fbpx

Penduduk Kg Nenasi Terus Dapat Perhatian HALUAN Kelantan

Penduduk Kg Nenasi Terus Dapat Perhatian HALUAN Kelantan

Penduduk Kg Nenasi Terus Dapat Perhatian HALUAN Kelantan

BACHOK, 12 September 2009 — Sejak melancarkan program Pembangunan Minda Insan di Kg Nenasi pada beberapa bulan lalu, HALUAN Kelantan terus menggiatkan aktiviti yang dapat menjalin hubungan silatur rahim dengan penduduk di kampung berkenaan. Sebelum bermula bulan Ramadhan, anak-anak remaja Kg Nenasi telah dapat mengikuti program pembangunan diri yang diadakan di Ridsuan Resort.


Sebagai aktiviti susulan, penduduk kampung telah dapat bersama-sama mengeratkan lagi hubungan dengan ahli-ahli HALUAN melalui majlis berbuka puasa yang telah diadakan pada 11 September baru lalu. Kesempatan ini turut diambil oleh HALUAN Kelantan bagi memberi pendedahan kepada penduduk tentang konsep kekeluargaan, sempena bulan Ramadhan yang mulia.

Walaupun ramai dari kalangan penduduk perlu menghadiri majlis-majlis lain yag diatur sempena bulan Ramadhan, alhamduliLlah hampir 300 orang telah dapat meluangkan masa menjayakan majlis bersama HALUAN yang diadakan di Dewan Serbaguna, Tadika dan surau Kampung Nenasi. Manakala 50 orang ahli-ahli HALUAN Kelantan turut serta menjayakan program seharian ini.

Seawal jam 9:00 pagi lagi penduduk kampung telah mula berkumpul dan bergotong-royong menyiapkan keperluan untuk majlis berbuka puasa. Pada jam 6:00 petang, bilamana semua persediaan telah dibuat, satu ceramah kekeluargaan dan kerjasama masyarakat telah disampaikan oleh Tn Hj Rosdi Baharom, iaitu seorang motivator kanan HALUAN.

Majlis ramah mesra sepanjang program berbuka puasa ini jelas telah dapat membina kasih-sayang dan rasa hormat-menghormati di kalangan mereka yang hadir. Menurut ahli jawatankuasa program kali ini, Dr Salwana Mohyiddin, kemesraan antara ahli HALUAN dan penduduk kampung kelihatan semakin erat. “Terutama sekali bagi anak-anak remaja, mereka begitu meraikan kedatangan kakak dan abang fasilitator bagi program remaja yang telah mereka ikuti sebelum ini,” ujar Dr Salwana.

Semoga komitmen HALUAN Kelantan ini dapat membina masyarakat Kg Nenasi yang lebih berjaya dan harmoni. Ikatan silaturahim yang berjaya dibina akan dipereratkan lagi dengan program-program susulan yang teratur, insyaAllah.