat Islam sendiri, dan dibetulkan hala tuju dan matlamat hidup, kembali beribadah hanya sanya kepada Allah s.w.t, maka – ان شآء الله – natijahnya dan hasil terserahlah kepada Allah s.w.t. Umat ini hanya wajib berusaha untuk kembali kepada ‘ هدى الله ‘ (petunjuk Allah) s.w.t. Natijahnya Allah s.w.t sahaja yang menentukannya.
Fadhilat Syeikh ‘Afif ‘Abdul Fatah Thabarah dalam kitabnya “ اليهود فى القرءان “ ketika memperjelaskan puak musuh Islam (Yahudi) telah memberi keyakinan dengan membawa ayat 167 Surah al A’aaraf :
Maksudnya: “ Dan ingatlah (Wahai Muhammad s.a.w), ketika Rabb engkau (Allah) memberitahu bahawa sesungguhnya Ia (Allah) akan menghantar kepada Kaum Yahudi itu (terus menerus) hingga ke Hari Qiamat, kaum-kaum (pihak-pihak) yang akan menimpakan ke atas mereka dengan azab (sengsara) yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Rabb engkau (Allah) amat cepat balasan siksaNya dan sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. “
Berdasarkan ayat tersebut Fadhilat As Syeikh ‘Afif ‘Abdul Fatah Thabarah menjelaskan bahawa Israel – ان شآء الله – tidak akan dapat mengambil dan merampas Palestin dengan syarat Umat Islam khususnya Arab mengislahkan diri mereka dan membuang sifat ‘الوهن’ (kelemahan) dalam diri mereka serta kembali bersatu dan mengelak perpecahan sesama sendiri.
Muslimin Muslimat Hadirin Sekalian !.
Umat Islam baru sahaja melalui proses tarbiyyah dan latihan daripada Madrasah Ramadhan maka kita mengajak – atas nama Allah – لله و فى الله – sempena dengan عيد الفطر yang antara maksudnya kembali kepada فطرة (kesucian) – maka kembalilah kepada دين (Deen)yang suci – tiada lain melainkan Islam, ‘Aqidahnya suci, ibadahnya suci, akhlaqnya suci dan jalan hidupnya suci. Jalan yang selamat dari dunia ini hingga ke akhirat dan tiada jalan lain melainkan Islam. Firman Allah s.w.t dalam ayat 30 Surah ar Ruum :
Maksudnya: “ (Setelah jelas kesesatan Syirik itu) maka hadapkanlah diri engkau ( dan pengikut-pengikut engkau wahai Nabi Muhammad s.a.w) ke arah دين yang jauh daripada kesesatan ( yakni turut terus menerus دين Allah itu ) iaitu دين yang Allah ciptakan manusia ( dalam keadaan ada persediaan sejak awal lagi ) untuk menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan ( tukar ganti ) pada ciptaan Allah itu ( jangan ubah daripada tauhid kepada syirik ). Itulah دين yang betul / lurus ( benar ), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( tidak sedar ). “
Wassalam.