fbpx

Kebijaksanaan Syuyukh Dalam Semangat Pemuda

Kebijaksanaan Syuyukh Dalam Semangat Pemuda

Kebijaksanaan Syuyukh Dalam Semangat Pemuda

Istiqamah Tarbiah Dalam Kerangka حكمة الشيوخ في حماسة الشباب (Kebijaksanaan Syuyukh Dalam Semangat Pemuda)

PENDAHULUAN

Untuk melahirkan semua elemen-elemen organisasi yang mantap kita mestilah menyelenggarakan tarbiah yang mustamirah (berterusan). Program tarbiah ini hendaklah dipegang teguh oleh setiap ahli dan menjadi fokus mereka yang utama. Tarbiah merupakan paksi yang akan melahirkan bidang-bidang lain dalam organisasi sebagaimana ungkapan seorang ulamak muktabar, Asy-Syeikh Mustafa Masyhur, “Tarbiah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya mesti bermula daripada tarbiah.”

Tubuh organisasi akan menjadi kaku, lesu dan statik apabila energy hasil tarbiah berkurangan. Jika tarbiah keliru, organisasi akan menyimpang dari jalan kebenaran. Tanpa iltizam dengan tarbiah kita menolak intima’ (penggabungan) anggota dalam organisasi kerana ia menjadi asbab organisasi tidak akan berkembang, menghalang pertolongan Allah swt, menempah kegagalan dan kekecewaan. Organisasi menjadi himpunan mayat-mayat yang tidak mampu berfungsi. Bukankah Allah SWT telah berfirman:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia serupa dengan orang yang berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya? Demikianlah Kami jadikan orang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan.” (al-An’am:122)

KATEGORI TARBIYAH

Tarbiah dalam organisasi terbahagi kepada dua:

Pertama, talqiniyah ( تلقينية ) iaitu pembahasan suatu masalah Islam yang diadakan dalam usrah atau halaqah tarbawi. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ
“Tetapi jadilah kamu orang-orang Rabbani oleh kerana kamu sentiasa mengajarkan al Kitab dan kamu selalu mempelajarinya.” (Ali Imran:79)

Ajaran Islam tidak mungkin difahami kecuali melalui proses tarbiah yang diterjemahkan dalam usaha untuk memahami dan menghayati Kitabullah secara berterusan, mengajar dan diajar, mentarbiah dan ditarbiah.

Kedua, tajribiyah ( تجريبية ) iaitu menerima tarbiah melalui medan kerja atau di lapangan secara langsung untuk memetik pengajaran- pengajaran di medan amal. Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَهُ وَاللهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqarah:282)

Perkara yang menjadi inti kepada tarbiah secara berorganisasi ialah agar tercapainya keselamatan potensi organisasi (سلامة طاقة الحركة). Untuk mencapai maksud, ini tarbiah perlu mempunyai tiga unsur berikut:

  1. Keteguhan asas ( صالبة القاعدة ) yang ditentukan oleh keteguhan akidah. Oleh kerana itu tarbiah ‘aqidiyah bersifat mustamirah. Ianya akan menjadikan kita sentiasa berhubung dengan Allah SWT, sekali gus menjadi sumber kekuatan kepada organisasi. Perkembangan organisasi bergantung kepada keteguhan akidah anggotanya. Akidah yang hidup akan memarakkan gerak kerja dan daya juang organisasi. Keteguhan akidah akan menyelamatkan anggota melencong daripada jalan kebenaran.
  2. Titik tolak ( نقطة الإنطلاق ) ditentukan oleh kejelasan fikrah. Tarbiah juga mesti meliputi pemahaman terhadap maksud-maksud ajaran Islam sesuai sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Kefahaman yang sebenar hanya diperolehi melalui penguasaan ilmu syarak, ilmu semasa (waqie’) dan terus bergelumang dalam medan amal. Inilah tiga kombinasi yang tidak boleh dipisahkan, ilmu syarak tanpa ilmu semasa menjadi kefahaman Islam terlalu asing dan tidak berpijak di bumi nyata, ilmu semasa tanpa ilmu syarak menyebabkan manusia menjadi sesat dan ilmu tanpa medan amal menjadikan ilmu kering dan seperti pokok tidak berbuah.
  3. Kaedah perjalanan ( كيفية المصير ) ditentukan oleh kejelasan sistem yang kita lalui dengan mengikuti perjalanan Rasulullah SAW dalam menegakkan deen Allah SWT (إقامة الدين الله ). Perlu berpegang teguh kepada kaedah syarak dengan tidak mendahulukan akal. Berhati-hati terhadap anasir yang meletakkan pemikiran, perancangan strategi dan siasah aqliyah mendahului kaedah-kaedah syarak yang telah disepakati oleh ulamak-ulamak Islam yang muktabar. Hakikatnya anasir seperti ini menyembunyikan kerakusan dan keghairahan kepada kuasa disebalik wajah Islam. Matlamat mereka adalah kuasa dan pengaruh. Mereka menghalalkan cara demi untuk meraih matlamat. الغاية تبرر الوسيلة (Matlamat menghalalkan cara) menjadi pegangan mereka. Mereka inilah mencemarkan wajah Islam dan menjauhkan manusia daripada kebenaran. Hakikatnya mereka mewarisi karektor pengasas golongan munafik Abdullah bin Ubai bin Salul.


Apabila kita cuai dalam mewujudkan salah satu dari ketiga unsur tarbiyah itu, maka potensi organisasi menjadi TIDAK selamat. Proses pembentukan (التكوين) tidak berlaku secara tersusun dan teratur yang mengakibatkan banyak potensi tidak dapat dimanafaatkan oleh organisasi, bahkan ianya dieksploitasi oleh anasir-anasir lain.

Aset Potensi Organisasi Antara Kebijaksanaan Orang Berpengalaman (Syuyukh) dan Semangat Pemuda (Syabab)

Aset organisasi terdiri daripada manusia bukan diukur berdasarkan material yang dimilikinya. Oleh kerana itu gerak kerja organisasi tidak memiliki apa-apa kekayaan selain manusia yang berjaya diajak ke jalan Allah SWT dan bekerja untuk menegakkan deenNya.

Para ahli organisasi menjadi milik organisasi kerana mereka telah mengikat dan melibatkan diri dengannya untuk mendengar dan taat dalam bekerja di jalan Allah SWT. Apa yang menjadi miliknya seperti kekayaan akan digunakan untuk berkhidmat di jalan Allah SWT sehingga Islam menjadi paksi kepada asetnya. Para pekerja yang berpotensi seperti inilah dimaksudkan keupayaan organisasi (طاقة الحركة ) bukan material yang mereka miliki tapi tiada potensi dan kemampuan untuk menyumbang kepada organisasi. Dalam membangunkan keupayaan organisasi terdapat dua watak yang mesti sentiasa dipelihara keseimbangannya, iaitu watak orang berpengalaman (tua) dan watak pemuda sebagaimana ungkapan: حكمة الشيوخ في حماسة الشباب (kebijaksanaan orang tua dalam semangat orang muda)

Syabab (para pemuda) mempunyai potensi unik yang tidak ada pada orang tua antaranya:

  • Kekuatan daya inisiatif ( قوة المبادرة )
  • Kekuatan pergerakan dan beraktiviti ( القوة التنفيذية )
  • Penguasaan Konsepsi/Teoritikal ( المطالعة النظرية )


Oleh kerana itu para pemuda dikatakan mempunyai semangat yang tinggi (hamasah). Mereka kritis menghadapi keadaan persekitarannya. Kisah yang nyata tentang gambaran ini boleh kita lihat dalam peristiwa Asyhabul Kahfi di dalam al-Quran. Pemuda beriman dengan cekal dan berani berhadapan dengan pemerintah yang zalim serta dengan nekad bertindak untuk mempertahankan iman mereka. Hamasah ini sangat diperlukan dalam organisasi.

Organisasi tanpa hamasah akan layu, tiada berdaya, tidak boleh mara ke hadapan, tiada kreativiti dan tidak mampu berhadapan dengan cabaran. Hamasah yang diuruskan dengan baik akan menjadi dinamik yang menyebabkan organisasi benar-benar hidup dan berkembang. Yang perilu diawasi ialah jangan dibiarkan hamasah bertukar menjadi emosi. Sebab dengan emosi biasanya akan lahir sikap ekstrimisme yang merosakkan organisasi. Hamasah dikobarkan tapi dijuruskan kepada medan amal yang berfaedah.

Ciri-ciri yang dimiliki oleh syuyukh dapat menjadi pengimbang hamasah syabab. Para syuyukh mempunyai potensi:

  1. Kekayaan pengalaman ( الخزنة التجربة ). Ianya bersumber daripada lamanya perjalanan hidup sehingga dapat memetik banyak hikmah dari berbagai ujian dalam melaksanakan gerak kerja organisasi. Para syuyukh juga secara umumnya mempunyai kekuatan membuat telahan terhadap situasi dan kondisi yang ada ( قوة التنبؤ )
  2. Kekuatan daya berfikir ( القوة الفكرية ). Pemikirannya mampu memberi kesan atau pengaruh di tengah-tengah masyarakat. Hasil pemikiran orang tua biasanya lebih dihargai dari pemikiran orang muda kerana pertimbangannya dalam pemikiran lebih matang.
  3. Kekuatan ruhani ( القوة الروحية ). Iaitu kemampuan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT yang memberi pengaruh dihati masyarakat. Hubungan dengan Allah SWT yang telah lama terbina akan memberi manfaat dalam gerak kerja organisasi.
  4. Bermodalkan tiga potensi inilah para syuyukh biasanya mampu mengambil hikmah dan ‘ibrah daripada setiap peristiwa dengan kajian mendalam berdasarkan pengalamannya yang panjang. Hikmah yang telah diwariskan para syuyukh dalam perjalanan organisasi merupakan satu penjagaan dan pemeliharaan untuk membolehkan sesuatu organisasi sentiasa berada di atas kebenaran dan keasliannya (أصالة).
  5. Oleh kerana itu kebijaksanaan gerak kerja yang suci dan bersih daripada sebarang campur aduk sentiasa berorientasikan kepada حكمة الشيوخ في حماسة الشباب dalam pengertian bahawa ianya hasil daripada kajian mendalam dari Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW berdasarkan pengalaman organisasi yang panjang tetapi dilaksanakan dengan semangat dan inisiatif yang tinggi. Apabila seluruh potensi organisasi sentiasa berpegang kepada sikap ini, maka gerak kerja kita akan mempunyai kemampuan untuk terus berkembang (القدرة على النمو) yang tinggi tanpa tersekat atau terbantut.

KESIMPULAN

Gandingan kekuatan (tooqah) syabab dan kematangan syuyukh akan menjamin perjalanan organisasi akan sentiasa bertenaga dan segar, terus istiqamah di atas jalan kebenaran dan tidak melencong dalam menuju matlamat. Ahli organisasi merasa ‘aman’ kerana ada pengawasan daripada syuyukh yang berpengalaman dan tenaga syabab yang menggerakkan operasi dan gerak kerja organisasi. Tanpa syabab perjalanan organisasi akan menjadi lesu dan kehilangan hamasah dan tanpa syuyukh organisasi terdedah kepada kegelincungan dan penyelewengan. Inilah gandingan operasi generasi para sahabat dan tabi’in ketika Islam berada dipuncak kegemilangannya.