fbpx

HALUAN Pahang Sertai Seminar Perundangan Jenayah Syariah

HALUAN Pahang Sertai Seminar Perundangan Jenayah Syariah

HALUAN Pahang Sertai Seminar Perundangan Jenayah Syariah

KUANTAN, 26 Oktober 2009 — Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Negeri Pahang yang terdiri dari Gabungan NGO-NGO Islam Negeri Pahang, telah berjaya menganjurkan Seminar ‘Perundangan Jenayah Syariah: Isu dan Cabaran’ Di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kuantan, Pahang Darul Makmur pada 25 Oktober lalu. Seminar yang bertemakan ‘Memartabatkan Perundangan Syariah’ tersebut dianjurkan untuk mendedahkan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat akan kemurnian serta nilai-nilai keadilan yang diterapkan dalam sistem perundangan syariah terutama sekali dalam konteks negeri Pahang.


Seminar ini juga diadakan untuk menangkis fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memperkecilkan malah mahu menghapuskan undang-undang syariah di negara ini. HALUAN Pahang telah menghantar seramai 12 orang wakil menyertai seminar tersebut, yang diketuai oleh Yang Di Pertua HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid Tg Othman.

Sebanyak tiga forum telah diadakan, di mana setiap topik yang dibicarakan telah dikupas secara mendalam oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan syariah, yang terdiri daripada ahli akademik dan para peguam syarie. Ahli panel yang dijemput untuk forum pertama yang bertajuk “Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah; Isu dan Cabaran” ialah  Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, Timbalan Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mantan Dekan Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan  Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Islam ABIM yang juga merupakan Peguam Syarie.

Manakala dalam forum kedua yang bertajuk “Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah; Pengalaman Negeri Pahang” ahli panel yang dijemput ialah Prof. Madya Dr. Hashim Mehat, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam,  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIAM dan En. Mohd Najid Husain, Peguam Syarie.  Dalam forum terakhir yang bertemakan “Perlaksanaan Hukuman Sebat dalam Kesalahan Syariah, Arak dan Zina,” perbincangan isu ini diterajui oleh Ust.  Azlan Abdul Rahman, wakil dari Jabatan Mufti Negeri Pahang, En. Mohamad Isa Abd Ralip, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan YB Dato’ Haji Sahfri Abdul Aziz, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Di akhir seminar ini, Ustaz Azlan telah mengadakan demonstrasi sebatan syariah dan tayangan video contoh sebatan sivil. Majlis Penutup seminar telah disempurnakan oleh YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.