
Kepimpinan Tarbawi Melahirkan Generasi Rabbani
BANDAR SERI PUTERA, SELANGOR, 17 Jun 2025 — Seruan untuk kembali duduk sejenak, bermuhasabah dan berzikir kepada Allah SWT bukanlah suatu simbolik kerohanian semata dalam suasana dunia yang semakin gawat. Malah ia satu keperluan strategik dalam membina kembali kekuatan umat Islam.
Seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, apabila suatu kaum berkumpul untuk mengingati Allah, maka mereka akan dinaungi para malaikat, diliputi rahmat, diturunkan ketenangan, dan disebut oleh Allah di sisi makhluk-makhluk-Nya yang mulia.
Inilah inspirasi awal yang menjadi dasar Ucapan Presiden HALUAN dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan kali ke-36 di sini. Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam ucapannya mengajak umat Islam untuk menyedari bahawa dalam gelombang kegawatan global, kekuatan sebenar umat tidak terletak pada ekonomi atau teknologi tetapi pada ketundukan total kepada Allah melalui proses tarbiah dan dakwah yang sejati.
Tema ucapan dasar ini – “Kepimpinan Tarbawi Melahirkan Generasi Rabbani”, membawa pengertian yang sangat mendalam dan berpijak atas realiti. Ia merangkumi empat konsep utama: kepimpinan, tarbawi, generasi, dan rabbani. Keempat-empat konsep ini membentuk kerangka pemikiran dan tindakan strategik umat Islam. Ia bukan sekadar gagasan ideal tetapi satu strategi praktikal yang telah terbukti keberkesanannya sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Baginda memimpin satu generasi sahabat melalui proses tarbiah yang berterusan. Tarbiah bukan sekadar proses penyampaian ilmu tetapi adalah satu sistem pembentukan manusia yang bersifat menyeluruh – merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, fikrah dan amal. Kepimpinan yang lahir daripada proses ini akan mampu melahirkan pula generasi rabbani yang bukan sahaja taat kepada Allah, tetapi juga berkepimpinan, berani, berwibawa dan sanggup berkorban demi menegakkan kalimah-Nya.
Sejarah mencatat bahawa setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, umat Islam memasuki era kegelapan yang panjang. Islam menjadi asing dalam kehidupan umatnya sendiri. Sistem-sistem asing yang bersifat sekular dan materialistik menguasai struktur sosial, politik, ekonomi dan pendidikan umat Islam. Ramai dalam kalangan umat tidak lagi menyedari bahawa mereka sedang hidup dalam sistem jahiliah yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Lebih parah lagi, pemikiran pluralisme, liberalisme dan gaya hidup songsang seperti LGBTQ telah menyerap masuk ke dalam masyarakat umat Islam melalui pelbagai saluran, termasuk media dan pendidikan.
Umat Islam kini menjadi lemah bukan hanya kerana musuh kuat, tetapi kerana mereka kehilangan arah. Daripada 57 buah negara Islam yang bernaung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tiada satu pun yang dikategorikan sebagai negara maju. Hanya dalam bidang tertentu seperti kewangan Islam, Malaysia diiktiraf sebagai peneraju global pada tahun 2024, diikuti oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Namun pencapaian ini bersifat sektoral dan belum mencerminkan kemajuan yang menyeluruh. Realitinya, umat masih dijajah daripada segi pemikiran dan budaya.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa apabila umatnya melakukan lima belas perkara yang tercela, maka bala akan menimpa mereka. Antaranya termasuklah apabila amanah dijadikan sumber keuntungan, harta negara hanya beredar dalam kalangan orang tertentu, zakat dianggap beban, arak diminum secara terbuka, muzik melalaikan tersebar luas, dan generasi akhir mencela para sahabat. Semua ini bukan sekadar amaran, tetapi gambaran yang sangat tepat terhadap realiti umat hari ini.
Dalam keadaan inilah, keperluan untuk kembali kepada kepimpinan tarbawi menjadi semakin mendesak. Saidina Ali r.a. pernah berkata bahawa di akhir zaman, pemimpin akan lahir daripada kalangan yang terhina dan orang akan dimuliakan kerana kejahatannya. Maka amat penting untuk memastikan bahawa pemimpin yang mengemudi umat adalah mereka yang benar-benar telah dibina melalui proses tarbiah yang sahih, yang dididik untuk memahami tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi dan tunduk sepenuhnya kepada tujuan penciptaan mereka, seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 30 dan surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Kepimpinan tarbawi bukan hanya satu alternatif, tetapi satu-satunya jalan yang mampu menyelamatkan umat. Sejarah membuktikan bahawa tamadun barat telah melalui pelbagai sistem seperti demokrasi Amerika, sosialisme Rusia, dan kini pemerhatian dunia tertumpu kepada China. Namun kesemua sistem ini hanya fokus kepada kehidupan dunia tanpa panduan wahyu. Mereka tidak mampu membawa kebahagiaan hakiki kerana mengabaikan kehidupan akhirat.
Dalam konteks ini, kepimpinan tarbawi mesti bersifat menyeluruh. Ia bukan sekadar melatih seseorang menjadi pengurus atau pemimpin organisasi, tetapi membina dirinya sebagai seorang ayah yang penyayang, guru yang berilmu, syeikh yang membimbing rohani, dan pemimpin yang mampu menggubal dasar yang adil dan sejahtera. Almarhum Hasan al-Banna menggambarkan peranan murabbi sebagai individu yang mendidik seluruh aspek kehidupan anak didiknya. Pemimpin tarbawi juga mesti memiliki kualiti pekerja keras (al-Amil), pemikir (al-Mufakkir), pemberani (al-Jari’), dan produktif (muntij). Mereka harus profesional dan pada masa yang sama menjadi pendidik yang membawa perubahan.
Kepimpinan dalam Islam bukan soal status tetapi soal tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah. Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menyatakan bahawa setiap orang adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang tanggungjawabnya terhadap orang yang dipimpinnya. Oleh itu, pembinaan pemimpin dalam Islam perlu berakar daripada kefahaman tentang tanggungjawab itu dan bukan daripada keinginan kepada kuasa semata-mata.
Pembinaan generasi rabbani pula adalah satu proses jangka panjang yang perlu dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan. Dalam al-Quran, generasi rabbani disebut sebanyak tiga kali – dalam surah Ali-Imran ayat 79, al-Maidah ayat 44 dan juga 63. Mereka adalah manusia yang bukan sahaja berilmu tetapi menggunakan ilmu mereka untuk mendidik dan membawa manusia kepada Allah. Syeikh Said Hawwa menyarankan tiga aspek penting dalam membina generasi ini: penerapan ilmu rabbani, pengukuhan tarbiah rabbani dan pembangunan dakwah rabbani.
Dakwah dan tarbiah pula adalah tugas fardhu ain selagi belum tertegaknya Islam secara syamil dan kamil. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 67 dan 71 memperincikan peranan orang munafik yang menyeru kepada keburukan, dan peranan orang beriman yang menyeru kepada kebaikan. Mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah serta Rasul. Maka, sebagai umat yang mengaku beriman, dakwah adalah medan utama yang perlu digiatkan oleh setiap Muslim.
Satu contoh praktikal kekuatan tarbiah boleh dilihat dalam perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Walaupun dibedil dan dibunuh, semangat dan iman mereka tidak pernah luntur. Ini kerana mereka telah dididik oleh kepimpinan tarbawi yang berdisiplin dan istiqamah. Contohnya, bagi menyertai Briged al-Qassam, seseorang itu mesti mendapat restu ibu bapa, tidak pernah meninggalkan solat Subuh berjemaah selama tiga bulan berturut-turut, hafaz al-Quran, tidak meninggalkan solat malam, dan menguasai bahasa Hebrew. Ini bukan syarat biasa, tetapi satu sistem tarbiah yang membina jiwa pejuang yang rabbani.
Akhirnya, kita diingatkan bahawa segala kekuatan telah Allah sediakan kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah dan tarbiah. Kita tidak berada dalam tekanan seperti rakyat Gaza, malah hidup dalam suasana aman dan sejahtera. Maka tiada alasan untuk kita tidak berbuat apa-apa. Allah tidak membebani seseorang melebihi kemampuannya, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 286. Tetapi Allah akan menilai sejauh mana kesungguhan kita. Dr. Majdi al-Hilali menyebut bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh kemampuan semata-mata, tetapi oleh keinginan dan kesungguhan. Jika kita benar-benar mahu, maka Allah pasti akan membukakan jalan.
Di akhir ucapan beliau, Dr. Abdullah Sudin menekankan bahawa kepimpinan tarbawi dan generasi rabbani bukanlah idea baru, tetapi satu fitrah yang telah Allah tanamkan dalam diri manusia. Sebagaimana disebut dalam surah al-A’raf ayat 172, manusia telah pun bersaksi di alam roh bahawa Allah adalah Tuhan mereka. Maka jiwa rabbani itu adalah fitrah asal yang perlu dihidupkan kembali. Pilihan kini terletak di tangan kita. Kita boleh memilih untuk menjadi khalifah yang berjaya seperti yang disebut dalam surah Yunus ayat 14, atau menjadi umat yang digantikan dengan kaum lain seperti amaran dalam surah Muhammad ayat 38.
Marilah kita kembali kepada Allah dengan jiwa yang benar-benar tunduk dan menyerah. Marilah kita buktikan kesungguhan kita dengan mengorbankan masa, tenaga dan harta demi mendidik umat ini kembali kepada Allah. Dunia tidak akan berubah melainkan dengan kepimpinan. Dan kepimpinan tidak akan berubah melainkan melalui tarbiah. Maka dari sinilah kita bermula.

Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, HALUAN Malaysia.