fbpx

Pelajar SMK Jalan Kebun Celik Palestin

Pelajar SMK Jalan Kebun Celik Palestin

Pelajar SMK Jalan Kebun Celik Palestin

Shah Alam, Selangor  15 Feb 2009 – KESENGSARAAN yang dialami rakyat Palestin tidak terlepas daripada pandangan anak-anak remaja Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun apabila guru-guru dan murid-muridnya bergandingan bahu dalam menyumbang dana untuk meringankan penderitaan mangsa kekejaman Zionist Israel di Semenanjung Gaza.


Dalam suatu upacara ringkas semalam, Pengetua Puan Hajjah Nor Akmal Ismail menyerahkan sumbangan derma warga sekolah melebihi RM2,700 kepada Dr Mohd Zamrin Dimon, Ketua Biro Profesional HALUAN Malaysia.

Di dalam ucapan penerimaannya, Dr Mohd Zamrin menegaskan bahawa isu Palestin bukan isu bangsa Arab tetapi merupakan isu sejagat yang semestinya menguja setiap jiwa orang Islam di seluruh dunia. Kekejaman dan kerakusan Israel kini terpampang di semua media antarabangsa dan keangkuhannya bukan sahaja dicemuhi oleh orang Islam bahkan oleh orang bukan Islam.
 
“Selagi umat Islam tidak melaksanakan syariat Islam dan saling bertelagah, selagi itulah kita tidak akan dapat menyelamatkan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin.

Oleh itu kita mestilah bersatu menghadapi ujian Allah SWT ini untuk ambil kembali hak orang Islam,” ujar beliau kepada perhimpunan pagi pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Menurut Hajjah Nor Akmal, beliau inginkan agar semua pelajar sekolahnya peka  dengan hal ehwal semasa dan sentiasa cega dengan apa jua gejala buruk yang mungkin menghampiri mereka. Penderitaan rakyat Palestin umpamanya mampu menginsafkan pelajar bahawa penderitaan itu sesuatu yang cukup sengsara untuk ditanggung dan mereka haruslah bekerja keras untuk berjaya agar tidak dijajah.

“Saya menggalakkan pelajar kami supaya membuka minda tentang dunia luar. Saya mengalakan mereka melawat sendiri ke tempat seperti Petrosains, Putrajaya, universiti besar seperti UKM dan tempat-tempat lain dalam rangka untuk meluaskan horizon ilmu mereka. Ini akan melebarkan minda dan kefahaman mereka agar tahu halatuju karier masa depan,” tambah beliau.

Sekolah berkenaan dipilih sebagai sekolah perintis HALUAN untuk melaksanakan projek “Kempen Penyalahgunaan Bahan Merbahaya” seperti dadah, rokok dan alkohol. Program selama setahun itu bertujuan membantu pihak pelajar mengadaptasi kepada cara hidup yang lebih sihat tanpa melibatkan diri dengan gejala yang negatif.