
Korban HALUAN Kelantan Semarak Persaudaraan
KOTA BHARU, 28 OKTOBER 2012 – Aidiladha merupakan satu manifestasi ubudiyah kepada Allah SWT. Sebagai satu langkah untuk meningkatkan ruh penghayatan korban, HALUAN Cawangan Kelantan telah sekali lagi melaksanakan ibadah ini seperti tahun-tahun sebelumnya di dua lokasi pilihan iaitu di perkampungan Pendek dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD).
Menurut YDP HALUAN Cawangan Kelantan, Ustaz Mohamad Noor Awang Kechik, sebanyak 6 ekor lembu telah dikorbankan dengan kerjasama penuh daripada penduduk sekitar Perkampung Pendek dan juga warga KTD. Justeru, apa yang diharapkan ibadah korban bukan hanya sebagai medium untuk melaksanakan perhambaan kepada Allah SWT tetapi juga menyemarakan semangat persaudaraan sesama muslim walaupun di mana sahaja mereka berada.
Kemesraan dan hubungan persaudaraan ini terpancar melalui kerjasama dalam menyempurnakan kerja-kerja menyembelih, melapah, memotong dan mengagih daging kepada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam ibadah korban dan juga kepada penduduk tempatan.
Ibadah korban di Perkampungan Pendek telah disempurnakan pada hari raya kedua. Seramai lebih 300 orang termasuk ahli-ahli HALUAN, penduduk setempat dan juga para pelajar KTD hadir menjayakan program tersebut. Manakala pada hari raya ketiga pula, korban yang dilaksanakan di KTD telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada warga kolej tersebut dan juga ahli HALUAN setempat.
HALUAN Cawangan Kelantan dan pihak pengurusan KTD ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis Ibadah Korban bagi tahun ini. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua.
Kerjasama dan kemesraan masyarakat dalam menjayakan ibadah korban telah mengeratkan lagi persaudaraan. Suasana melapah lembu gandingan antara generasi muda dan tua. Proses memotong daging di KTD, Pengkalan Chepa. Pelajar KTD sedang menikmati jamuan yang disediakan.