fbpx

Malam Amal ‘Palestin Di Hati’ Pahang Pupuk Kesedaran Pemuda

Malam Amal ‘Palestin Di Hati’ Pahang Pupuk Kesedaran Pemuda

Malam Amal ‘Palestin Di Hati’ Pahang Pupuk Kesedaran Pemuda

KUANTAN, 18 Julai 2010 — Program Malam Amal ‘Palestin di Hati’ anjuran Gabungan NGO Islam Pahang (Barakah) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Kuantan di Auditorium UIAM Bandar Indera Mahkota telah berjaya dijalankan dengan lancar dan menarik penyertaan ramai golongan muda.


Pada malam tersebut, auditorium dengan kapasiti 700 orang itu penuh sehingga pihak penganjur terpaksa membuka dewan kuliah bersebelahan bagi menampung kehadiran yang begitu ramai. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutama daripada kalangan pelajar institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Kuantan.

Pengisian program malam amal `Palestin di Hati` ini dimeriahkan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Kampus UIAM Kuantan Yang Berbahagia Profesor Dato’ Kamarulzaman bin Su, ceramah perkongsian pengalaman bersama aktivis konvoi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mohd Nizam Awang yang mewakili HALUAN Palestin, nyanyian nasyid oleh kumpulan Army dari UIAM, deklamasi sajak, ikrar pemuda, jualan amal, mini pameran Palestin dan juga kutipan tabung untuk Palestin. Penasyid Indonesia, Shoutul Harokah telah mempersembahkan beberapa buah nasyid perjuangan yang berjaya mengegar suasana dewan dan  mengetarkan jiwa hadirin.HALUAN Pahang selaku penyelaras utama program ini telah mendapat kerjasama yang baik dari beberapa NGO, antara lainnya Jamaah Islah Malaysia (JIM), Aqsa Syarif Berhad, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Nadwah Islam Kuantan. UIAM selaku tuan rumah melalui Pengarah Kampusnya juga telah memberi sokongan padu dengan memberi kebenaran menggunakan auditorium beserta kemudahan-kemudahan teknikal yang lain.

Menurut Ketua Penyelaras Program, Abd. Bashir Abd. Ghani dari HALUAN Pahang, program ini sememangnya dirancang untuk melibatkan generasi muda terutamanya mahasiswa IPT sekitar Kuantan. Justeru, semua yang mengambil bahagian, termasuklah pengacara, pembaca sajak, pembaca Al Quran, pembaca doa, wakil-wakil dalam membaca ikrar, adalah terdiri daripada mahasiswa. Mereka telah menunjukkan komitmen yang amat baik sehingga majlis dapat berjalan dengan lancar dan menarik perhatian semua hadirin.

Kehadiran hampir semua wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPT ke majlis ini membawa makna yang tersendiri kerana mereka mewakili IPT masing-masing dan rakan-rakan mereka yang tidak dapat hadir. Diharapkan mereka akan dapat meneruskan usaha murni menggerakkan kesedaran pelajar untuk membantu perjuangan rakyat Palestin di kampus mereka.

Antara wakil-wakil IPT yang telah menghadiri program ini termasuklah MPP UIAM Kuantan selaku tuan rumah, selain MPP daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kolej IKIP, Kolej Shahputra, Kolej Islam Pahang (KIPSAS) dan Maahad Tahfiz Profesional Pahang.

Ceramah perkongsian pengalaman Mohd Nizam Awang yang disusuli dengan tayangan video tragedi serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal konvoi telah menarik perhatian para hadirin. Mereka turut berkongsi kesedihan dan simpati atas tragedi ini selain menyedari bahawa isu yang sebenar adalah isu penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin, khususnya di Gaza dek kezaliman rejim Zionis. Di akhir ucapan beliau,  Mohd Nizam telah melancarkan kempen pendaftaran Kelab LL4G lalu mengumumkan kutipan tabung untuk Palestin pada malam itu.

Alhamdulillah, lebih 100 orang telah mendaftar untuk menjadi ahli kelab Lifeline For Gaza (LL4G). Jumlah sumbangan para hadirin yang dermawan kepada tabung Palestin pada malam itu berjumlah sebanyak RM RM7,170.55

Majlis bertambah semarak dengan pembacaan ikrar perjuangan pemuda oleh semua wakil MPP IPT yang dipimpin oleh Presiden MPP UIAM Kuantan.  Bait-bait lafaz ikrar perjuangan ini bergema dengan kebersamaan semua hadirin yang turut bangun untuk membaca lafaz ikrar. Mereka berazam untuk terus mendidik dan mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris kepada perjuangan membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Zionis.

HALUAN Pahang selaku urusetia utama program bersyukur atas sambutan dan sokongan semua pihak yang amat menggalakkan. Semoga usaha ini menghasilkan natijah yang lebih besar iaitu membentuk barisan pemuda yang sedar, insaf dan rela bersama untuk membangunkan nilai-nilai kemanusiaan yang murni dan berteraskan akhlak Islam yang mulia kepada masyarakat.