fbpx

HALUAN Kelantan Mengutuk Israel Sekeras-kerasnya

HALUAN Kelantan Mengutuk Israel Sekeras-kerasnya

HALUAN Kelantan Mengutuk Israel Sekeras-kerasnya

Kota Bharu, 31 Mei – HALUAN Kelantan telah mengadakan pertemuan bulanan di dewan SERU Al-Hilal, Kota Bharu pada hari Isnin, 31 Mei selepas solat Isya’.


Kebetulan pada hari yang sama, konvoi Life Line 4 Gaza Malaysia yang diketuai HALUAN Malaysia telah di serang oleh komando Israel di perairan antarabangsa ketika mereka menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza atau Flotilla Kebebasan pada awal pagi Isnin.

Justeru HALUAN Kelantan telah mengadakan solah hajat yang dihadiri lebih 120 orang ahli HALUAN Kelantan yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Noor Awang Kecik. Selepas solat ,Ustaz Mohd Noor meneruskan dengan bacaan doa memohon keampunan dan bantuan Allah SWT. Doa yang panjang serta menyentuh hati telah membuatkan ramai yang hadir sebak dan terharu. Lantunan munajat kepada Allah SWT dengan sepenuh pergantungan, harapan dan pertolongan Allah SWT.
    
Majlis dimulakan dengan ucapan YDP HALUAN Kelantan, Hj Mohd Nasir Saat. Beliau mengambil kesempatan dalam ucapan aluannya mengecam dan mengutuk sekerasnya tindakan biadap Israel menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa. Beliau juga menyeru ahli HALUAN untuk terus berdoa akan keselamatan kesemua 700 aktivis yang menyertai konvoi tersebut, khususnya aktivis dan wartawan dari Malaysia. Beliau dengan penuh sebak mengajak ahli HALUAN agar turut bersama merasai perjuangan dan bebanan ujian yang dihadapi oleh para aktivis khususnya kalangan 5 orang ahli HALUAN yang menyertai misi yang diketua oleh Hj Norazman Shamsudin, Pengerusi HALUAN Palestin.

Majlis diteruskan dengan penyampaian tazkirah yang disampaikan oleh Hj Rosdi Baharom, berkaitan tajuk pengorbanan. Katanya pengorbanan adalah melepaskan sesuatu yang berharga  dan menjual diri untuk mendapat syurga Allah swt. Kata-kata Hj Rosdi yang sangat menyentuh jiwa adalah “ Di saat ini ketika kita berada di sini, terdapat sahabat-sahabat kita yang berada di Gaza sedang menempah syurga dengan berjuang di jalan Allah SWT. Mereka sedang menuju kearah syurga dan kita di sini belum pasti.”
    
Seusai sesi tazkirah, majlis diteruskan dengan taklimat berkaitan perkembangan terkini konvoi LL4G oleh Sdr Zaini Ghazali dan Sdr Ridha Abd Ghani. Mereka menjelaskan kronologi konvoi LL4G dan memaklumkan perkembangan semasa yang sedang berlaku.

Penutup kalimah akhirah pada malam tersebut disampaikan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin. Majlis berakhir pada jam 11.30mlm.