fbpx

Ucapan Dasar Presiden HALUAN – Mesyuarat Tahunan Perwakilan Ke-24 Tahun 2013

Ucapan Dasar Presiden HALUAN – Mesyuarat Tahunan Perwakilan Ke-24 Tahun 2013

Ucapan Dasar Presiden HALUAN – Mesyuarat Tahunan Perwakilan Ke-24 Tahun 2013

MESYUARAT TAHUNAN PERWAKILAN KE-24 TAHUN 2013
PERTUBUHAN HIMPUNAN LEPASAN INSTITUSI PENDIDIKAN MALAYSIA

“MEMBANGUN HIMMAH MENYEMARAKKAN AMAL”

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PENDAHULUAN

1.0 Umat Islam kini di Malaysia atau di dunia menghadapi cabaran yang berbagai. Dari segi politik mereka berpecah, dari segi sosial tidak menampakkan perpaduan malah dibebani dengan masalah seperti penyalahgunaan dadah, zina, rogol dan banyak lagi. Dari segi ekonomi pula umat Islam dicengkam oleh masalah kemiskinan, pengangguran dan ketidakseimbangan pendapatan yang berlaku dikalangan kaum di Malaysia malah tidak kurang seriousnya ialah ketidakseimbangan itu berlaku antara warganegara dan bukan warganegara. Dengan kata lain ekonomi negara dikuasai oleh rakyat asing yang tidak bermustautin di Malaysia. Pada masa yang sama masalah pendidikan juga merupakan satu isu yang tertangguh sejak sekian lama di mana hingga kini bidang-bidang kritikal seperti kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain dikuasai oleh orang bukan Islam. Di Malaysia, kini umat Islam iaitu kaum bumiputra majoritinya berada dalam bidang pengajian yang dianggap tidak kritikal seperti pengajian kesusasteraan, pengurusan dan lain-lain.

2.0 Umat Islam di Malaysia kini ternyata dihinggapi oleh penyakit kecelaruan fikrah dan kelonggaran akidah. Adanya golongan seperti Sisters in Islam yang membawa aliran Islam Liberal, aliran Syiah yang mendapat sambutan masyarakat Malaysia adalah contoh yang jelas. Qardawi merumuskan bahawa permasalahan umat Islam kini berpunca daripada dua perkara yang besar iaiatu kelemahan iman dan kelemahan akhlak. Berdepan dengan kepelbagaian masalah umat kini kita tidak punya pilihan lain kecuali kembali kepada pangkuan Islam sebagai penyelamat. Hanya Islam yang mampu menyelamatkan apa juga permasalahan umat dengan sifatnya رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ.

Saudara/i Para Perwakilan,

PERLU KEMBALI KEPADA MADRASAH RASULULLAH صلى الله عليه وسلم

3.0 Dalam menghadapi realiti kini kita tidak punya banyak pilihan kecuali kembali kepada mencontohi Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam membangunkan umat Arab dan umat dunia (Al-Ahzab 33: 21). Ini dilaksanakan dengan membangunkan generasi awal di bawah didikan Al-Quran di dalam satu barisan atau jamaah yang tersusun kukuh dengan ikatan akidah yang sangat mantap (As-Saff 61:4). Antara lain strategi utamanya ialah membangunkan satu barisan kepimpinan dan kepengikutan yang mempunyai himmah yang sangat tinggi yang melahirkan amal yang berterusan yang dipacu oleh hubungannya dengan Allah سبحانه و تعالى dan rukun-rukun iman yang lahir dalam bentuk yang pratik. Setelah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dipanggil pulang oleh Allah سبحانه و تعالى, perjuangannya diteruskan oleh generasi yang dibina dan di asuh sendiri oeh Rasulullah صلى الله عليه وسلم (Ali-Imran 3: 144). Inilah yang harus generasi kini contohi. Dalam hal ini perubahan kepimpinan bukan isu yang harus kita pertikaikan bahkan haruslah diletakkan keutamaan untuk melaksanakan tugas dan tanggongjawab rabbani – dakwah dan tarbiah tanpa henti dan jemu.

4.0 Di samping itu gerak kerja mereka lahir di tengah-tengah masyarakat dengan menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk yang syamil dan kamil (Ali-Imran 3: 19). Sehingga akhirnya keujudan dan kejayaan serta kecemerlangan mereka diabadikan oleh Allah سبحانه و تعالى dalam Al-Quran (Ali-Imran 3: 110). Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya jamaah atau harakah atau organisasi di bawah pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وسلم (Ali-Imran 3: 104). Pada masa yang sama semua ini berlaku di bawah pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan satu perancangan yang sangat rapi melalui petunjuk Allah سبحانه و تعالى sendiri.

5.0 Berpijak dari seerah inilah maka HALUAN ditubuhkan. Hingga kini HALUAN berada dalam tahap Rancangan Jangka Panjang (RJPJ) HALUAN ke-2: 2012-2026 dengan dilengkapi oleh beberapa biro dan kelab sebagai platform dan strategi bagi mencapai matlamat organisasi HALUAN.

TARBIAH DAN LATIHAN

6.0 Hendaklah setiap kita merasai dengan mendalam kemestian penerusan kerja-kerja tarbiah dalam setiap masa dan keadaan. Kita hendaklah benar-benar faham apa yg dikatakan sebagai attarbiah madal hayaah.

7.0 (Tarbiah sepanjang usia hidup) Tidak pernah ada istilah merasa sudah cukup, sudah tahu, atau jemu atau tepu dalam dakwah dan tarbiah.

8.0 Kerja-kerja tarbiah adalah nafas ubudiyah dan passion kita. Rasulullah mengajar kita berdoa: اللهم لا تجعل الدنيا أكبر همنا (Ya Allah janganlah Kau jadikan dunia itu sebesar-besar perkara yang kami sentiasa fikirkan dan fokuskan (dalam hidup kami). Sebagai aktivis dakwah, perkara yang sepatutnya sentiasa bermain dalam fikiran, menjadi sesuatu yang kita sentiasa fikir dan risau ialah dakwah dan tarbiah, bukan hal-hal dunia yang remeh. Setiap hari kita berfikir bagaimana kita boleh merobohkan jahiliah dengan dakwah dan tarbiah.

9.0 Tarbiah ialah proses yang sentiasa berjalan biar dalam situasi apa jua pun kerana ia menentukan putus atau tidaknya hubungan kita dengan Pencipta kita. Biar apa sekalipun yang berlaku, tiada apa pun yang sepatutnya menyibukkan kita dari tarbiah. Umpamanya ketika kehangatan pilihan raya yang lepas kita tetap tidak lupa dari program tarbiah.

10.0 Kita memahami dengan jelas bahawa Usrah adalah induk tarbiah. Ia adalah medan kita mengumpul kekuatan dan mengukuhkan hubungan kita dengan Allah سبحانه و تعالى . Ia adalah medan tazkiyah (penyucian) jiwa kita. Usrah adalah jantung bagi setiap jemaah atau organisasi. Jika usrah tidak berjalan dengan konsisten, maka lemahlah sesuatu jemaah itu walaupun dari luaran tampak hebat di mata manusia.

DA’WAH: DALAM DAN KELUAR

11.0 Kita perhatikan keadaan masyarakat kita di mana kesedaran Islam masih kurang. Antara ukuran yang dapat dilihat ialah dengan golongan wujudnya masih ramai golongan yang menolak Islam sebagai satu sistem hidup, ulama sebagai pemimpin, dan industri hiburan yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan salah faham masyarakat yang memisahkan kehidupan dari Islam dan hanya menganggap Islam itu pada rukun Islam yang lima semata-mata. Tanpa gerak kerja dakwah yang tersusun, bangsa kita akan terus jauh dari Islam dan selesa dengan nilai-nilai jahiliah. Lebih banyak program untuk bersama dengan masyarakat, sekolah-sekolah dan institusi kerajaan yang diperlukan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar.

12.0 Mungkin pada masa akan datang juga kita perlu menguasai media massa untuk mengislah masyarakat kita secara umum, bagi menentang penularan sumber-sumber seperti majalah-majalah yang merosakkan anak muda.

DAKWAH NON MUSLIM

13.0 Dakwah kepada non muslim merupakan suatu yang sangat penting dan tidak kecil pada mata kita. Kita menyedari bahawa kompisisi mereka lebih 40% dari penduduk Malaysia. Kita harus memikirkan bagaimana mendekati mereka dan menyediakan lebih banyak ruang untuk mereka mengenali Islam sebagai agama yang benar dan menyeru kepada keselamatan dan kesejahteraan. Kita harus mengingati bahwa kewajipan dan tanggungjawab kita hanyalah menyampaikan risalah tauhid kepada mereka. Menjadi hak mereka untuk tahu dan untuk diberitahu.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Yang bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).” (al-Baqarah 2:143)

14.0 Samada mereka terima atau tolak terletak hanya di sisi Allah سبحانه و تعالى dan Allah سبحانه و تعالى tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Kita juga harus berperanan menghapuskan pelbagai salah tanggapan terhadap Islam sehingga sekiranya mereka tidak memeluk Islam sekalipun mereka akan menjadi orang yang menyokong dasar-dasar Islam yang menjamin kesejahteraan dan keadilan sejagat. Di sini, Biro Dakwah & Outreach harus fokuskan gerak kerja yang sistematik dan konsisten.

15.0 Biro Dakwah & Outreach harus menggembeling tenaga terutama Asatizah untuk memperkasa dakwah dan tarbiah HALUAN. Ini kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang luas tentang agama yang sangat diperlukan dalam gerak kerja dakwah dan tarbiah. Jadi, jika tugas ini diserahkan kepada mereka maka kita telah menyerahkan tugas ini pada ahlinya. Namun begitu, ahli HALUAN yang bukan asatizah juga tidak boleh beralasan mereka bukan asatizah untuk tidak terbabit dengan kerja dakwah. Yang saya maksudkan ialah para asatizah ini harus mengetuai gerakan dakwah dan tarbiah di kalangan ahli HALUAN.

16.0 Biro Dakwah & Outreach juga berperanan meningkatkan kesedaran ummah dalam isu Palestin, Syria dan Rohingya, Bangladesh dan lain-lain. Ini boleh dijalankan melalui media dan penganjuran program-program kesedaran di IPT dan masyarakat.

Saudara/i Para Perwakilan,
KEWANGAN

17.0 Ekonomi yang kukuh bukan syarat kejayaan kerja-kerja Islam dan bukan titik tolak kita untuk memulakan apa-apa projek Islam. Walau bagaimanapun ia merupakan antara asbab yang dapat membantu perkembangan kerja-kerja Islam. Terdapat kaedah syariat menyebutkan ‘مالايتم الواجب إلا به فهو واجب ‘ Suatu kewajipan yang tidak akan dapat dicapai kecuali dengan wasilahnya, maka mendapatkan wasilah itu menjadi wajib”. Oleh itu, Bendahari/Bahagian Kewangan diharap dapat memantapkan pengurusan dan kesungguhan pengumpulan dana melalui infaq ahli-ahli dan sumbangan masyarakat, agar dengan kekuatan ekonomi ini kita dapat membantu perjalanan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

18.0 Bendahari/Bahagian Kewangan harus mempunyai kemampuan untuk menyuburkan semangat berlumba-lumba di antara satu sama lain dalam membelanjakan wang di jalan Allah seperti mana hartawan di zaman Rasulullah,Ab Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Adalah tidak patut untuk kita melihat organisasi sering dilanda masalah kewangan sedangkan ahli kita terdiri daripada ramai ahli yang berada. Firman Allah SWT :

أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِن بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”. (Ali-Imran 3: 133)

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan. (Ali-Imran 3:134)

Disamping itu bandingan derma atau infaq di jalan Allah amatlah besar seperti yang diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.“. (Al Baqarah 2:261)

Pada masa yang sama Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengingatkan kita bahawa: “ Tidaklah bagi kamu wahai anak adam kecuali engkau makan lalu engkau habiskan, atau engkau pakai lalu akan engkau tanggalkan, atau apa yang engkau sedekahkan. Maka yang disedekahkan itulah yang akan kekal.”(hadis)

19.0 Bendahari/Bahagian Kewangan harus mengenal pasti dari mana mereka boleh mendapatkan sumber-sumber dan sumbangan dari individi-individu, agensi-agensi dan institusi yang ada dalam masyarakat untuk membantu melancarkan aktiviti-aktiviti turun ke masyarakat yang lazimnya menelan kos yang besar.

20.0 Bendahari/Bahagian Kewangan juga dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan sistem pengagihan dana mengikut saluran yang berkesan.

21.0 Pendanaan dari sumber luar terutama dari badan-badan kerajaan juga penting untuk diterokai kerana NGO kita sendiri mempunyai keterbatasan dari segi kewangan terutama dalam aktiviti melibatkan masyarakat umum.

EKONOMI (IQTISODIYAH)

22.0 Biro Ekonomi bertanggungjawab mencari potensi-potensi baru di kalangan anak muda untuk menjayakan projek-projek mentoring pelapis usahawan muda.

23.0 ‘Makmal usahawan’ perlu diwujudkan dan dipantau oleh para usahawan berjaya di kalangan kita, untuk menerokai dan menghasilkan lebih banyak projek yang memberi impak ekonomi kepada anggota dan masyarakat.

24.0 Projek inkubator di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) perlu diberi perhatian yang serius demi menjayakan projek ini.

KEMASYARAKATAN (IJTIMA’IYAH)

25.0 Biro Kebajikan harus mengambil berat tentang kesinambungan dakwah kita. Antara jalan yang terbaik ialah mewariskan jalan ini kepada golongan muda dan rumah tangga yang dibina berlandaskan Islam. Rumah tangga muslim ialah salah satu tangga menuju pembentukan masyarakat muslim yang baik dan kemudian negara muslim yang kukuh. Oleh itu organisasi melihat bahawa di sana ada keperluan untuk mengaktifkan projek Baitul Muslim bagi anak muda yang telah bersedia dan berhajat untuk berumahtangga. Ini merupakan tanggungjawab deen-sosial dalam sesebuah komuniti Islam untuk berusaha menyediakan jalan ke arah pembinaan rumahtangga yang rabbani mengikut acuan Islam. Ia bermula seawal proses pemilihan dan pemeliharaan jalan-jalan menuju pernikahan yang mengikut syarak.

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bermaksud: dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui. (An-Nur 24: 32)

26.0 Apabila memperkatakan tentang kemasyarakatan, kita hendaklah sentiasa memperbaharui (refresh) tugas kita sebagai رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ . Moto kita ialah berakhlak, mendidik dan berbakti. Golongan Dua’fa’ yang terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal, orang-orang tua, perlu diberi pembelaan yang berterusan. Kita harus mencari jalan agar dapat memberikan pendidikan kepada mereka, mengenalkan mereka kepada Islam dan dapat menghulurkan sumbangan tenaga dan wang ringgit untuk membantu mereka. Ini penting kerana statistik menunjukkan bahawa kes jenayah seperti dadah dan sumbang mahram banyak berlaku di kawasan hitam yang didiami oleh golongan miskin. Tiada yang dapat menyalahkan mereka kerana ramai anak yang menjadi rosak kerana terbiar tanpa pengawasan ibubapa yang terpaksa bekerja keras kerana kesempitan hidup.

PEMUDA (SYABAB)

27.0 Biro Pemuda mempunyai peranan yang cukup besar. Sejak era Rasulullah صلى الله عليه وسلم lagi baginda didokong oleh pemuda (syabab) untuk menyampaikan Islam kepada semua manusia. Begitu juga di Malaysia. Sekiranya kita ingin melihat masyarakat Malaysia yang menghayati ajaran agama Islam, fokuslah kepada pembinaan, dan pembentukan generasi muda kerana mereka adalah agen perubahan yang hebat. Biro Pemuda haruslah menggembeleng sepenuh tenaga mengadakan program-program kesedaran dan latihan bagi melatih kepimpinan pemuda demi menjana generasi pemuda yang berkualiti mempunyai kefahaman dan penghayatan yang jelas.

28.0 Biro Pemuda harus mencanai para pemuda dan melengkapkan mereka dengan pelbagai persiapan dan kelengkapan dari segenap segi untuk menjadi pemimpin masyarakat demi melahirkan para pemuda yang bersedia untuk menerima tanggungjawab (masuliyah) kepimpinan.

29.0 Bagi mencapai matlamat ini perlu ada di sana the transfer of knowledge and experience. Justeru perlu wujud kesinambungan antara حماسة الشباب وحكمة الشيوخ (semangat generasi muda dan hikmah (wisdom) generasi tua). Generasi muda harus bersikap berminat dan mempunyai semangat untuk belajar daripada generasi sebelum mereka yang telah menempuh jalan yang sama. Ini penting agar mereka tidak perlu lagi sentiasa di atas landasan try and error sepanjang masa, sebaliknya memanfaatkan pengalaman generasi tua yang telah melaluinya agar mereka tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Dari titik tolak itu, mereka dapat melakukan lonjakan dan melangkah lebih jauh.

30.0 Generasi muda harus mempunyai kerendahan hati untuk sentiasa merujuk kepada generasi yang lebih tua sebelum melakukan sesuatu projek kerana generasi tua selalunya mempunyai buah fikiran yang bernas untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan projek terbabit. Terdapat satu kata-kata; ‘A wise young man will not make a decision until he has consulted two elderly persons”.

31.0 Dalam masa yang sama, golongan tua harus bersikap pro-aktif untuk berkongsi walaupun tanpa dipinta. Ini kerana اَلْيَدُ اْلعُلْياَ خَيْرٌ مِنَ اْليَدِ السُّفْلَى (tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah). Mungkin ada segelintir anak muda yang segan atau ada juga yang merasa cukup, tapi generasi tua harus sentiasa mempunyai sikap untuk membimbing dan hendaklah mereka membetulkan generasi muda ini jika mereka melakukan suatu kesalahan. Gabungan mantap antara hikmah orang tua dan semangat orang muda ini akan memberi impak yang besar bagi perkembangan kerja-kerja Islam. Maka harapan kita untuk membina masyarakat dan negara Islam akan menjadi kian cerah.

32.0 Ketokohan pemuda perlu ada grand design. Fikirkan bagaimana melahirkan tokoh-tokoh di kalangan pemuda ke dalam masyarakat agar mereka tidak ketandusan pemimpin

INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT)

33.0 IPT adalah medan pertama kebangkitan Islam di Malaysia. Para belia yang berpengetahuan tinggi di universiti adalah pencetus perubahan dan cara pandang agama di sekitar tahun 1970an dan 1980an. Sehingga kini, IPT menjadi medan dakwah yang sangat subur. Biro Pengajian Tinggi harus mengambil peluang ini agar Kelab Siswa HALUAN dapat diwujudkan di semua kampus di dalam negara dan begitu juga di luar negara mengikut kesesuaian.

34.0 Biro Pengajian Tinggi hendaklah menyusun strategi terbaik untuk memastikan Kelab Siswa HALUAN berperanan sebagai agen utama perkembangan dakwah dan tarbiah di IPT. Pelbagai program harus dijalankan untuk fokus kepada melahirkan barisan kepimpinan pemuda yang berilmu tinggi, bersahsiah mantap dan berkepimpinan untuk barisan kepimpinan masa depan.

35.0 Dalam masa yang sama, para pensyarah IPT dari kalangan ahli kita harus menjadi agen dakwah, dan fokus dalam mencari mad’u di kalangan pelajar-pelajar yang berhajat dan berpotensi.

36.0 Biro Pengajian Tinggi harus berganding bahu membantu Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) untuk muncul sebagai pusat latihan melahirkan kader–kader dakwah dan tarbiah.

37.0 Biro Pengajian Tinggi juga perlu memantau penyusunan/penyelarasan yang berkesan dalam kerja dakwah dan tarbiah dalam IPT di seluruh negara.

38.0 Antara peranan Biro Pengajian Tinggi juga untuk memprojekkan sebahagian kecil pelajar terpilih untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang tertentu untuk melahirkan tokoh di bidang pengajian masing-masing (cth: bidang pengajian Islam) dan akhirnya dapat kembali berkhidmat pada HALUAN

Saudara/I Para Perwakilan,
HALUANITA

39.0 Memperkasakan peranan kaum ibu dengan menekankan tanggungjawab mereka sebagai nukleus dakwah adalah satu strategi yang sangat signifikan. Proses tarbiah yang bermula dari unit keluarga diambil perhatian yang penting. Kita ingin mengingatkan pada kali ini dan pada setiap kali bahawa proses tarbiah harus bermula dari rumah dan bukan dari sekolah. Jangan sama sekali kita tanam di dalam minda kita bahawa tugas menjadikan anak kita hamba yang soleh itu terletak di atas bahu guru-guru di sekolah kita. Para ibu harus memastikan bahawa halakah keluarga berjalan secara konsisten agar mereka dapat memantau perjalanan tarbiah anak-anak sejak kecil hingga remaja. Solat secara berjemaah merupakan sesuatu yang wajib berjalan dalam setiap keluarga kita. Hubungan kekeluargaan akan menjadi longgar dan tarbiah tidak akan dapat berjalan dan mendarah daging dalam peribadi setiap anak kita tanpa kedua perkara ini.

40.0 Sememangnya ini juga menjadi tanggungjawab seorang bapa, tetapi kita cuma ingin menekankan bahawa tugas asasi bagi seorang wanita adalah menjadi pendidik pertama bagi anaknya. Terdapat kata pujangga; الأم مدرسة إذا أعددتها أعددت شعبا طيب الأعراق, sang ibu itu samalah dengan sekolah, jika anda pandai menyediakannya, samalah seperti anda membangunkan suatu umat yang baik keturunannya. (Ahmad Syauqi)
Dalam pada itu pepatah India menyebut “if educate a man you educate the person, but if you educate a woman you educate the whole family”. Ini menggambarkan betapa pentingnya peranan kaum ibu.

41.0 Islam meletakan ibu di tempat yang sangat tinggi. Ini ternyata apabila kedudukan ibu tiga kali lebih ditekankan daripada bapa kerana hubungannya dengan anak lebih hampir kerana merekalah yang mengandung, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak. Pada hari ini ramai ibu yang berkerjaya dan ini tidak dilarang oleh Islam selagi mana pendidikan anak-anak tidak menjadi perkara nombor dua bagi mereka. Ingatlah bahawa Islam dan ummah meletakkan harapan yang sungguh besar ke atas bahu para ibu agar mereka benar-benar fokus terhadap tarbiah dan pembentukan anak-anak yang soleh yang nantinya akan menjadi tiang-tiang kekuatan ummah.

42.0 Peranan HALUANITA untuk mengingatkan sesama sendiri peranan sebagai isteri (zaujah) yang solehah iaitu sikap zaujah yang memahami tugas dakwah suami (zauj) dan sedar hubungan dengan Allah سبحانه و تعالى. Begitulah kita lihat sikap Sayyidah Khadijah رضي الله عنها yang sentiasa membantu Rasulullah صلى الله عليه وسلم, contohnya beliau mententeramkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila baginda pulang dari Gua Hira’ dalam keadaan yang menggigil kerana menerima wahyu daripada Allah سبحانه و تعالى. Beliau menjadi orang pertama beriman dan menjadi obor yang selalu meniupkan semangat Rasulullah صلى الله عليه وسلم, memberi kekuatan ketika baginda lemah. Biarlah gerak kerja ahli HALUAN ini aktif dan hebat, kerana kita tahu di belakang setiap mereka ada para khadijah yang menjadi peniup semangat juang mereka di jalan Allah.

PROFESIONAL

43.0 Islam berhajat kepada pakar yang boleh dijadikan rujukan dalam setiapa bidang. Biro Professional haruslah berusaha memantapkan kepakaran di bidang masing-masing.

44.0 Di samping itu golongan professional juga diharapkan berperanan membantu dari segi mengukuhkan sumber kewangan organisasi.

45.0 Biro Professional juga diharapkan dapat mendidik ahli agar dapat menampilkan imej (syaksiyyah Islamiah) dan ketokohan dalam realiti profession masing-masing. Umpamanya doktor dapat memanfaatkan hubungan dengan pesakit untuk mendekatkan hubungan mereka dengan Allah سبحانه و تعالى, dan memberikan nasihat yang baik ketika mereka diuji Allah dengan kesakitan dan sebagainya. Mereka harus dididik agar mampu menukar masalah kepada peluang. Umpamanya bagi orang sakit perlu mengambil peluang yang dianugerahkan Allah سبحانه و تعالى dengan banyak berdoa. Ini ialah kerana orang sakit doanya diterima Allah.

46.0 Biro Profesional juga diharap dapat memperluaskan skop amal kebajikan bersama masyarakat (kerja-kerja kebajikan secara percuma). Di sana terdapat keperluan untuk bergaul ke dalam masyarakat dalam rangka mendekati masyarakat untuk menyampaikan Islam, selain memperlihatkan semangat رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ (rahmat kepada seluruh alam) kepada masyarakat.

ANAK-ANAK (AULAD) DAN KEKELUARGAAN

47.0 Biro Pembangunan Keluarga & Remaja harus berganding bahu menguruskan Projek Baitul Muslim untuk melahirkan lebih banyak rumah tangga yang mengikut acuan Islam dan sekaligus membawa kepada pembentukan masyarakat muslim yang kita cita-citakan.

48.0 Pendidikan dan tarbiah anak-anak dari segi akademik, sahsiah, emosi dan rohani harus dirancang secara lebih fokus dan konsisten oleh Biro Pembangunan Keluarga & Remaja. Tadika, taman asuhan harus diberi penekanan dan dikembangkan, dan silibus tadika dan sekolah, perlu perancangan rapi dan tersusun.

49.0 Biro Pembangunan Keluarga & Remaja harus memikirkan dan mengambil inisiatif yang sesuai untuk memantau dengan serius perjalanan Halakah keluarga dan keluarga terdekat dalam setiap ahli HALUAN. Ini bagi memastikan halakah keluarga wajib diadakan dan dipastikan konsisten. Ini adalah langkah pengawalan anak muda yang paling berkesan daripada pengaruh luar yang tidak baik.

50.0 Biro Pembangunan Keluarga & Remaja haruslah berusaha mengganjurkan kempen-kempen dan program-program untuk memperkasakan kesedaran keibubapaan dalam masyarakat kita.

HUBUNGAN LUAR (KHARIJIYAH)

51.0 Biro-biro yang melibatkan aktiviti luar diharapkan dapat merancakkan usaha ke arah mewujudkan kerjasama dengan NGO Islam dalam negara dengan lebih serius khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan

52.0 Dalam masa yang sama kerjasama dengan NGO luar negara juga penting umpamanya Biro HALUAN Palestin atau Biro Misi Kemanusiaan dengan NGO–NGO luar. Biro-biro ini harus berusaha mendekati jaringan NGO Islam antarabangsa demi memanfaatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman dan tarbiah mereka.

53.0 Hubungan ukhwah harus dibina bukan sahaja di antara individu bahkan di antara organisasi NGO Islam dan bukan Islam.

PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (RESEARCH AND DEVELOPMENT)

54.0 Dewasa ini kita perhatikan corak perkembangan politik di negara kita tidak dapat ditebak dan dijangka. Biro-biro yang diamanahkan untuk penyelidikan dan pembangunan haruslah memperkemaskan kajian-kajian semasa eg: perkembangan politik semasa di Malaysia agar kita dapat memahami perkembangan dan kecenderungan masyarakat dan melihatnya dari kacamata yang matang.

55.0 Bidang penyelidikan dan pembangunan harus lebih produktif menghasilkan kajian-kajian yang boleh dimanfaatkan oleh organisasi dalam bidang ekonomi, keagamaan, politik, pendidikan, dan sosial. Antara matlamat kita dalam pembentukan peribadi muslim yang kamil haruslah memiliki sifat muthaqqaful fikr iaitu memiliki pengetahuan yang luas. Ini bukan saja dalam bidang kita saja, tapi juga mereka harus semasa (up to date) dengan perkembangan di sekeliling kita. Ini kerana kita berhajat kepada pembinaan generasi yang cakna dan peduli pada setiap sesuatu yang berkaitan dengan ummah dalam semua bidang. Di sinilah Penyelidikan dan Pembangunan dapat menghulurkan sumbangan yang cukup besar pada HALUAN.

Saudara/I Para Perwakilan,
BIDANG POLITIK (SIASAH)

56.0 Kita harus memulakan usaha merancang untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman dari pertubuhan politik Islam dalam dan luar negara. Di dalam negara kita boleh belajar dari partai-parti politik yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik seperti PAS dan lain-lain. Manakala negara luar seperti Palestin dan Turki.

57.0 Usaha-usaha mempersiapkan tokoh-tokoh dalam bidang siasah (projekkan untuk ditonjolkan pada masa akan datang) adalah mustahak untuk kepentingan ummah. Ummah dahagakan pemimpin-pemimpin yang soleh dan adil. Begitu juga ummah dahagakan role model. Biro yang dipertanggungjawabkan harus mengambil tanggungjawab ini dan berusaha memikirkan langkah-langkah berkesan ke arah itu.

PELAJARAN

58.0 Sekolah merupakan medan dakwah dan medan pengislahan masyarakat yang subur. Di peringkat sekolah menengah terutamanya, anak remaja berada di peringkat di mana mereka mula berfikir dengan serius tentang banyak perkara dan peringkat mencari jati diri. Justeru Biro Pelajaran hendaklah menjadikan guru-guru sebagai agen dakwah yang berperanan di sekolah-sekolah (Kelab Guru HALUAN) dan meletakkan diri mereka bukan saja guru, tetapi sebagai ibu bapa yang penyayang bagi anak-anak remaja ini. Kenalkan mereka kepada keindahan Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Para guru haruslah berebut-rebut dengan ganjaran besar yang disebut dalam hadith.”Jika Allah سبحانه و تعالى memberi hidayah kepada seseorang lantaran kamu, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (hadis riwayat Tabrani)

59.0 Perkara kedua yang mustahak untuk Biro Pelajaran dan kita semua lihat kembali di sini ialah keperluan untuk menyemak dan menilai kembali prestasi tarbiah di kalangan lepasan sekolah-sekolah angkat dan memastikan kualiti produk kita terpelihara. Pelbagai usaha perlu dilakukan agar tarbiah kita kepada mereka dapat melahirkan anak-anak muda yang boleh ditumpang (diharap) dan boleh menyumbang kepada masyarakat dan membimbing mereka kepada Islam. Kita tidak mahu menghasilkan produk yang sama seperti yang telah ada di dalam masyarakat.

SUKAN DAN REKREASI
60.0 Kepada Biro Sukan & Rekreasi, menjadi harapan organisasi agar berusaha membina generasi pelapis sebagai jurulatih kecergasan yang bertauliah, dan juga jurulatih rekreasi yang bertauliah. Biro juga hendaklah memikirkan usaha-usaha melahirkan individu muslim yang sihat, cergas dan kuat tubuh badan.

61.0 Alangkah baiknya sekiranya Biro Sukan & Rekreasi dapat mewujudkan pusat rekreasi/persatuan/kelab sukan & rekreasi HALUAN sendiri agar kita dapat sama-sama membina persekitaran yang aktif dan cergas.

62.0 Mentokohkan jurulatih sukan & rekreasi di tengah masyarakat adalah suatu yang perlu kita sama-sama usahakan. Ini penting untuk membawa gambaran kepada masyarakat bahwa Islam itu meliputi semua aspek kehidupan. Bahkan Al-Syahid al-Imam Hassan al-Banna meletakan kualiti pertama seorang ahli dalam gerakan Islam ialah tubuh badan yang kuat dan sihat. Kesihatan dan kecergasan adalah suatu juzuk kehidupan yang tidak pernah dipandang remeh oleh Islam malah baginda sendiri telah mengajarkan kita berdoa اللهم عافنى فى بدنى (Ya Allah berikanlah kesejahteraan pada badanku). Baginda صلى الله عليه وسلم yang mengajar kepada kita untuk memilih hanya makanan yang baik-baik, halaalan toyyiba dan menggalakkan kita beriadah, bermain kuda, berenang, memanah, dan baginda juga gemar berlumba lari dengan Ummul Mukmineen kita. Terdapat suatu riwayat baginda pernah mengalahkan jaguh gusti arab.

63.0 Kita harus menyedarkan manusia bahawa dalam bersukan juga tidak harus terputus hubungan dengan Allah. Dan di sana ketetapan syara’ sentiasa dipatuhi seperti memakai pakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Biro Sukan & Rekreasi harus mula berfikir lebih jauh bagaimana kita dapat mendidik masyarakat dan meng’Islamkan sukan kita di Malaysia. Kita lihat pemain bola Palestin apabila berjaya mereka tanpa segan silu sujud syukur di atas padang secara beramai-ramai.

64.0 Biro Sukan & Rekreasi juga harus berusaha mendapatkan dana dari agensi kerajaan atau lain-lain agensi yang berkaitan. Ini penting kerana kita sedang bekerjasama membantu mereka membina Malaysia yang lebih aktif dan cergas dan ini secara tidak langsung meningkatkan produktiviti negara yang kita sayangi.

Para perwakilan sekalian
RUMUSAN
65.0 Mendepani realiti keghurbahan Islam kini, kita harus menyakini dengan sebenar-benar yakin bahawa dunia kini termasuk Malaysia memerlukan Islam sebagai penyelesaian. Untuk itu kita tidak punya pilihan kecuali kembali kepada kaedah yang ditanzilkan oleh Allah سبحانه و تعالى melalui proses operasi berasaskan matlamat dan strategi yang telah digariskan oleh Rasulullaah صلى الله عليه وسلم. Bagi menjayakan hasrat ini HALUAN ditubuhkan yang merangkumi beberapa biro dan kelab demi mengoperasikaan dakwah dan tarbiah di bumi Allah ini.

66.0 Dalam menghadapi cabaran semasa semua ahli haruslah sama-sama berganding bahu demi mencapai misi dan visi HALUAN melalui Rancangan Jangka Panjang (RJPJ) HALUAN ke-2: 2012-2026 yang mempunyai tiga objektif teras iaitu membina dan melahirkan rijal, menyemarakkan dakwah kepada massa dan mengumpulkan dana melalui sumber dalam dan luar organisasi.

67.0 Disamping itu pertautan kerjasama antara NGO dalam dan luar negara harus digiatkan demi merealisasikan kerjasama dalam taqwa yang dianjurkan oleh Islam. Kerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan tidak kurang pentingnya. Ini bermakna kerjasama yang sedia ada seperti JAKIM dan KKLW harus ditingkatkan dan jabatan yang baru harus diterokai.

68.0 Semoga berbekalkan himmah dan menyemarakkan amal HALUAN akan dapat memainkan peranannya sebagai sebuah NGO Islam yang berwibawa dengan izin Allah.

PENUTUP
69.0 Akhir kata saya ingin mengingatkan bahawa cukuplah kematian itu menjadi peringatan dalam hidup kita. Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan banyak kematian anak sahabat kita yang masih belia. Kematian mendatangi kita tanpa memandang usia. Persoalannya adakah kita benar-benar mengambil iktibar dari kematian-kematian yang berlaku depan mata kita setiap hari. Adakah kita benar-benar mengerti kini bahawa dunia ini sekadar tempat singgah. Paling lama kita boleh hidup secara puratanya 70/80 tahun. Tapi jangka hayat kehidupan kita di kampung akhirat adalah untuk selama-lamanya. Alangkah tidak bijak jika kita hanya fokus untuk kehidupan dunia yang sebentar cuma ini.

70.0 Oleh itu saya mengajak diri saya dan para hadirin sekalian untuk bersedia dan merancang kematian kita. Kita ingin memilih kematian dengan cara paling mulia iaitu di atas perjuangan menegakkan kalimah Allah dalam diri kita sendiri, dalam rumahtangga kita dan dalam masyarakat sekeliling kita sehingga tertegaklah Islam dimana kita berada. Marilah kita sentiasa memperbaharui niat kita semua untuk mewakafkan kehidupan kita ini secara serius untuk membantu menegakkan agama Allah di bumi ini.

71.0 Kita tumpukan usaha menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dalam biro masing-masing dan berikanlah sebanyak-banyak sumbangan tenaga, pemikiran, wang ringgit, dan masa kita. Dengan apa yang kita sedang usahakan ini sebenarnya kita sedang mengukuhkan tiang-tiang Islam menggunakan kelebihan yang Allah sendiri beri sebagai modal untuk berniaga dengannya. Kepakaran kita milik Allah, terpulang kepada kita sama ada kita ingin menggunakannya untuk membeli dunia atau jual segala kepakaran dan nikmat yang Allah سبحانه و تعالى beri untuk kita berniaga dengan Allah. Hakikatnya, perniagaan dengan Allah menjamin keuntungan dan tidak akan rugi. Maka hendaklah kita jadikan sebagai budaya kita untuk saling bertanya sesama kita dalam rangka untuk saling mengingatkan dengan kebenaran dan kesabaran yang dituntut dalam suratul Asr, apakah perniagaan kita dengan Allah. Mungkin ada menjawab dia berniaga dengan fokus berdakwah pada non-muslim, ada yang berniaga dengan fokus pada amal kebajikan sebagai seorang doktor, ada yang berniaga dengan membina rijal-rijal kepimpinan dari kalangan anak-anak muda di universiti dan sebagainya. Setiap orang menjual kepakaran masing-masing yang berbeza untuk mengukuhkan Islam. Dan tiada satu amal pun yang kecil kerana setiap biro menguatkan satu sama lain.
“المؤمن للمؤمن كالبنيان ، يشد بعضه بعضاً ” seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain seperti satu bangunan yang saling menguatkan satu sama lain.(hadis)

72.0 Marilah terus-menerus mengingatkan suatu sama lain akan janji Allah, peluang perniagaan yang tidak boleh dilepaskan begitu saja

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran. dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah At-Taubah 111)

Dalam ayat lain Al-Quran menjelaskan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (as-Saff 61:10)

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (as-Saff 61:11)

يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. (as-Saff 61:12)

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (as-Saff 61:13)

Walau bagaimanapun keputusan untuk merebut peluang perniagaan ini hanya di tangan kita. Maka pilihlah yang kekal dari yang sementara. Setiap manusia itu berangkat di pagi hari (untuk berusaha). Ia menjual dirinya (mempertaruhkan dirinya). Maka ada yang untung, dan ada yang rugi.” (Riwayat Muslim)

73.0 Ingatlah, sumbangan kita ini adalah untuk Islam dan bukan semata-mata kerana urusan organisasi. Sebab di akhirat kelak kita berhajat untuk berada di bawah kafilah dakwah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bukan di bawah bendera organisasi kita. Ingatlah bahawa organisasi HALUAN ialah platform jua. Pun begitu ia haruslah dibina berasaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم (Ali-Imran 3: 104). Semoga Allah berkenan dan sudi mengumpulkan kita semua kembali bersama Rasulullah dan para sahabat baginda dan semua yang telah berjuang di atas jalan ini.

74.0 Maka bekerja keraslah, untuk mencapai matlamat kita itu, dalam skop amanah kita yang ditetapkan oleh organisasi. Saya berharap segala yang telah saya katakan tadi semuanya tidak akan hanya tinggal sebagai perancangan kita, tapi sesuatu yang diambil serius dan pasti kita laksanakan. Dan semua itu menuntut fokus, perancangan rapi dan kerja keras. Selagi diberi Allah usia, bekerja keraslah agar di akhirat kita tersenyum melihat hasil kerja keras kita selama ini dengan rahmat Allah.

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud:
Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah & Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, & kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yg ghaib & yg nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yg telah kamu kerjakan. (At-Taubah:105)