fbpx

HALUAN Sertai Bengkel Merangka Manual Sukarelawan Islam

HALUAN Sertai Bengkel Merangka Manual Sukarelawan Islam

HALUAN Sertai Bengkel Merangka Manual Sukarelawan Islam

Putrajaya, 9 Mac – Satu bengkel merangka manual bagi sukarelawan Islam telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi Putrajaya.


Bengkel yang mengumpulkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan merangka deraf manual sukarelawan Islam yang julung-julung kali diadakan. Lebih daripada 30 orang peserta telah hadir dengan penglibatan HALUAN, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), ISMA, Yayasan Jabal Nur, World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan beberapa NGO lain. HALUAN Malaysia telah diwakili oleh En Ahmad Fisal Md Salleh dan En Khairul Azman Ahmad Abkari daripada Biro Relawan.

Bengkel yang membentangkan 5 kertas kerja daripada Dr Lukman Zawawi Bin Mohamad (UKM), Kapten Bersara Dr Samsuddin Munir (YADIM) dan Dr Muhammad Nawar Bin Ariffin (Dewan Pemuda Masjid) banyak menekankan etika kesukarelawanan, penjanaan semangat kesukarelawanan dan modul latihan kesukarelawanan daripada perspektif pembentang dan organisasi pembentang.

Bengkel telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Sosial dan Kesukarelawanan JAKIM, Dr Abd Ghaffar Bin Surip. Dalam ucap utamanya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada badan dan agensi yang hadir dan menekankan pembentukan modul ini yang akan berfungsi sebagai latihan atau panduan kepada modal insan yang ada di dalam JAKIM. Bengkel yang merupakan langkah pertama kepada pembentukan manual itu akan disusuli dengan siri bengkel dan perbincangan set sehingga terhasilnya modul tersebut.

Di dalam sesi perbincangan, Dr Abd Ghaffar amat berminat dengan modul yang diguna pakai oleh HALUAN dalam mengendalikan sukarelawan yang disebut Relawan dalam konteks HALUAN.  Sehubungan itu, kerjasama yang berterusan akan dijalinkan bagi memenuhi keperluan manual yang akan diguna pakai di dalam kerajaan bagi mengendalikan sukarelawan Muslim. Bagi Biro Relawan HALUAN, kerjasama seumpama itu amat bermanfaat untuk pembangunan Islam dalam negara khususnya untuk pembentukan individu yang jelas pengetahuan dan kefahaman Islam dan dalam perihal dakwah kepada masyarakat seluruhnya.