fbpx

Keluarga Mangsa Banjir Besar Pakistan Kesejukan dan Kelaparan

Keluarga Mangsa Banjir Besar Pakistan Kesejukan dan Kelaparan

Keluarga Mangsa Banjir Besar Pakistan Kesejukan dan Kelaparan

HYDERABAD, PAKISTAN, 24 Januari 2023 — Bayangkan anda sekeluarga bersama anak-anak kecil dan bayi tidur di atas tanah lapang di tebing-tebing jalan, dengan hanya beralaskan hamparan kotak-kotak, beratapkan plastik nipis tanpa dinding pelindung dari hembusan angin malam, dengan cuasa sejuk di bawah 10 darjah Celcius. Tanpa sebarang selimut tebal, tanpa sebarang alat pemanas mahupun unggun api untuk menghangatkan badan.

Begitulah realiti yang masih diharungi oleh sekitar 500 keluarga yang tidak mempunyai tempat berteduh selepas melarikan diri dari kampung halaman setelah kediaman dan harta mereka musnah dalam kejadian banjir besar di Pakistan sepanjang musim monsun dari Jun hingga Oktober tahun lalu.

Pasukan Misi Kemanusiaan Pakistan HALUAN yang dianggotai oleh Shahkirin Mohd Shah dan Mohd Nizam Awang menyaksikan sendiri keperitan keluarga yang ditimpa bencana ini. Mereka tiba di Pakistan untuk bersama NGO tempatan Jaza ul Ihsan mengagihkan makanan asas, membina khemah penginapan sementara, membina telaga air serta merangka bantuan jangka pendek terutamanya dalam memenuhi keperluan pendidikan dan kebajikan keluarga mangsa.

Enam bulan selepas kejadian bencana dan air telah surut di kebanyakan kawasan, mangsa-mangsa terpaksa berteduh dalam khemah-khemah dengan serba kekurangan tanpa sebarang kemudahan asas seperi air mahupun makanan atau alatan memasak. Anak-anak mandi dan minum air dari kawasan-kawasan air yang masih bertakung, yang juga menjadi tempat kerbau-kerbau berkubang. Banyak kes penyakit bawaan air, terutamanya dieria dan malaria, dihidapi oleh komuniti ini.

Pasukan relawan HALUAN bermalam di sebuah kediaman yang disediakan oleh Jaza Ul Ihsan, tidak jauh dari kawasan khemah-khemah pelarian berdekatan sebuah kem tentera Pakistan. “Sekitar jam 12:00 malam, beberapa relawan Jaza Ul Ihsan membawa kami keluar menyaksikan sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir di sekitar Hyderabad,” cerita Shahkirin. “Kami sendiri merasai kesejukan malam di Hyderabad. Bayangkan bagaimana mereka yang tidur di dalam khemah-khemah itu.”

Terdahulu selepas tiba di Karachi, mereka melawat sebuah masjid yang akan dijadikan sebagai pusat pendidikan serta kemudahan komuniti. Ia merupakan sebuah projek yang diusahakan oleh Jaza Ul Ihsan. Setelah itu mereka bertolak ke Hyderabad, kira-kira 150 kilometer dari kota Karachi, untuk memantau persiapan membina khemah dan membungkus bantuan makanan yang akan diagihkan.

Antara lain, misi mereka adalah untuk memantau projek pembinaan perigi-perigi air yang dibina di sekitar masjid dan sekolah di daerah Hyderabad dan Karachi. Mereka juga akan membina khemah-khemah penginapan sementara dan mengagih bantuan makanan.

CARE4PAKISTAN FLOOD

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan mediaHALUAN