fbpx

Pengunjung Plaza Alam Sentral Sumbang Lebih RM36 Ribu Untuk Gaza

Pengunjung Plaza Alam Sentral Sumbang Lebih RM36 Ribu Untuk Gaza

Pengunjung Plaza Alam Sentral Sumbang Lebih RM36 Ribu Untuk Gaza

SHAH ALAM, 11 Dis 2012 — Orang ramai yang berkunjung ke kompleks membeli belah Plaza Alam Sentral di sini telah dikejutkan dengan aksi-aksi anak muda melakonkan kisah penderitaan rakan-rakan mereka di Gaza.

Acara flashmob tersebut merupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti yang dijayakan oleh relawan HALUAN bagi mengumpul dana bantuan kecemasan untuk rakyat Gaza, bersempena cuti umum Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor.

Bertemakan “Hentikan Air Mata Gaza,” program ini telah dianjurkan oleh HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin dengan kerjasama dan sokongan erat pihak pengurusan Plaza Alam Sentral dan MRCB Land.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh wakil pihak pengurusan Plaza Alam Sentral, Puan Noor Hani Zakaria. Beliau melahirkan harapan supaya banyak lagi program-program seperti ini dijalankan untuk memberikan kesedaran dan impak yang berkesan kepada masyarakat. Sementara itu Pengarah program, Ahmad Shahbuddin Abu Bakar dalam ucapannya telah menjelaskan tentang sasaran mengutip RM1 juta untuk disalurkan kepada rakyat Gaza bagi tujuan bantuan asas seperti perubatan, makanan, air minum, penempatan, selimut dan pakaian sejuk menjelang tibanya musim sejuk tidak lama lagi.

Kedatangan pengunjung yang bertali arus ke kompleks bangunan lima tingkat itu disambut oleh para relawan HALUAN yang membawa tabung bergerak di setiap lokasi strategik. Seawal jam 10 pagi, orang ramai telah disajikan dengan aktiviti hiburan santai dan kesedaran seperti kapsul ceramah pendek, bacaan sajak, pameran bergambar, tayangan video dan persembahan nasyid.

Berpusat di ruang legar dan pentas utama, aktiviti yang membangkitkan rasa simpati dan persaudaraan kepada rakyat Gaza ditanam melalui aktiviti pertandingan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak dan juga acara cetakan tangan di kain rentang serta penajaan cenderahati melalui pohon amal dan pohon persaudaraan. Pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa mengambil kesempatan untuk menzahirkan keprihatinan mereka terhadap kesengsaraan rakyat Gaza.

Program yang berakhir pada jam 10 malam itu telah berjaya mengumpul dana bantuan sebanyak RM36,493.55.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya kepada pihak pengurusan Plaza Alam Sentral dan MRCB Land yang julung-julung kali mengizinkan HALUAN Malaysia untuk melaksanakan aktiviti sebegini. Juga kepada semua relawan dari Biro HALUANITA, Biro Pemuda, Biro HALUAN Palestin, Kelab Siswa HALUAN, ahli-ahli HALUAN Cawangan Selangor, para relawan remaja, anak-anak dan lebih-lebih lagi para pengunjung dari berbilang bangsa yang memberi sambutan sangat memberangsangkan. Semoga Allah merahmati mereka semua,” kata Ahmad Shahbuddin.

Semoga sumbangan masyarakat di Plaza Alam Sentral ini dapat mengubat kesakitan saudara mereka di Gaza yang telah dizalimi oleh rejim Zionis Yahudi.

Anda boleh terus menghulurkan bantuan melalui akaun “Tabung Palestin HALUAN” di BIMB 1402–30100–342–92 atau Maybank 5644-9020-8528.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 019-218 7861 atau 013 282 0731.

“Bersatu Untuk Palestin”


Laporan oleh Muhammad Mus’ab Sa’ari, Biro HALUAN Palestin.