fbpx

HALUAN Jamin Korban Anda Sampai Sasaran

HALUAN Jamin Korban Anda Sampai Sasaran

HALUAN Jamin Korban Anda Sampai Sasaran

KUALA LUMPUR, 5 Okt 2012 – Semakin ramai peserta korban mendaftar untuk melaksanakan amalan korban pada Hari Raya Haji tahun ini. Ramai juga yang masih menanti di saat-saat akhir untuk memilih di mana hendak berkorban. Ada juga yang kecewa kerana masjid dan surau setempat sudahpun penuh kuota mereka dan tidak lagi menerima permohonan baru.

Untuk golongan ini, usah gusar kerana HALUAN Malaysia sentiasa bersedia menerima tempahan mereka walau di minggu terakhir sebelum 10 Zulhijjah. Menurut Encik Mohd Azhar Md Idris, Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia yang mensasarkan korban di tujuh buah negara yang memerlukan, peluang penglibatan korban Aidil Adha akan dibuka sehingga hari Selasa, 16 Oktober ini.

Ikuti wawancara mediaHALUAN bersama beliau:

MediaHALUAN: Selain Malaysia, apakah negara-negara lain yang disasarkan oleh HALUAN Malaysia pada tahun ini?

Azhar Idris: Alhamdulillah, pengalaman kami berkhidmat masyarakat semasa misi kemanusiaan membawa kami kepada beberapa buah negara yang difikirkan perlu kepada bantuan daging korban ini. Ini termasuklah Kemboja, Vietnam, , Somalia, Palestin, Thailand, India dan Bangladesh

MediaHALUAN: Bagaimanakah pihak HALUAN boleh memastikan bahawa korban yang akan dilaksanakan di banyak negara itu boleh dibuat dengan baik dan teratur?

Azhar Idris: Kami sudahpun berpengalaman selama 12 tahun dalam melaksanakan ibadah korban ini di serata tempat. Kami sudahpun membina jaringan yang baik dengan pihak rakan NGO di sana yang kami yakini mampu menyelenggarakan korban daripada rakyat Malaysia dengan sempurna dan berjaya. Kami juga menghantar wakil-wakil HALUAN ke sana untuk memantau kerja-kerja pemilihan binatang ternakan hingga kepada proses penyembelihan dan pengagihan daging kepada golongan miskin dan fakir.

Sekiranya ada lokasi korban yang tidak sempat kami hadiri sendiri disebabkan masalah logistik misalnya, kami akan mengamanahkannya kepada rakan NGO Islam di negara tersebut yang sudah sekian lama berkerjasama dengan HALUAN dan sudah dipercayai kewibawaan mereka. Setakat ini mereka telah melaksanakan amanah dengan baik sekali, Alhamdulillah. Suka juga saya memaklumkan bahawa setiap penyertaan kita di Malaysia akan diberikan sijil.

MediaHALUAN: Nampak seolah-olah HALUAN memberikan tumpuan lebih kepada negara luar berbanding negara sendiri. Kenapakah begitu?

Azhar Idris: MasyaAllah, saya ingin membetulkan sedikit persepsi itu. HALUAN membuka seluas-luasnya peluang berkorban dalam negara, dan usaha ini dijalankan sendiri oleh cawangan-cawangan HALUAN di negeri masing-masing. Namun tambahan ruangan dibuat di dalam borang online kami untuk negara-negara yang kami rasa lebih memerlukan kepada korban daripada kita rakyat di Malaysia. Afdhal jika korban kita sampai kepada sasaran, dan kami berada di sini untuk anda kerana kami hendak jamin agar korban anda tepat sampai kepada sasarannya, di mana daging itu boleh dinikmati sepenuhnya oleh mereka yang betul-betul berhajat kepadanya.

MediaHALUAN: Apakah struktur harga yang telah ditetapkan oleh HALUAN untuk korban tahun ini?

Azhar Idris: Izinkan saya terlebih dahulu memahamkan para pembaca bahawa struktur harga yang disusun adalah mengikut kos bekalan dan pengurusan ternakan di zon tersebut, dan tidak boleh disamakan antara satu negara dengan satu negara yang lain. Ternakan di Palestin misalnya lebih mahal kerana masalah sekatan atau embargo haram Israel, bahkan banyak ladang-ladang yang rosak diserang tentera zionis dan ternakan mereka mati setelah dibom oleh drone zionis Israel.

Harga korban di Somalia bermula pada RM320; di Kemboja, Thailand, India, Bangladesh dan Vietnam pada kadar RM280; di Palestin sekitar RM1,200. Ada yang lebih murah daripada yang lain.
Namun pecahannya lebih mudah dilihat dalam rajah di bawah ini, berdasarkan kos untuk setiap satu bahagian untuk jenis-jenis ternakan yang berlainan.

Kod Keterangan RM
A Somalia – korban kambing (seekor) atau unta (sebahagian) 320.00
B Kemboja, Thailand, Bangladesh, India, Vietnam – korban lembu (sebahagian) 280.00
C Kemboja – Aqiqah kambing (seekor) *termasuk kos pengurusan 550.00
D Palestin – Korban kambing (seekor) atau lembu (lsebahagian) 1200.00
MediaHALUAN: Kalau begitu, pada saat-saat akhir ini, apakah cara terbaik untuk saya menyertai korban tahun ini?

Azhar Idris: Saya mengalu-alukan seramai mungkin peserta korban tahun ini, tetapi mestilah memberikan komitmen tidak lewat daripada hari Selasa 16 Oktober ini, untuk membolehkan kami mengurus dengan pihak berwajib di semua zon operasi kami. Teruskan membuat pilihan korban anda sekarang juga dan masukkan wang ke akaun bank yang disediakan (No. akaun Maybank 5622 6350 2604 atas nama “HALUAN” atau No. akaun Bank Islam 140 230 100 08813 atas nama ‘Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia’).

Selepas itu terus telefon atau SMS Urusetia Korban kami di talian 03 – 8926 8892 atau 011 565 7107 dan bercakaplah dengan Puan Ummu Hani sekiranya ada sebarang kemusykilan. Atau anda boleh juga faks borang permohonan ke alamat dan talian di bawah ini:

Sekretariat Korban HALUAN ,
A-03-1, Medan Pusat Bandar 5
Seksyen 9
43650 Bandar Baru Bangi
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 8926 8892
Fax:+603 8926 6892 / +603 8927 5244
Email: korban@haluan.org.my

MediaHALUAN: Apa akan jadi sekiranya ada peserta yang cuba menyertai korban oleh HALUAN selepas tarikh tutup tersebut?

Azhar Idris: Dalam kes seperti itu, jika wang sudah dimasukkan ke dalam akaun HALUAN, kami berharap tuan-puan akan redha jika wang tersebut bertukar menjadi infaq ataupun derma ikhlas sahaja! Ini kerana masa berbaki selama seminggu sahaja itu diperlukan oleh pengurusan HALUAN untuk membuat hitungan muktamad peserta dan juga bilangan ternakan yang akan diasingkan di lokasi untuk korban. Fasa ini sangat penting untuk memastikan ketepatan amalan korban ini sampai kepada matlamat ibadah yang sebenarnya.

MediaHALUAN: Apakah saranan terakhir saudara kepada pembaca web ini?

Azhar Idris: Alhamdulillah, saya rasa HALUAN di antara NGO Malaysia yang paling lewat menutup tarikh penyertaan, dan yang telah jelajah negara-negara yang memerlukan hasil korban kita. Maka saya ingin mengajak tuan-puan supaya usah berlengah lagi; cepat pilih tempat korban anda dan masukkan wang korban anda sebelum terlambat. Peluang melaksanakan ibadah korban ini cuma datang setahun sekali sahaja. Jangan lepaskan peluang untuk meraih pahala dan ganjaran yang dijanjikan Allah swt.