fbpx

Forum Perdana “Anakku Berjiwa Besar” sempena AGM 2011

Forum Perdana “Anakku Berjiwa Besar” sempena AGM 2011

Forum Perdana “Anakku Berjiwa Besar” sempena AGM 2011

Batu Uban, 30 April – Unit Motivasi dan Kaunseling HALUAN Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Penduduk Desa Riang dan Kariah Masid Batu Uban telah mengadakan Forum Perdana bertajuk “Anakku Berjiwa Besar.” 


Forum Perdana ini merupakan salah satu bentuk khidmat masyarakat oleh HALUAN Malaysia sempena Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-22 (AGM 2011) yang di adakan di Universiti Sains Malaysia hari ini dan esok. Masjid Batu Uban merupakan salah satu daripada lapan buah masjid dan surau di sekitar Pulau Pinang yang dipilih oleh HALUAN Pulau Pinang untuk diadakan program forum dan kuliah maghrib.

Pengarah program, Encik Mohd Shapiee Hashim, berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai ilmu dan kemahiran dalam bidang keibubapaan.

Katanya, sepanjang program itu berlangsung ahli panel berkongsi mengenai kepentingan menggilap potensi yang terpendam di dalam diri anak-anak.

Program yang diadakan di perkarangan Masjid Batu Uban itu adalah penerusan program bulanan anjuran Unit Motivasi dan Kaunseling HALUAN Pulau Pinang. Sebelum ini, program berkenaan diadakan di dewan flat Desa Riang dengan kerjasama Masjid Batu Uban.  

Ia turut mendapat kerjasama Radio Mutiara.FM, Jabatan Penyiaran Pulau Pinang, Rela Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Radio Televisyen Malaysia serta pemimpin masyarakat setempat.

Forum itu dipengerusikan oleh Kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan Derma Perlis, Tn Hj Mohamad Adi Ismail manakala ahli panel pula terdiri daripada Imam Masjid Putra Putrajaya, Ustaz Salleh Saad; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Azizan Ahmad dan pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Teknologi Darulnaim, Tn Hj Rosdi Baharom.  

Encik Mohd Shapiee berkata, program itu berjaya menarik lebih 600 hadirin manakala beberapa individu yang bermurah hati telah menyumbang makanan dan minuman pada malam berkenaan.

Seorang penduduk Batu Uban yang dikenali sebagai Kak Mah berharap HALUAN meneruskan program sedemikian di samping mempelbagaikan kegiatan kemasyarakatan yang lain.

Beliau yang bertugas sebagai Guru KAFA berkata, perubahan ke arah sikap yang lebih baik sudah mula kelihatan sejak program berkenaan dilaksanakan pada 2008.

Program yang bermula jam 9 malam itu berakhir pada jam 11 malam.