fbpx

HALUAN Selangor Diseru Bersungguh Perbaiki Diri dan Bantu Masyarakat

HALUAN Selangor Diseru Bersungguh Perbaiki Diri dan Bantu Masyarakat

HALUAN Selangor Diseru Bersungguh Perbaiki Diri dan Bantu Masyarakat

KAJANG, 3 Mac 2012 — Ahli-ahli HALUAN di Selangor perlu meningkatkan usaha membina kekuatan diri dan seterusnya menggembeling tenaga membantu masyarakat.

Kejayaan HALUAN dalam mendidik dan berbakti kepada masyarakat bergantung kepada kekuatan semua individu ahli yang memainkan peranan dan mengobarkan semangat dengan sepenuhnya.

Demikian nasihat Yang DiPertua HALUAN Cawangan Selangor, Ir Hj A Aziz Mat Ali, ketika menyampaikan ucapan aluan bertajuk “Bangun Meningkatkan Kekuatan” di Mesyuarat Agung Kali Ke-14 HALUAN Cawangan Selangor di sini. Menurut beliau lagi, kesedaran dan kefahaman yang dimiliki oleh ahli-ahli HALUAN tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tidak disebarkan kepada masyarakat untuk bersama-sama beramal. Untuk tujuan itu, HALUAN Cawangan Selangor perlu mempunyai halatuju yang jelas dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap usaha menggapai visi dan misinya.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 70 orang ahli HALUAN dari Negeri Selangor itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden HALUAN, Sr Hj Sabbri Mohd Yudin. Dalam ucapan beliau, Sr Hj Sabbri telah menyarankan supaya semua ahli HALUAN menjadikan agenda dakwah dan tarbiah bersama masyarakat sebagai igauan mereka.

Selain daripada perbincangan berkenaan usaha meningkatkan kualiti ahli-ahli, mesyuarat turut membahaskan beberapa usul melibatkan pengurusan organisasi dan gerak-kerja HALUAN di peringkat Negeri Selangor. Antara lain, HALUAN akan memberi fokus kepada mendekati masyarakat melalui program masjid dan sekolah angkat dan juga kerjasama strategik dengan agensi-agensi dan NGO-NGO berkaitan.