fbpx

Terus Santuni Mangsa Gempa Nepal

Terus Santuni Mangsa Gempa Nepal

Terus Santuni Mangsa Gempa Nepal

SEPANG, 18 Mei, 2015 – Santunan yang diberikan pasukan perubatan dan kebajikan HALUAN di Nepal ternyata memberikan kesan mendalam kepada mangsa gempabumi dahsyat yang melanda negara Asia Selatan itu.

Pasukan pertama HALUAN yang diketuai oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaannya, Dr Baharudin Suri telah tiba di ibu negara Kathmandu pada 3 Mei setelah lapan hari berlakunya gempa yang pertama pada April 25 berskala 7.8 Richter yang membunuh lebih 8,200 orang. Ia berpusat di Barpak, kira-kira 170 km ke barat Kathmandu, diikuti dengan lebih 650 gempa susulan berskala kecil selama seminggu.

Semasa berlaku gempa susulan besar 7.3 pada 12 Mei, tiga orang ahli pasukan HALUAN daripada pasukan kedua termasuk Dr Baharudin Suri, Ustaz Muhammad Ali Izzudeen dan jururawat SKH, Safiuddin Suruji sedang berkhidmat di lokasi.

“Kami terasa bumi ini bergoyang kuat seperti dilambung-lambung kisar. Saya berada di dalam bangunan ketika itu sementara dua relawan lagi berada di kawasan luar. Dari dalam saya terdengar jeritan kuat kanak-kanak dan wanita yang pernah trauma akibat gempa pertama. Kami sama-sama berlari keluar kerana bangunan yang saya duduki itu amat rapuh buatannya. Sebagai relawan yang pernah menyantuni gempa di beberapa negara lain, kami memakai topi keras keselamatan, namun itu hanya ikhtiar. Takdir terletak kepada Allah semata-mata,” imbas Dr Baharudin ketika ditemui di lapangan terbang KLIA2 pada Sabtu lepas selepas selamat tiba dengan dua relawan berkenaan.

Bagi relawan SN Safiuddin, ini kali pertama beliau berkhidmat untuk mangsa gempabumi. “Dan inilah juga kali pertama saya diizinkan Allah merasai kekuasaanNya dengan gempa berskala 7.3. Memang mengerikan,” jelasnya. “Jelas tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengawal ketakutan dalam diri kerana ia datang dengan mendadak dan pergi tidak sampai seminit kemudian. Kami jadi pening terpinga. Bagi saya, ini amaran daripada Allah kepada diri saya sendiri bahawa ingat, nyawa saya berada dalam genggamanNya,” katanya penuh insaf. Sebagai relawan muda, Safiudin pernah menyantuni masyarakat terpinggir di Kemboja sebagai latihan sebelum diizinkan pergi lebih jauh ke kancah merbahaya seperti di Nepal.

Gempa susulan kedua tersebut telah menaikkan angka kematian kepada 8,600 setakat ini dengan lebih 21,000 lagi tercedera, berserta kemusnahan total ke atas penginapan dan harta benda serta ladang ternakan penduduk sekitar Kathmandu yang rata-ratanya adalah petani miskin.

Menurut Dr Baharudin, data yang dikumpul oleh Ustaz Ali selaku relawan logistik menampakkan peluang bantuan susulan yang boleh dilaksanakan oleh HALUAN untuk rakyat Nepal terutama di daerah Gorkha, 170km dari bandar Kathmandu, yang antara paling teruk terjejas hingga menyebabkan mereka terpaksa hidup d bawah khemah sementara.

“Ini tidak boleh dibiarkan kerana tidak lama lagi musim monsoon hujan sejuk akan tiba diikuti musim salji. Kami menyantuni penduduk sini dengan kerjasama erat NGO Nepal Muslim Welfare Society serta dari Indonesia iaitu Lembaga Kemanusiaan Nasional (PKPU) yang terlebih awal tiba dengan doktor-doktor pakar mereka. Kami telah lancarkan dana dan berhasrat membina 500 buah rumah sementara di daerah Gorkha ini. Rumah ini akan dapat menjadi teduhan untuk satu keluarga terdiri daripada enam atau tujuh orang, dengan ruang kecil dapur dan bilik tidur. Sebab itu kami memerlukan kerjasama rakyat Malaysia untuk menjayakan program bantuan ini,” jelas beliau semasa ditemubual wartawan tempatan sebaik tiba.

HALUAN bersama NGO terbabit yang lain telah mengagihkan sebanyak 1,100 bungkusan berisi beras, gula, kacang dal, minyak masak dan garam kepada setiap keluarga mangsa di Gorkha. Turut diagihkan adalah 50 set bumbung zink kepada setiap keluarga terbabit bagi membina rumah sementara mereka, di samping melakukan aktiviti rawatan kesihatan dan motivasi pemulihan terhadap mangsa trauma.

Selama 12 hari di situ, HALUAN telah menyantuni 12 perkampungan di kawasan pergunungan Himalayas dalam daerah Gorkha. Aktiviti dilaksanakan untuk manfaat semua etnik Nepal, tidak mengira apa kaum atau agama mereka. Di antara perkampungan tersebut termasuk Jhingate, Deragau, Kokhe, Ahli Bhanjyang dan Bayapani. Sebanyak lima sesi rawatan perubatan telah dijalankan oleh doktor perubatan HALUAN dan juga PKPU.

Hampir lapan juta penduduk Nepal terjejas akibat gempabumi yg terkuat sejak 82 tahun lalu. Menurut kerajaan Nepal, hampir setengah juta rumah telah runtuh atau terjejas teruk dan tidak boleh didiami lagi. Anggaran kerosakan harta benda sahaja melebih USD250 juta.

Jabatan Geologi Amerika meramalkan banyak gempa susulan kecil akan terus berlaku akibat perlanggaran plat tektonik benua India dan Eurasia itu. Namun, gempa susulan besar juga tidak mustahil. Sepanjang Mei 20-26, jabatan itu meramalkan akan berlaku satu gempa lain yang berskala antara 5 hingga 6 Richter dengan 40% kebarangkalian. Ramalan sebegini sudah tentunya merungsingkan mangsa di Nepal yang rumah mereka rata-rata dibina menggunakan batu gunung yang dipasak menggunakan tanah liat semata-mata sebagai pengikat.

Para saintis risau dengan keadaan gempa Nepal itu kerana ia tidak mengakibatkan satu ledakan besar yang sepatutnya berlaku untuk mengeluarkan kuasa tekanan dari dalam perut bumi . Ini mungkin menandakan akan berlaku lebih banyak gempa besar selepas ini.

Gempa selepas 82 tahun itu telah mengakibatkan ibu negara Kathmandu bergerak ke selatan sebanyak tiga meter dan merendahkan Gunung Everest sebanyak 2.5cm. Daerah Gyirong dan pekan Nyalam dalam Tibet China telah bergerak sekitar 60cm (dua kaki) memanjang ke selatan. Pusat gempa di Nepal itu terletak lebih kurang 50km daripada sempadan negara China.

HALUAN terus mengalu-alukan derma tuan-puan untuk kami terus dapat membantu mangsa gempa di Nepal ini. Derma ikhlas anda bolehlah disalurkan kepada:

Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN di akaun Maybank bernombor 562263502611.

Laporan Biro Penerangan HALUAN