fbpx

KADER’13 Menyiapkan Daie Masa Hadapan

KADER’13 Menyiapkan Daie Masa Hadapan

KADER’13 Menyiapkan Daie Masa Hadapan

SHAH ALAM, 22 Julai 2013 — Seramai 400 peserta yang terdiri daripada kepimpinan Kelab Siswa HALUAN, Biro Pemuda HALUAN dan Biro HALUANITA dari seluruh negara telah berkumpul di Kem Bumi Jati untuk menyertai Kolokium Anjakan Daie Rabbani 2013 (KADER’13) yang berakhir kelmarin.

Program KADER‘13 yang merupakan kali ke-3 berturut-turut dianjurkan dengan kerjasama Biro Pemuda HALUAN, HALUANITA dan Kelab Siswa HALUAN berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 Julai 2013.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada Visi dan Misi HALUAN, memperkenalkan biro-biro dan kelab-kelab HALUAN agar peserta boleh melibatkan diri secara aktif dalam menyumbang tenaga dan meningkatkan kesungguhan dalam kerja-kerja dakwah serta memperkasa kemahiran mengajak masyarakat kepada Islam yang syumul.

KADER’13 telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin yang turut mengisi slot ucaptama. Beliau menegaskan bahawa penglibatan belia dalam mewarisi kerja-kerja yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ini sangat penting kerana pemuda mempunyai kekuatan yang luar biasa hebatnya.

Umar Hanif Jamalludin, peserta KADER ‘13 berkata, “Program KADER ’13 telah banyak memberi kesedaran kepada saya mengenai kepentingan untuk terus konsisten dalam kerja-kerja yang telah diwariskan oleh para Nabi dan Rasul ini.”

Peserta Pemuda Pulau Pinang, Ahmad Faiz Ahmad Shukri pula berkata bahawa penyertaan KADER kali ini lebih ramai daripada tahun sebelum-sebelum ini. Beliau menaruh harapan yang tinggi kepada semua peserta yang hadir untuk menyumbang bakti di negeri masing-masing.

Program diakhiri dengan bacaan Resolusi KADER’13 yang dipimpin oleh Ketua Biro Pemuda HALUAN, Encik Hasri Ahmad.

Diharapkan program ini dapat dijadikan program tahunan bagi melahirkan lebih ramai belia yang mampu bergerak aktif dalam menyumbang tenaga dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiah di kampus dan masyarakat setempat.

Laporan oleh Abu ‘Ubaidah Sharudin, Pengarah KADER‘13