fbpx

HALUAN Sambut Jubli Perak

HALUAN Sambut Jubli Perak

HALUAN Sambut Jubli Perak

BANDAR BARU BANGI, 15 April 2014 – HALUAN akan menyambut Jubli Peraknya pada tahun ini bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-25 dari 1 hingga 3 Mei di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor. Acara gilang-gemilang ini akan menghimpunkan seluruh ahli HALUAN dan pemerhati dari seluruh negara.

Dijangkakan seramai 1,500 ahli, relawan serta pemerhati akan berkampung dalam suasana penuh mahabah bagi berbincang, membahaskan dan merumuskan perihal penting dalam menentukan arahtuju organisasi pada tahun-tahun mendatang.

Bertemakan “HALUAN Perubah Dan Pemimpin Masyarakat”, MTP ke-25 ini dijadualkan akan dirasmikan oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada majlis kemuncaknya pada hari Jumaat 2 Mei bertempat di Pusat Konvensyen KUIS. Turut dijemput bagi memeriahkan lagi majlis ini adalah tetamu antarabangsa, badan-badan NGO tempatan dan agensi swasta.

Bagi tahun ke-25 ini, MTP kali ini agak berbeza kerana ia dimeriahkan dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HALUAN secara serentak. Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana MTP ke 25, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin, tujuan sambutan 25 tahun HALUAN ini adalah sebagai satu titik penilaian secara bersama tentang perjalanan HALUAN yang kini menjangkau usia kedewasaan dan kematangan. Introspeksi perlu dibuat terutamanya berkenaan penglibatan HALUAN secara aktif dalam mengharungi kerja-kerja berasaskan pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

“Diharapkan juga perjumpaan kali ini mengeratkan lagi ukhuwwah yang telah sedia terjalin di kalangan ahli dan bukan ahli. Kita percaya bahawa kerja-kerja berpasukan akan menghasilkan kejayaan,” ujar Mohd Sabbri.

Menariknya tentang MTP kali ini ialah buat julung-julung kalinya Konvesyen Pemuda HALUAN dan Muktamar HALUANITA akan berlangsung secara serentak, masing-masing dengan agenda tersendiri yang lebih berfokus tetapi masih berpaksikan visi dan misi HALUAN secara bersama.

Ahli-ahli HALUAN dan relawan HALUAN digesa untuk memeriahkan majlis yang bermakna ini dalam usaha menyemarakkan lagi semangat persaudaraan sesama muslim di samping memantapkan gerak kerja organisasi di dalam dan luar negara. Sila layari http://jubliperak.haluan.org.my untuk maklumat lanjut.


Laporan Unit MediaHALUAN