fbpx

Menggapai Redha Ilahi Bersama Pelajar SMK Nenasi Pekan

Menggapai Redha Ilahi Bersama Pelajar SMK Nenasi Pekan

Menggapai Redha Ilahi Bersama Pelajar SMK Nenasi Pekan

PEKAN, 26 Mei 2014 – Seramai 148 orang pelajar putera dan puteri asrama SMK Nenasi, Pekan, Pahang sangat teruja dengan santunan dan bimbingan abang dan kakak dari Pemuda HALUAN Pahang dan Kelab Siswa HALUAN Pahang dalam program motivasi `Menggapai Redha Ilahi` yang telah diadakan pada 22-25 Mei lepas.

Program anjuran sekolah dengan kerjasama HALUAN Cawangan Pahang itu bertujuan mendidik pelajar-pelajar agar dapat memahami matlamat kehidupan yang sebenar dan bagaimana membentuk diri menjadi insan yang berakhlak mulia, saling berkasih sayang dan pelajar yang cintakan ilmu.

Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Nenasi, Pn Noor Akmal Mohd Ali, pihak sekolah sudah lama ingin menjemput pihak HALUAN untuk mengisi slot motivasi di sekolah berkenaan. Beliau menyatakan kesyukuran di atas kesudian pihak HALUAN datang berkhidmat walaupun jemputan dibuat di saat akhir dan sangat berpuashati dengan aktiviti yang dijalankan yang menekankan aktiviti berunsurkan nilai-nilai Islam.

Program tiga hari yang melibatkan pelajar asrama tingkatan 1 hingga 5 itu telah dikendalikankan sepenuhnya oleh fasilitator pemuda dan siswa yang diketuai oleh Encik Mohd. Syahidan Kamaruddin yang turut dibantu oleh Dr. Jasri Mohamad dan HALUANITA Pahang.

Antara pengisian yang menarik termasuklah pembinaan sahsiah pelajar Muslim cemerlang, program jalinan ukhwah, eksplorasi minat kerjaya, introspeksi diri dan refleksi diri. Semua peserta memberikan kerjasama yang sangat baik sehinggakan program ini dapat dijalankan dengan jayanya. Ini menunjukkan bahawa mereka sangat dahagakan aktiviti yang berunsurkan Islam yang santai tetapi menusuk kalbu dan minda mereka.

Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut, pihak penganjur cuba mendedahkan peserta kepada kemahiran berorganisasi, pengurusan diri dan komunikasi, pendedahan kepada peluang kerjaya berdasarkan minat dan prestasi akademik, serta melahirkan kepimpinan pelajar yang berketrampilan dan berwibawa.

Dalam majlis penutup, Cikgu Noor Akmal berkata, “Pendekatan yang digunakan HALUAN Pahang di dalam kem ini sangat unik dan berlainan dengan kem yang pernah diadakan sebelum ini oleh pihak lain hinggakan ada pelajar yang pernah mengalami trauma. Di sebaliknya, program kali ini mengutamakan semua aspek fakulti insan iaitu jasmani, ruhani dan aqli.” Beliau berharap agar HALUAN dapat datang lagi ke SMK Nenasi bagi mengisi slot program yang lain pula.

Program ‘Menggapai Redha Ilahi` berakhir dengan nyayiannyanyian alunan lagu perpisahan dan salam bersalaman antara pelajar dengan fasilitator dalam suasana yang sangat terharu dan sedih hingga ramai pelajar yang mengalirkan airmata tanda kepuasan dan terkesan dengan bimbingan dan sentuhan akhlak terpuji dari abang dan kakak fasilitator yang mereka terima sepanjang program tersebut.

Menurut Dr Jasri Mohamad, selaku penasihat program, HALUAN Pahang akan menjadikan SMK Nenasi sebagai antara sekolah terpilih untuk mengujudkan kerjasama demi kesinambungan pendidikan yang telah diberikan. Konsep HALUAN dalam mendidik ini bukan Touch and Go sahaja tapi akan memastikan kerjasama berterusan dapat dijalankan di masa akan datang.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberi kerjasama dan komitmen yang sangat baik dan berharap program mendidik dan berbakti ini mendapat keredhaan Allah SWT jua.

Laporan oleh Abd Bashir Ghani