
Ibadah Korban Erat Hubungan HALUAN dan Masyarakat Jalan Kebun
SHAH ALAM, 27 Okt 2012 — HALUAN Cawangan Selangor dengan kerjasama pihak Sekolah Menengah Ibnu Khaldun (SMIK) telah menganjurkan majlis ibadah korban sempena sambutan Aidiladha 1433H. Sembilan ekor lembu telah dikorbankan dalam program yang diadakan di padang SMIK, Jalan Kebun di sini.
Turut hadir mengendalikan kerja-kerja penyembelihan, pemotongan dan pembahagian daging adalah Ketua Kampung Jalan Kebun, Hj Salehan Hj Tahir, YDP HALUAN Cawangan Selangor, Ir Hj A Aziz Mat Ali, ahli-ahli HALUAN di sekitar Shah Alam dan Kelang dan juga penduduk kampung.
Daging-daging korban telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar kampung. Para hadirin juga sempat bersama-sama menjamu selera sempena majlis ini, sebelum bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut.
HALUAN Cawangan Selangor dan pihak pentadbiran SMIK merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama dan kesungguhan semua pihak dalam menjayakan program korban kali ini. Semoga kerjasama dan silaturahim yang sedia terjalin dalam masyarakat Jalan Kebun ini menjadi semakin erat dalam usaha melahirkan generasi yang bersatu-padu dan berakhlak mulia.
Laporan Mohd Mus’ab Saari.
Ketua Kampung Jalan Kebun, Hj Salehan Tahir (dua dari kiri) bersama Pengerusi Lembaga Pengelola SMIK, Hj Hamdan Mokhtar (tiga dari kiri) dan beberapa hadirin yang lain. Peserta korban juga termasuk ibubapa pelajar SMIK. Sembilan ekor lembu telah dikorbankan. YDP HALUAN Cawangan Selangor, Ir Hj A Aziz (tengah) bekerjasama melapah sembelihan. Kaum ibu tidak ketinggalan membantu melapah sembelihan. Pemuda kampung turut membantu memotong daging sembelihan. Alhamdulillah ramai golongan muda turun bersama masyarakat. Petugas dan relawan tekun memotong daging. Wanita turut hadir membantu menyiapkan masakan untuk jamuan majlis ini. Daging korban mula diagihkan kepada mereka yang berhak. Peserta korban dan penduduk kampung mengambil bahagian daging-daging korban. Semoga Allah memberi ganjaran berganda kepada semua peserta korban dan mereka yang hadir menjayakan majlis ini. Hadirin menjamu selera selepas kepenatan menunaikan ibadah korban kali ini.