fbpx

Covid-19: Ummah Diseru Kembali Kepada Allah

Covid-19: Ummah Diseru Kembali Kepada Allah

Covid-19: Ummah Diseru Kembali Kepada Allah

BANDAR BARU BANGI, 20 Mac 2020 — Umat Islam di mana saja berada harus menyedari bahawa mereka perlu kembali bermunajat kepada Allah SWT untuk menewaskan wabak Covid-19 yang sedang mengganas serata dunia.

Selain akur kepada arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, umat ini perlu mengimbas kembali kepada sirah dan resam tauladan Islam, berkata Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman dalam siaran Live di Facebook HALUAN malam tadi. Sudut kerohanian amat perlu dititikberatkan oleh ummah demi memancangkan setiap individu di landasan kefahaman yang betul tentang bencana yang sedang menimpa ini. Katanya, wabak ini tidak terjadi dengan sendirinya melainkan ia diizinkan oleh Allah SWT.

Beliau menggariskan empat perkara kerohanian pokok untuk umat Islam manfaatkan demi menanggapi krisis wabak yang menimpa, sesuai dengan ajaran Al-Quran dan sunnah. Yang pertama mereka perlu segera bersabar dan bersolat dek musibah yang menimpa. Untuk itu, Dr Abdullah telah memetik dua ayat berasingan daripada surah Al-Baqarah, ayat 45 dan 153.

A045

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Baqarah 2:45).

“Ayat-ayat ini mengajarkan kita bahawa permintaan tolong kita harus disertai dengan dua unsur utama iaitu sabar dan solat. Kesabaran itu suatu sifat kelaziman yang harus ada pada umat Islam dan solat itu adalah tanda ketaatan kita kepada Tuhan. Kita kena banyak bersabar, tenang menghadapi kemelut ini. Jangan kita emosional dan tergopoh-gapah kerana ia akan timbulkan masalah lain. Ketenangan itu datang melalui solat,” tegas beliau.

Katanya, bekalan solat berbentuk solat malam seperti solat hajat mampu menggamit redha Allah untuk membendung wabak berbahaya ini.

Selain itu, umat Islam perlulah banyak beristighfar seperti tertera dalam surah Hud ayat 52 di mana Allah mengajar manusia cara memohon ampun agar dosa dan musibah mereka dapat dilenyapkan.

A052

“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Hud 11:52)

“Di antara sebab wabak ini adalah kerana dosa-dosa manusia yang banyak, lantas ia menjadi ujian ke atas kita; kepada siapa kita boleh mengharapkan pembelaan? Maka tidak mustahil Allah SWT akan mengampuni kita setelah kita benar-benar insaf dan bertaubat. Selepas itu, barulah Allah akan berikan kekuatan semula kepada kita. Sebab itu istighfar mampu keluarkan diri kita daripada bencana ini dan kita akan kembali stabil,” ujar beliau.

Perkara ketiga yang kita harus buat adalah berzikir dan berdoa. Antara zikir yang mustajab adalah bacaan:

“Bismillahillazi La Yadurru Ma’asmihi Syaiun Fil Ard, i Wa La Fis Sama’ie, Wahuwas Sami’ul ‘Alim”

Bermaksud: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”

“Ke-empat dan terakhir adalah perbanyakkanlah sedekah semasa ditimpa musibah seperti wabak Covid-19 ini. Kerana ia mampu melindungi kita daripada bencana dan musibah yang lebih dahsyat. Sedekah sebenarnya membawa rahmat ke atas pemberi dan disingkapkan kepayahan kepada umat,” jelas beliau.

Dr Abdullah mengajak umat Islam mengambil peluang daripada musibah yang menimpa ini untuk setiap individu muslim mengatur langkah mengubah diri masing-masing, suatu transformasi kesedaran ke arah membetulkan kembali cara hidup selama ini kepada yang lebih diredhai oleh Allah SWT.

Katanya, “Orang yang waras akan mengubah atau transform musibah ini kepada peluang. Seperti As-Syahid Sayyid Qutb dan Almarhum Dr Hamka yang mengarang kitab-kitab sepanjang jangka masa mereka di penjarakan. Musim isolasi akibat Covid-19 ini harus menjadi peluang kepada kita untuk berubah. Gunakan kesempatan (cuti paksa) ini untuk mengeratkan hubungan keluarga, didik diri kita terutamanya untuk minat membaca bahan-bahan semasa, mengaji Quran, zikir, berselawat, beristighfar, mengejar kembali amalan-amalan baik yang tertinggal sebelum ini kerana kita sibuk bekerja.”


Laporan unit mediaHALUAN