fbpx

JAKIM Rasmikan Ibu Pejabat HALUAN Malaysia

JAKIM Rasmikan Ibu Pejabat HALUAN Malaysia

JAKIM Rasmikan Ibu Pejabat HALUAN Malaysia

BANGI, 1 September 2012 – Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia atau lebih dikenali sebagai HALUAN telah mengadakan majlis perasmian ibu pejabat barunya dan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri 1433H di perkarangan ibu pejabat barunya yang terletak di Seksyen 9 di sini.

Acara gilang gemilang dan penuh kemeriahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan),Tuan Hj Razali Shahabudin. Turut hadir adalah barisan kepimpinan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dewan Pemuda Masjid Malaysia (DPMM), tetamu-tetamu luar negara, wakil media, ahli-ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, masyarakat kejiranan dan perwakilan HALUAN dari seluruh negara.
Ucapan Perasmian oleh Timb. Ketua Pengarah (Pembangunan Insan),Tuan Hj Razali Shahabudin

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Hj Razali telah menyingkap deretan usaha yang telah dilaksanakan oleh HALUAN dalam menyantuni masyarakat di dalam dan luar negara. Sambil menyifatkan HALUAN sebagai pertubuhan yang aktif dan sentiasa ingin bersama sesiapa sahaja atas usaha pembangunan ummah, beliau berkata pihak kerajaan mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia dan NGO-NGO yang lain untuk melaksanakan tuntutan deen Islam di dalam kehidupan.

Semasa menyampaikan kata-kata aluannya, Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman, mengalu-alukan kehadiran seluruh hadirin serta mengucapkan terima kasih atas ukhuwah dan ikatan yang penuh bermakna dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak terutamanya JAKIM.

Sebagai merasmikan bangunan ibupejabat pusat HALUAN Malaysia, Tuan Hj Razali telah sudi memotong reben menandakan perasmian ibu pejabat HALUAN Malaysia diikuti dengan penyerahan plak dinding perasmian pejabat yang telah ditandatangani lebih awal oleh Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Dato’ Hj Othman Mustapha. Sejurus selepas itu, Tuan Hj Razali telah mengepalai tetamu kehormat serta para jemputan dalam melakukan tinjauan kepada prasarana ibu pejabat tersebut seperti kamar Presiden, ruang tetamu, pusat operasi, bilik mesyuarat, pejabat operasi HALUANITA, pejabat Koperasi Perumahan KOPLIT, Dewan Persidangan Utama dan Dewan Seminar Utama.

TV Al Hijrah juga turut menemubual Tuan Hj Razali serta Presiden HALUAN Malaysia dan Pengarah Program, Tuan Hj Sr Mohd Sabbri Md Yudin untuk tujuan berita dan dokumentasi. Para tetamu kehormat kemudiannya kembali turun ke medan sambutan di mana jamuan aidilfitri telah menanti mereka, diserikan lagi dengan lebih 700 orang jemputan yang lain yang turut menikmati jamuan petang.

Majlis pada petang itu diserikan lagi oleh beberapa buah persembahan “LIVE” kumpulan nasyid seperti Al Falah yang didatangkan khas dari Kelantan mewakili Kolej Teknologi Darul Naim, sebuah kolej angkat HALUAN Malaysia, serta kumpulan nasyid cilik dari Kompleks HALUAN Penyayang, Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Kolej Universiti Islam Selangor dan beberapa penasyid lain.

Kemeriahan dan keriangan majlis perasmian ibupejabat HALUAN Malaysia dan jamuan Aidilfitri 1433H benar-benar terasa di benak para tetamu. Namun di sebalik semua itu tergalas kerja-kerja Islam yang semakin hari semakin menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada setiap anggota HALUAN. Tahun demi tahun, HALUAN terus berakhlak, mendidik dan berbakti.