fbpx

Lawatan Sistem Pondok Bangkitkan Semangat Tuntut Ilmu 

Lawatan Sistem Pondok Bangkitkan Semangat Tuntut Ilmu 

Lawatan Sistem Pondok Bangkitkan Semangat Tuntut Ilmu 

K. TERENGGANU, 3 Mac 2022   – HALUAN dengan kerjasama Koperasi Muslimin Malaysia Berhad telah mengadakan “Program Ziarah Tarbawi: Pondok Ke Pondok” yang bertempat di Kelantan dan Terengganu. 

Program selama 3 hari 4 malam ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta tentang sistem pendidikan dan suasana pembelajaran agama di pondok-pondok berkenaan. Peserta terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan HALUAN dari Putrajaya.

Umum mengetahui bahawa pondok-pondok di Pantai Timur telah melahirkan ramai ilmuwan dan ustaz-ustaz yang memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat.  Peserta telah dibawa melawat ke empat buah pondok di Kelantan dan sebuah maahad tahfiz di Terengganu. Rombongan lawatan ini juga membawa sebanyak 100 buah naskhah Al-Qur’an sumbangan daripada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan 30 kilogram kurma hasil sumbangan orang ramai untuk diserahkan kepada pondok-pondok ini.

Rombongan telah memulakan lawatan di Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ahli rombongan sempat solat Subuh bersama dan mengikuti Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Nawawi, salah seorang tenaga pengajar di pondok ini. Pondok ini masih mengekalkan berbelas pondok lama dan juga menggantikan bangunan pondok yang uzur dengan yang lebih moden. Pelajar-pelajarnya pula terdiri daripada pelajar sekolah menengah sehingga pelajar dewasa yang sudah pencen. 

Lokasi seterusnya adalah Pondok Darul Naim di Kampung Padang Halban, Melur yang  menggabungkan silibus pendidikan pondok dengan silibus pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. Madrasah Diniah Bakriah pula atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumbuh terkenal dengan ramainya ustaz yang lahir darinya. Rombongan juga sempat melawat Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Pengkalan Chepa. Di sini satu majlis makan malam telah diadakan bagi menyambut rombongan. Naib Presiden 2 (Dakwah), Ustaz Salleh Saad telah menyampaikan wang sumbangan kepada asnaf yang mengikuti rombongan ini.

Peserta berpeluang melawat Pusat Pengajian Pondok, Bachok atau dulunya dikenali sebagai Pondok Moden. Pusat pengajian ini adalah satu-satunya pondok di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang  menerapkan sistem pengajian moden berteraskan ujian bagi menilai kefahaman dan keilmuan pelajarnya.

Di Terengganu, rombongan bertolak ke Maahad Darul Quran, Rusila. Uniknya maahad ini menyediakan laluan akademik sehingga peringkat Sarjana Muda, bahkan Sarjana kepada pelajar-pelajarnya. Para peserta melahirkan rasa berterima kasih kepada HALUAN dan Koperasi Muslimin Malaysia Berhad atas penganjuran program ini. Ia telah memberikan pendedahan secara jelas tentang sistem pengajian pondok dan ini telah menambahkan minat mereka terhadap kaedah pengajian ini. Malah sebilangan peserta melahirkan hasrat untuk menyertai pengajian pondok di masa hadapan apabila sudah pencen.


Laporan Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Program Ziarah Tarbawi: Pondok ke Pondok