
Fasi Puteri Orang Asli Kendali Program Edu Banun
TASIK BANDING, PERAK, 27 Nov 2022 – Pihak urusetia Program Edu Banun bertujuan mendidik masyarakat orang asli yang buta huruf berpuas hati dapat mengendalikan pelajaran tiga kali seminggu setelah tamat wabak COVID-19.
Pengajaran asas itu bertujuan mendidik anak-anak kecil orang asli di Kampung Air Banun di sini dengan ilmu asas membaca, menulis dan mengira. Yang membanggakan ialah pengajaran kali ini dilaksanakan oleh empat orang fasilitator terdiri daripada anak-anak remaja dari kampung berdekatan. Kaedah ini difikirkan akan memudahkan pihak urusetia mengendalikan Program Edu Banun dengan lebih kerap dan efektif, berbanding sebulan sekali sahaja di masa lalu.
Kaedah training of trainers (ToT) ini diterajui oleh pengarah program (PPMEB), Puan Dalmataksiah Mohd Zain yang memantau secara peribadi setiap tahap pengajaran kepada masyarakat yang 100% buta huruf di sana.
“Setakat ini, kelas telah berjalan dengan sempurna dengan sambutan baik daripada anak cucu orang asli di kampung ini. Mereka sekitar umur enam ke 15 tahun lelaki dan perempuan. Dan yang menariknya, kaum ibu mereka juga sangat teruja untuk menjayakan Program Edu Banun ini demi masa hadapan anak cucu mereka. Bila pasukan kami mula mengajar, mereka turut menggendong anak untuk duduk bersama melihat apa yang dipelajari anak-anak kecil di sana. Ini suatu faktor penggalak yang amat kami kagumi,” jelas beliau.
Untuk membantu pembelajaran, pihak urusetia telah menyediakan makanan dan minuman percuma untuk kanak-kanak peserta.
Hasil positif daripada kejayaan program ini, kaum ibu berkenaan telah meminta pula agar HALUAN mengadakan program pengajaran Fardhu Ain dan Quran untuk mereka. Umumnya, ramai daripada kalangan mereka tidak mempunyai pengetahuan asas tentang fardhu ain. InsyaAllah para asatizah HALUAN akan menggalas tugasan ini sebaik mungkin.
Derma dan bantulah orang asli kita yang dahagakan ilmu pengetahuan. Kongsi pahala bersama kami dengan menderma seikhlas hati melalui akaun berikut:
Program Pembangunan Minda Edu-Banun Anak-Anak Orang Asli
ATAU
Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
Maybank Islamik Berhad
562263502611
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)
Bank Islam Malaysia Berhad
14023010025718
Ref: #EduBanun
wa.me/601120511909
Laporan Abdul Halim Khudri, Ketua Biro Kebajikan HALUAN