fbpx

Majlis Hari Raya HALUAN Insafi Kesengsaraan di Gaza

Majlis Hari Raya HALUAN Insafi Kesengsaraan di Gaza

Majlis Hari Raya HALUAN Insafi Kesengsaraan di Gaza

BANGI, 6 Mei 2024 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri HALUAN tahun ini tetap meriah walaupun diadakan secara sederhana sempena menginsafi kesengsaraan yang sedang dideritai penduduk Palestin khususnya Gaza. Majlis yang diadakan di Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam telah dihadiri lebih 600 orang tetamu termasuk para jemputan yang mewakili pelbagai NGO Palestin di Malaysia.

Bertemakan “Palestin Di Hati”, majlis dibuka dengan bacaan al-Quran dan doa, dan disusuli dengan ucapan aluan Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, di samping selingan persembahan nasyid bertemakan hari raya dan Palestin.

Antara yang hadir termasuklah Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Encik Jusni Yusoff; Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Sungai Ramal, Y.B. Tuan Mohd Shafie Ngah; Presiden Al-Quds Foundation Malaysia, Dr. Shareef Abu Shammalah; dan para perwakilan daripada Palestinian Community Educare Center, The Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), International Educational Scientific and Cultural Organization (IESCO), serta Palestinian Forum Malaysia.

Dalam ucapan aluan beliau, Dr. Abdullah Sudin antara lain menyebut bahawa sepanjang Ramadan kali ini penduduk Gaza berpuasa dan berhari raya dalam ancaman serangan tanpa henti, kelaparan, tanpa rumah untuk berteduh, serta tanpa orang tersayang yang kini telah terkorban. 

Tanggungjawab membantu Palestin adalah lebih utama pada masa kini, samada di Gaza, Kota Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa, serta pelarian di serata dunia. Kami menyeru semua pihak terus istiqamah membantu bukan sahaja dalam bentuk material tetapi juga dalam aspek politik, solidariti, kesedaran masyarakat, boikot produk yang membantu Israel, serta lain-lain, dan yang penting sekali doa munajat kepada Allah SWT,” tegas beliau.

Dr. Abdullah Sudin juga menyeru supaya bulan Syawal ini diserikan dengan suasana saling bermaaf-maafan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Muslim. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”

Majlis turut diserikan dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Ramadan Muslim Cilik 2024 yang telah dianjurkan oleh HALUANITA pada Ramadan lepas. Presiden HALUAN turut menghulurkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Kemeriahan majlis serta keeratan persaudaraan diserikan dengan jamuan pelbagai juadah tradisional seperti sate, lemang, ketupat dan nasi minyak.

Laporan Muhammad Mus’ab Sa’ari, Setiausaha Kerja HALUAN Malaysia.