fbpx

Pelajar SMK Bekok Segamat sertai Kem Motivasi Menuju Puncak Gemilang

Pelajar SMK Bekok Segamat sertai Kem Motivasi Menuju Puncak Gemilang

Pelajar SMK Bekok Segamat sertai Kem Motivasi Menuju Puncak Gemilang

SEGAMAT, 27 Julai 2009 — HALUAN Johor telah diamanahkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bekok, Segamat untuk menjalankan Kem Motivasi Menuju Puncak Gemilang khusus bagi pelajar-pelajar asrama sekolah tersebut.

Program telah diadakan di Pusat Latihan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kluang bermula dari 24 hingga 26 Julai. Seramai 71 orang pelajar telah menghadirinya, di mana 31 orang daripada mereka merupakan pelajar berbangsa Melayu dan 40 orang lagi dari kalangan pelajar Orang Asli. Program ini dianjurkan oleh SMK Bekok dengan kerjasama HALUAN Johor, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Segamat dan JHEOA Segamat.


Seramai 11 orang fasilitator Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) daripada Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Sdr Muadz Eswan telah menjayakan kem ini. Mereka juga dibantu oleh aktivis HALUAN dari Kluang, Simpang Rengam dan Muar yang diketuai oleh Cikgu Eswan bin Keliwan selaku Ketua Biro Motivasi dan Kaunseling HALUAN Johor. Gandingan pengalaman mereka mengendalikan kem motivasi telah dapat mewujudkan suasana ceria dan gembira sepanjang progam selama 3 hari tersebut.

Menurut Cikgu Eswan, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran kendiri peserta, khususnya dari kalangan pelajar Orang Asli. ”Selain daripada itu, kita harapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran peserta untuk serius dan bersungguh-sungguh belajar dan membina akhlak yang terpuji,” jelas Cikgu Eswan.

Di sepanjang 3 hari 2 malam, peserta telah melalui pelbagai modul yang menarik seperti sesi berkenal-mesra, ceramah kecemerlangan, motivasi pembinaan identiti remaja, persembahan kumpulan, “walk-a-hunt,” kuliah Subuh dan Maghrib bagi yang beragama Islam dan kuliah akhlak bagi yang bukan beragama Islam.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pelajaran SPK PPD Daerah Segamat, Tn Hj Anuar B Hashim. Turut hadir ke majlis penutup adalah Penolong Pegawai Hal Ehwal Orang Asli Daerah Segamat, En Mohd Saim B Abu Salim dan Pengetua SMK Bekok, Tn Hj Busro Md Said.

HALUAN Johor merancang untuk menjalankan program susulan selepas Aidilfitri kelak, insyaAllah.