fbpx

Dia itu menyebarkan kebaikan

Dia itu menyebarkan kebaikan

Dia itu menyebarkan kebaikan

Pada semester ini, saya mengambil pelajaran Madkhal Ila Dakwah dengan seorang pensyarah yang sangat-sangat hebat bernama ‘Adnan Khutotobeh. Dia sentiasa tersenyum, kemas, dan sangat luas ilmunya.

Di dalam salah satu kelasnya, dia bercerita berkenaan keluasan medan amal di dalam menyampaikan kebaikan kepada manusia, di dalam mengajak manusia kepada Allah SWT.

Cerita itu membuatkan saya terinspirasi.

Moga-moga, anda juga terinspirasi.

Keluasan Medan Dakwah
Dr ‘Adnan Khutotobeh sebelum menceritakan perihal lelaki itu, dia menerangkan betapa luasnya medan dakwah. Apa-apa sahaja yang boleh membuatkan seseorang itu tergerak untuk kembali kepada Allah SWT, maka itu adalah dakwah. Maka di sini, segala perbuatan kebaikan seperti mengajar, berceramah, menulis, membuat filem dan 1001 lagi amalan, termasuklah akhlak, itu semua adalah medan dakwah untuk mengajak manusia kepada Allah SWT.

Asalkan perkara itu terdiri pada dua perkara: Berada dalam lingkungan syara’ dan dilakukan dengan ikhlas.

Luasnya medan dakwah. Tetapi apakah kita menyertainya?

Ganjaran sesiapa yang menyeru di jalan Allah SWT
Dakwah bukan mudah. Dakwah itu satu medan yang penuh berduri. Sehinggakan As-Syahid Syed Qutb berkata:

“Jalan ini tidak dibentangi dengan bunga-bunga dan permaidani merah, tetapi ditaburi dengan duri-duri yang terpacak”

Sebab itulah, ganjaran untuk dakwah ini adalah ganjaran yang membuatkan kita terpukau.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Surah Fussilat ayat 33.

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya?

Lihatlah pula macam mana Allah memperkenalkan ummat yang terbaik. Apakah ciri-cirinya?

“Kamu semua menjadi umat yang terbaik, yang dikeluarkan kepada manusia, mengajak kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah…”Surah Ali Imran ayat 110.

Rasulullah SAW pula bersabda: “Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana (usaha)kau, maka itu lebih baik dari unta merah” Riwayat Muslim. Di dalam satu riwayat lain disebutkan: “Lebih baik dari dunia dan segala isinya”

Tidak perlu ilmu segunung tinggi. Sampaikan apa sahaja yang kita sudah pasti sohih. Walaupun kita hanya tahu Surah Al-Fatihah sahaja. Ajak manusia lain membacanya. Walaupun kita tidak reti bercakap, kita sampaikan Islam menggunakan akhlak kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat” Al-Hadith.

Jadi, ada seorang lelaki, walaupun sakitnya kronik, tetap mengejar perkara ini.

Dia yang hanya menaip
Terdapat seorang lelaki, Allah izin dia menghadapi sakit yang agak kronik. Dia tidak mampu menggerakkan tubuhnya dari bahagian pinggang hingga ke hujung kaki. Ditambah pula, kondisi tubuhnya yang lemah menyebabkan dia terpaksa berbaring sahaja di atas katil.

Allah telah menarik banyak nikmat hidupnya, Allah telah mengujinya. Tetapi, kesungguhannya dalam meyampaikan kebaikan tidak terganggu. Dalam keadaan berbaring itu, dia berusaha menyampaikan kebaikan dengan menaip. Tiada masanya digunakan untuk merintih, tiada waktunya dibuang dengan berehat, tiada harinya yang berlalu tanpa digunakan sebaiknya. Semuanya diisi dengan menulis, menulis dan menulis seruan kepada kebaikan, kemudian disebarkan ke pelbagai tempat di alam maya.

Kesungguhannya ini, sampai ke telinga seorang pendakwah arab saudi yang sangat-sangat terkenal pada zaman ini: Nabeel ‘Awadiy.

Nabeel ‘Awadiy menziarahinya
Mendengar kesungguhan lelaki itu, Nabeel ‘Awadiy segera menziarahinya. Dari Arab Saudi, dalam keadaan masa yang padat dan kerja yang banyak, Nabeel ‘Awwadiy meluangkan masa terbang ke Qatar untuk menziarahi pemuda tadi. Pemuda tadi mengalirkan air mata, apabila yang masuk ke bilik menziarahinya pada hari itu adalah pendakwah yang sangat dia kaguminya.

Nabeel ‘Awadiy meluangkan masa bersembang dengan pemuda ini.

Dan kata-kata pemuda itu yang membuatkan hati saya bergetar adalah:

“Wahai sheikh(katanya kepada Nabeel ‘Awadiy), kalaulah Allah berikan aku kesihatan, aku akan gunakan setiap saat dalam hidup aku untuk mengajak manusia kembali kepada-Nya”

Itulah dia pengakuan, kesungguhan, seorang lelaki yang telah tidak mampu digerakkan lagi kakinya, yang sedang sakit dan tubuhnya pula lemah. Berbaring 24 jam. Kencing dan air besarnya diuruskan orang lain. Yang tubuhnya dicucuk beberapa tiub.

Tetapi dia tidak lengah mengajak manusia kepada Allah SWT.

Medan dakwah yang luas, dia menyertainya dengan apa yang dia mampu.

Sehinggakan pendakwah terkenal seperti Nabeel ‘Awadiy mengkagumi pemuda ini.

Kita
Bagaimana kita? Kita yang mempunyai kesihatan. Kita yang boleh bercakap dengan baik. Kita yang boleh ke sana sini. Kita yang Allah izin peribadinya diperhatikan orang. Kita yang mempunyai kudrat yang pelbagai.

Apakah yang telah kita lakukan dengan nikmat-nikmat Allah SWT ini?

Kenapa seorang lelaki lumpuh, separuh mati itu mampu mengajak manusia kepada Allah SWT, dan kita yang sihat ini bukan sekadar tidak mengajak, malah meninggalkan arahan Allah SWT. Bukankah kita ini hamba yang tidak bersyukur?

Penutup: Janganlah lengah wahai manusia yang punya kudrat!
Apakah yang menggerakkan seseorang itu untuk mengajak manusia kepada Allah? Ada 1001 sebab. Ada juga yang hendak popular, ada juga yang hendak dikenali, ada juga yang hendak orang memuliakannya sebagai syeikh dan sebagainya.

Tetapi niat yang bersih hanya satu.

Kita berdakwah, kerana kita nak ramai manusia mengambil Allah sebagai Ilah, meninggalkan nafsu sebagai ketua hidup, menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan. Agar bukan sahaja peribadi terbina, tetapi juga satu masyarakat yang menghambakan diri kepada Allah SWT terbangun. Sehingga menjadi seperti satu kota yang pernah dahulu Allah SWT firmankan:

“Negara yang baik, dan Allah menurunkan keampunan”

Serulah. Serulah ke arah kebaikan dengan hikmah, pengajaran yang baik. Jika perlu berdebat, berdebatlah dengan kerendahan hati dan penuh tawadhu’. Serulah dengan apa cara sekalipun selagi mana cara itu masih di dalam lingkungan redha-Nya. Dan pastikan diri anda berusaha untuk ikhlas.

Ketahuilah, seruan kepada kebaikan itu, tanda cinta kita kepadanya.

Macam saya kata, cinta itu adalah: Hendak dia masuk syurga bersama-sama kita.

Maka, serulah diri kamu kepada kebaikan, serulah keluarga kamu kepada kebaikan, serulah sahabat-sahabat kamu kepada kebaikan, serulah anak-anak murid kamu kepada kebaikan, serulah rakyat kamu kepada kebaikan, serulah semua orang kepada kebaikan.

Dan tiadalah kebaikan yang terbaik, yang membahagiakan, selain Islam.

Janganlah lengah.

Bukankah kamu punya kudrat?


Tulisan Hilal Asyraf.