
Hari Sosial Sedunia UKM Profilkan HALUAN
BANGI, 24 Mac 2014 – Sekumpulan mahasiswa daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memilih HALUAN sebagai subjek kerja kursus mereka. Pemilihan ini sekaligus membariskan HALUAN sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang menganjurkan pameran dan rapat umum sempena Hari Sosial Sedunia peringkat UKM.
Sambutan Hari Sosial Sedunia ini adalah inisiatif Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia universiti berkenaan yang menggariskan objektif mempromosikan program kerja dan aktiviti kerja sosial di kalangan para mahasiswa dan staf UKM. Ia bertujuan menjana kepekaan terhadap perkembangan terkini kerja sosial dan melatih para mahasiswa membina jaringan komunikasi dan hubungan dengan agensi kerajaan dan NGO. Tema sambutan Hari Sosial Sedunia yang dipilih kali ini ialah “Social and Economic Crises-Social Work Solutions: Promoting Equality and Equity, Enabling People to Living Life Sustainably, Building Participation, Facilitating Caring Communities and Respecting Diversity- Connecting People.”
Majlis yang berlangsung di perkarangan foyer dewan 3F 201 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu dirasmikan oleh Ketua Program Kerja Sosial Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Mohd Suhaimi Mohamad. Beliau dalam ucapannya berharap agar program seumpama ini sentiasa diketengahkan kepada masyarakat kampus UKM khususnya untuk memanfaatkan para mahasiswa.
Penyertaan HALUAN dalam majlis ini mencatat satu kemajuan apabila sejumlah 60 orang mahasiswa dan mahasiswi serta staf UKM mendaftarkan diri untuk menjadi relawan HALUAN, berkata pegawai HALUAN Encik Muhammad Mus’ab Saari. Sambutan warga UKM dalam mengenali dan menyertai relawan HALUAN amat memberangsangkan dan ia suatu di luar jangkaan. Beliau berharap agar HALUAN mampu menggilap potensi para relawan muda ini agar mereka menjadi mahasiswa yang berkualiti dalam akademik, kesukarelawanan dan kemanusiaan.
Laporan oleh Umar Ismail
Unit Media HALUAN
Antara siswa yang menyertai relawan HALUAN Gerai jualan cenderamata Biro HALUAN Palestin mendapat sambutan yang amat baik Kumpulan pelajar UKM bergambar kenangan bersama En Izzat dan En Mus’ab Pelajar dari Sabah ini amat berminat untuk menyertai aktiviti HALUAN di Sabah Penyertaan relawan HALUAN dari para pelajar UKM tidak terputus-putus di gerai pameran HALUAN Siswi UKM mengisi borang relawan HALUAN Wakil mahasiswa UKM menyampaikan cenderamata kepada En. Mus’ab mewakili HALUAN