fbpx

Kembali Aktif Bantu Orang Asli Selepas Tamat PKP

Kembali Aktif Bantu Orang Asli Selepas Tamat PKP

Kembali Aktif Bantu Orang Asli Selepas Tamat PKP

AIR BANUN, GERIK, 23 Okt 2021 – Bukan hanya bantuan barangan dapur disalurkan kepada penduduk orang asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 malah HALUAN Pulau Pinang telah berusaha meneruskan perjuangannya mempertingkatkan keadaan sosio-ekonomi penduduk setempat melalui projek pertanian komersil.

Selepas hampir setahun relawan HALUAN tidak dapat turun ke RPS Air Banun kerana PKP tersebut,  kebenaran merentas negeri berkuatkuasa Oktober ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh urusetia  Projek Pembangunan Kampung Orang Asli Air Banun (PPKOAB) dengan penghantaran bahan makanan kering dan pertanian yang diperlukan oleh orang asli di sana. Ini termasuk 70 kampit beras untuk 70 buah keluarga di dua buah perkampungan terpencil tersebut.

Seramai empat orang relawan diketuai pengarah projek, Dr. Ahmad Ikhwan Subberi telah pergi dengan dua buah kenderaan pikap membawa bekalan tersebut ke Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba. 

“Semua relawan kami telah lengkap dua dos vaksin dan segala SOP yang ditetapkan bagi mengawal penularan Covid 19 telah dipatuhi. Kami juga sempat memantau keadaan pokok limau nipis komersil yang telah ditanam sejak tahun 2020. Jelas jarak waktu yang lama akibat PKP ini telah memberikan kesan negatif terhadap tanaman kerana kami tidak dapat masuk memantau tapak projek ini setiap bulan seperti dijadualkan. Ada pohon yang mati dan jelas pembajaan dan pengairan telah terabai. Dalam lawatan singkat ini, kami mengambil langkah mengajar petani orang asli memulihkan semula  tanaman agar dapat membuahkan hasil komersil pertamanya menjelang ujung tahun ini,” jelas Dr Ikhwan.

Di samping itu, pasukan tersebut telah membawa sebanyak 30 batang anak pokok limau nipis tambahan berusia hampir dua tahun untuk ditanam secara gotong royong bersama penduduk kampung. Teknik penanaman menggunakan bahan organik pertanian campuran moden dan penjagaan pokok juga telah diajar kembali kepada mereka.

Memandangkan projek penanaman  pokok  limau nipis secara komersil ini menunjukkan kemajuan, pihak urusetia telah bersetuju untuk mengembangkan diversifikasi pertanian dengan penanaman  pokok roselle pula di tapak pertanian di lokasi berdekatan. Tinjauan dan kerja-kerja pemetaan tapak kawasan sasaran tanaman telah dilaksanakan di bawah penyeliaan pasukan diketuai oleh konsultan projek roselle, Ustaz Dr. Abdul Rahhim Abdul Wahab.

“Kepelbagaian ini penting untuk mencerna minda orang asli bahawa peluang meraih pendapatan mereka tidak sekadar menjual hasil hutan semata-mata. Buah roselle misalnya terlalu sedikit di pasaran sedangkan permintaannya tinggi. Pembuat minuman, halwa, jus, kordial, jeruk, jem, mekap, pewarna, ubat gigi dan kosmetik sentiasa hadapi masalah bekalan. Sedangkan tanah asli di Air Banun ini sangat subur untuk tanaman itu secara komersil. Kami nampak ini suatu peluang untuk mereka menjana pendapatan yang mencukupi untuk saraan keluarga mereka,” ujar Dr Ikhwan lagi.

Katanya, satu lagi usaha tani yang akan dibantu oleh HALUAN adalah penternakan ikan baung di kolam orang asli menggunakan sumber air mengalir yang bersih dari gunung. Permintaan terhadap ikan itu adalah tinggi di pasaran sekarang.

Sementara itu, YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Iznan Husainy Hasbullah berkata fasa kawalan COVID-19 sekarang yang lebih liberal akan membolehkan pertubuhan ini menggiatkan semula projek bantuan orang asli yang telah dimulakan hampir empat tahun lalu. Selain projek bantuan kebajikan dan pertanian komersil, HALUAN akan menggencarkan kembali projek pendidikan asas untuk anak-anak kampung pra-sekolah dan sekolah rendah di sana yang rata-rata buta huruf.

“Tiada siapa lagi di negara merdeka kita ini yang perlu hidup tanpa ilmu. Buta huruf. Pelajaran asas penting untuk setiap rakyat Malaysia bangkit mengejar ilmu dan rezeki masing-masing. Kejar cita-cita. Tanpa pengetahuan ilmu membaca, menulis dan mengira, suatu bangsa itu akan terus terperuk dalam kemunduran dan menjadi mangsa kepada golongan yang lebih cerdik pandai. Objektif kami – membawa kampung ini keluar daripada jahil ilmu kepada kecerdikan akademik dan dekat dengan ilmu asas Islam,” tegas beliau yang sering memantau setiap projek yang dilaksanakan di sini agar dana awam yang didermakan dimanfaatkan semaksima mungkin untuk pembangunan orang asli di Air Banun.

HALUAN Pulau Pinang mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyumbang untuk orang asli selama ini. Semoga derma ikhlas anda diberkati Allah SWT. Teruskan sumbangan derma anda ke akaun:

HALUAN Pulau Pinang :  Maybank Berhad nombor 5572 5006 2982 dan slip bank di hantar ke  019 4644 357 – Abd Halim Khudri.


Laporan Biro Media HALUAN P.Pinang