fbpx

Dr Tareq Al-Suwaidan Tekan Bab Pemimpin Ummah

Dr Tareq Al-Suwaidan Tekan Bab Pemimpin Ummah

Dr Tareq Al-Suwaidan Tekan Bab Pemimpin Ummah

BANDAR BARU BANGI, 22 Jan 2024 – Mekah adalah bandar yang paling kaya di dunia dan menjadi antara pusat perdagangan utama. Setiap kali kabilah perniagaan keluar dari Mekah biasanya ia melibatkan tidak kurang daripada 2,000 ekor unta. Pelopor kepada perdagangan antarabangsa ini adalah moyang Baginda Rasulullah SAW, Hashim Abd Manaf. Bandar Gaza di Palestin antara tempat yang sering beliau berulang alik dalam misi perdagangan dan beliau meninggal di Gaza.

Tanpa keluar dari Mekah, Siti Khadijah binti Khuwailid menjadi wanita yang paling kaya di Mekah, melebihi kekayaan peniaga lelaki yang ada. Urusan perniagaan beliau yang dilaksanakan oleh pekerja-pekerja beliau selalunya mencatatkan keuntungan 100%.

Demikianlah dinyatakan oleh Dr. Tareq Al-Suwaidan yang diiktiraf sebagai antara 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia. Beliau adalah seorang pelatih dan konsultan dalam bidang pengurusan, kepimpinan dan perancangan strategik. Dr. Tareq, yang mempunyai lebih daripada 18 juta pengikut di media sosial, mengangkat sirah sebagai sumber penting dalam memahami konsep kepimpinan dan kemahiran strategik.

Program sehari anjuran gabungan empat NGO Islam (IKRAM, HALUAN, WADAH, dan ABIM) telah berlangsung di Auditorium Abu Zarin, ILSAS, Bandar Baru Bangi semalam. Antara yang hadir adalah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dan Setiausaha Agung, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin.

Program wacana ilmu berkenaan telah dihadiri lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai NGO serta cendekiawan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Fokus utama syarah Dr. Tareq adalah ‘kepimpinan’. Beliau membicarakan tentang ciri-ciri pemimpin, bagaimana melahirkan pemimpin dan banyak lagi. Mendengar syarahan beliau dirasakan seperti banyak perkara baharu diperolehi.

——–

Laporan Sr. Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung
HALUAN Malaysia