fbpx

ILIM Pusat Terbaik Untuk Latihan JDK Zon Tengah

ILIM Pusat Terbaik Untuk Latihan JDK Zon Tengah

ILIM Pusat Terbaik Untuk Latihan JDK Zon Tengah

Bangi, 11 Jan  – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) adalah pusat latihan Islam yang cukup sesuai melatih remaja-remaja Muslim ke arah menerapkan nilai-nilai Islam yang murni.


Kompleks serba lengkap di Bangi itu mempunyai auditorium, bilik-bilik kuliah, asrama yang selesa serta cafeteria untuk membolehkan peserta menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan yang diberikan.

Timbalan kem komandan Jatidiri & Kepimpinan (JDK) HALUAN zon tengah, Encik Shahrul Anwar Rahmad, memuji kemudahan ILIM yang serba lengkap itu sebagai pusat yang amat sesuai untuk mendidik jiwa-jiwa muda agar bertambah intim dengan Islam.

“Kami juga mendapati sokongan daripada staf ILIM Pusat ini sangatlah baik samada di segi pentadbiran mahupun bantuan teknikal. Kami menggunakan auditorium mereka sebagai pusat latihan dan semestinya kami memerlukan sokongan teknikal yang bagus. Saya sangat berpuas hati dengan fasiliti dan sokongan yang diberikan. Bagi pihak urusetia JDK Zon Tengah, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada ILIM,” katanya kepada HALUAN media.

ILIM sebuah agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. JDK Zon Tengah menempatkan 95 peserta;  48 daripadanya lelaki dan 47 perempuan, semuanya remaja lepasan SPM yang datang dari seluruh negara. Ianya pusat paling ramai peserta di antara tiga pusat JDK yang juga dijalankan serentak di Besut, Terengganu dan Kuala Kangsar, Perak.

“Seperti dijangkakan, permulaan latihan JDK ini sangat mencabar. Ada peserta yang minta untuk balik kerana tidak faham atau tahan dengan kaedah mendisiplinkan diri, apatah lagi bila kami memperkenalkan modul-modul jati iman dan akhlak di mana Al-Quran dan bangun malam dimestikan. Bukan senang mendidik adik-adik ini kerana mereka datang dari pelbagai latarbelakang. Ada yang hidup terbiasa dengan kesenangan dan ada yang sudah ada jatidiri iman. Tapi akhirnya setelah dikaunseling oleh pakar-pakar seniors HALUAN, mereka menjadi antara peserta yang terbaik kini. Alhamdulillah,” katanya semasa perjalanan modul-modul dakwah kepada non-Muslim oleh Kelab HALUAN Fitrah (KHF).

Namun katanya, kekuatan mutakhir adalah daripada halaqah-halaqah selepas maghrib dan subuh di mana percantuman dengan remaja-remaja berpendidikan agama telah mampu mempertingkatkan jatidiri keseluruhan peserta kem tersebut. Hubungan yang akrab terbina dengan para fasilitator senior daripada IPT seluruh negara sekaligus berjaya mencetuskan pemikiran dan akhlak yang positif dalam mempersiapkan anak-anak lepasan SPM itu untuk masuk ke IPT dalam dan luar negara.

Modul-modul KHF misalnya dapat membantu mereka memperluaskan skop dakwah semasa di kampus tidak hanya dengan kelompok Muslim sahaja tetapi juga kepada golongan non-Muslim. Modul-modul intensif KHF sehari semalam itu membawa para peserta melayari senario kampus yang dihuni oleh ribuan pelajar terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Jika anak-anak ini tidak didedahkan dengan metod-metod dakwah yang betul, mereka akan kehilangan peluang berdakwah merentasi sempadan ras kaum dan agama, sedangkan Islam adalah agama dakwah dan tarbiyah yang diturunkan untuk semua manusia, bukan untuk orang Melayu sahaja. Ataupun kita bimbang kalau mereka yang terhanyut dengan tarikan-tarikan lain di sebelah sana, walaupun mereka sendiri Muslim. Inilah kejatian diri yang KHF hendak berikan kepada para peserta JDK ini,” kata pengerusinya, Encik Yusman Nawazir.

Di antara modul yang diperkenalkan oleh barisan jurulatih KHF adalah pengetahuan asas asal-usul agama-agama terbesar Malaysia termasuk Kristianiti, Hindu, Buddhisme, Taoisme, Confucianisme serta adat resam orangasli. Tips memulakan dakwah di kampus juga diberikan. Rata-rata peserta amat teruja dengan modul-modul ini berdasarkan kepada borang maklumbalas yang mereka telah isikan.

Menurut Encik Shahrul lagi, terdapat ramai bakat terpendam di kalangan peserta yang jika diberikan peluang, mereka akan dapat menjadi murobbi yang baik di kampus kelak di samping cemerlang di bidang akademik. Harapan beliau adalah agar mereka ini akan terus bersama Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) semasa di kampus dengan menyertai pelbagai program lain yang bakal menyusul.