fbpx

127 Peserta Ikuti Latihan Memahami Permasalahan Palestin

127 Peserta Ikuti Latihan Memahami Permasalahan Palestin

127 Peserta Ikuti Latihan Memahami Permasalahan Palestin

Putrajaya, Sabtu 17 Januari 2009: Seramai 103 orang wakil-wakil HALUAN negeri dari seluruh negara telah mengikuti latihan pemahaman isu Palestin (Training of Trainers) yang dianjurkan oleh Sekretariat HALUAN Palestin.


Latihan yang diadakan di dewan kuliah Masjid Putra tersebut turut dihadiri 24 orang wakil HALUANsiswa dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

Latihan ini diadakan bagi memperkemas persiapan ahli-ahli HALUAN dengan kefahaman yang jelas dan fakta-fakta yang tepat lagi mutakhir berkenaan isu Palestin supaya mereka dapat menyebarkannya kepada masyarakat. Setakat ini HALUAN telah mengadakan lebih 50 ceramah, forum dan aktiviti khusus untuk menyebarkan kefahaman isu Palestin di masjid, surau, sekolah dan badan-badan kerajaan mahupun swasta di seluruh negara.

Naib Presiden HALUAN yang juga merupakan penasihat kepada Sekretariat HALUAN Palestin, Ustaz Mohd Darus Senawi Ali turut menyertai latihan tersebut. Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Mohd Darus antara lain mengingatkan bahawa permasalah Palestin bukanlah hanya sekadar untuk menjawab serangan terkini Zionis Israel ke atas bumi Gaza. Permasalahan ini tidak akan berhenti bila Israel berhenti menyerang Gaza, malahan  Zionis dan sekutunya akan terus menyerang negara-negara Islam yang lain bagi melaksanakan agenda mereka sepertimana yang berlaku ke atas Afghanistan dan Iraq.

Sesi latihan turut disampaikan oleh Pengerusi Komite Nasional Untuk Rakyat Palestina dari Indonesia, Dr Muqoddam Chowil. Beliau telah menyampaikan kuliah yang menyentuh tentang sejarah Palestin dan masjid al-Aqsa, kenapa kita perlu membela Palestin dan masjid al-Aqsa, rentetan penentangan Palestin terhadap kekejaman Zionis Israel dan juga bagaimana pembentukan negara Zionis berlaku.

Dr Muqoddam juga telah berkongsi pengalaman mereka melakukan aktiviti-aktiviti untuk menyebarkan kefahaman isu Palestin kepada masyarakat. Peserta turut dibimbing untuk merancang aktiviti mereka melalui sesi latihan berkumpulan. Turut hadir berkongsi pengalaman adalah peruding isu Palestin dari Aman Palestin yang aktif menyampaikan ceramah permasalahan Palestin di dalam mahupun di luar negara.

Diharapkan setiap peserta pulang ke negeri masing-masing dengan pelan tindakan untuk menyemarakkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam isu Palestin. Isu Palestin bukan sekadar isu bangsa Arab, malahan ia menyentuh perkara aqidah umat Islam dalam menjaga kemuliaan bumi Palestin dan masjid al-Aqsa. Oleh itu isu tersebut harus berpaut di hati setiap lapisan masyarakat Islam sepanjang masa.