fbpx

HALUAN Charity Shop musnah dalam kebakaran

HALUAN Charity Shop musnah dalam kebakaran

HALUAN Charity Shop musnah dalam kebakaran

18 June 2009, Shah Alam – HALUAN Charity Shop (HCS,) atau Kedai Amal HALUAN, telah hangus dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada jam 3 petang semalam.


Kebakaran yang dilaporkan merebak dari bangunan rumah sebelah kedai tersebut mengakibatkan kemusnahan secara keseluruhan, termasuk semua barang jualan.

HCS adalah merupakan satu projek kelolaan Biro Ekonomi HALUAN yang bermula sejak tahun 2004. Kedai yang terletak di Padang Jawa, Shah Alam ini beroperasi di atas konsep memberi khidmat kepada masyarakat setempat di samping menyalurkan keuntungan kepada mereka yang memerlukan. Antaranya, HCS ini juga menyalurkan sebahagian daripada hasil keuntungan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin yang menghuni Asrama HALUAN Penyayang di Bukit Naga, Shah Alam.

Pakaian dan barangan terpakai hasil sumbangan orang ramai yang diperolehi secara percuma akan dijual balik dengan harga yang rendah setelah diproses. Hasil yang diperolehi dari jualan tersebut digunakan untuk membayar gaji pekerja kedai dan selebihnya disalurkan kepada institusi kebajikan HALUAN. Sebahagian daripada pakaian juga diagihkan kepada orang miskin dan mangsa bencana alam seperti banjir.

Pakaian dan barangan diperolehi dari sumbangan orang ramai melalui Donation Bin yang ditempatkan di beberapa surau dan institusi penganjian tinggi sekitar wilayah tengah. Barangan dari dalam Donation Bin tersebut akan diangkut oleh relawan HALUAN ke HCS di Padang Jawa setelah maklumat diperolehi untuk mengosongkannya.

Dalam kejadian kebakaran tersebut, penjaga kedai turut kehilangan wang persendirian mereka yang disimpan di situ. Ketentuan dan takdir Allah ini sudah tentu menyedihkan ahli-ahli HALUAN yang bersusah-payah menghidupkan projek kemasyarakatan ini. Semoga HALUAN terus bersemangat tinggi untuk menghidupkan aktiviti bersama masyarakat seperti HCS ini.